Tuesday, July 23, 2013

LEBIH MAHAL DARI EMAS


Lebih lama pokok karas sakit maka lebih bermutu kayu gaharu yang terhasil daripada tindak balas gangguan sama ada secara semula jadi mahupun tindakan manusia.



TATKALA menyebut perkataan, pokok karas, pasti ramai di antara kita membayangkan ia sejenis flora atau pokok biasa yang membesar di kawasan hutan tropika negara ini.
Tetapi, jika diberitahu bahawa pokok karas itu menghasilkan kayu dan minyak gaharu, apakah yang terbayang dalam kotak pemikiran anda?
Tentu sekali, seseorang akan membayangkan harga kayu tersebut yang mencecah puluhan ribu ringgit bagi sekilogram ataupun bau harum yang dikeluarkannya.
Harganya yang begitu mahal membuatkan ada yang menyifatkan bahawa kayu ini lebih bernilai daripada emas.
Negara-negara seperti Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi dan Dubai begitu menggilai kemewahan kayu gaharu. Sementara itu, Indonesia jauh lebih maju dan bergiat aktif dalam menggerakkan industri berasaskan kayu gaharu.
Masing-masing berlumba-lumba mempromosikan minyak kayu gaharu atau lebih dikenali sebagai agarwood oil di peringkat dunia.
Malaysia sebaliknya lebih cenderung untuk mengeksport hasil kayu ini dalam bentuk kepingan kayu karas atau damar gaharu berbanding minyak yang diekstrak.
FADLIZA menunjukkan anak benih pokok karas yang mengeluarkan resin gaharu.


Malah sehingga tahun 1997, Lembaga Perkayuan Malaysia (MTC) melaporkan bahawa negara ini pernah mengeksport gaharu dalam kepingan bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh lima tahun.
"Saya terlibat dalam perniagaan gaharu ini sejak empat tahun lalu. Pada awalnya, saya menjual kepingan kayu dan damar gaharu untuk pasaran tempatan dan luar negara.
"Tetapi setelah melihat pulangan yang cukup lumayan daripada jualan itu, saya memutuskan untuk pergi lebih jauh iaitu menawarkan perkhidmatan menjual anak benih dan minyak kayu gaharu," ujar Fadliza Mohd. Nor, 35, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Suri rumah yang bercita-cita setinggi gunung itu memberitahu, dia mengenali kewujudan pokok karas melalui pengalaman mencari pokok herba di kampung halaman bersama ayah kesayangannya.
"Saya kenal pokok karas sejak tahun 1980-an, iaitu semasa terlibat dengan aktiviti mencari kayu-kayu herba bersama ayah di kawasan hutan yang terletak di Pasir Mas, Kelantan.
KEPINGAN kayu gaharu yang menghasilkan aroma indah.


"Ayah tidak berminat dengan pokok ini sebab dia tidak tahu apa-apa tentangnya. Saya pula ketika itu masih 'hijau' tentang pokok-pokok bernilai tinggi di dalam hutan," kata Pengurus Jasben Plantation yang menawarkan perkhidmatan menebang balak dan tanaman herba di Kampung Sakar, Pasir Mas, Kelantan.
Namun, setelah ayahnya yang ketika ini merupakan Pengarah Urusan Jasben Plantation, Mohd. Nor Ibrahim bertemu dengan orang Siam (Thailand) yang masuk ke Malaysia untuk mencari pokok daripada famili hymelaeceae ini, pertemuan itu telah membuka matanya bahawa pokok karas rupa-rupanya sangat bernilai.
"Sebelum ini, kayu pokok karas hanya dibuat papan lapis. Kulitnya dijadikan tali gasing. Tetapi orang Siam mencari karas untuk menghasilkan minyaknya yang mempunyai aroma yang sangat wangi.
KILANG memproses minyak kayu gaharu di Gua Musang, Kelantan.


"Minyak itu dieksport ke negara-negara Arab untuk dijadikan minyak wangi," tambah bekas graduan jurusan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berminat dalam bidang agro sejak kecil lagi.
Menurutnya, waktu paling sesuai untuk pokok karas mengeluarkan hasilnya ialah pada usia enam tahun atau setelah ia mula berbunga.
"Pada usia itu, pokok karas hanya mampu menanggung 'kecederaan' kurang daripada 20 peratus.
"Kalau terlalu awal, ia boleh mati. Kalau kecederaannya terlalu teruk, itu juga boleh membunuhnya," ujarnya.
Fadliza bagaimanapun mengingatkan bahawa pokok karas sebenarnya mempunyai keunikan berbeza dengan pokok lain.
"Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat tetapi sebaliknya bagi pokok karas. Pokok karas yang sihat dan membesar dengan cepat menghasilkan resin gaharu yang sedikit berbanding pokok karas yang sakit dan diganggu.
"Lebih lama pokok itu sakit maka lebih bermutu kayu gaharu yang terhasil daripada tindak balas kecederaan itu," ujar Fadliza sambil menjelaskan bahawa gangguan itu berlaku secara semula jadi atau tindakan manusia.
HABUK kayu gaharu direndam di dalam air.


Menurutnya, pokok karas boleh hidup dalam apa jenis tanah sekalipun.
"Ia boleh tumbuh di mana-mana sahaja. Di atas tanah pamah, diameter batangnya lebih besar. Pertumbuhan itu bergantung pada banyak faktor, antaranya ialah jarak antara pokok, jenis anak benih, kaedah tanaman serta kaedah suntikan," katanya lagi.
Sementara itu, Mohd. Afizol Rashid, 35, yang merupakan suami tercinta Fadliza sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar dalam menggerakkan perniagaan mereka, selain berkongsi beberapa cara untuk mendapatkan minyak pokok karas.
"Menakik, mengikat batangnya dengan dawai, memaku ataupun membakar batangnya adalah antara kaedah konvensional yang sering dilakukan.
"Tetapi kini, kita mempunyai teknologi terbaru untuk mengeluarkan gaharu iaitu dengan menyuntik inokulasi (yang terdiri daripada sejenis bakteria) ke dalam lubang yang ditebuk pada batang pokok karas," katanya.
Katanya lagi, teras di dalam pokok akan diambil setelah pokok ditebang dan dipotong mengikut bentuk dan saiz resin yang terbentuk.
"Proses membuang sisa kayu daripada resin gaharu sehingga bersih dilakukan di kilang. Gaharu yang siap diproses akan menjadi kepingan atau habuk akan digred mengikut saiz, bentuk, warna dan bau sebelum dijual kepada pekedai atau pengeksport.
KARAS gred rendah dijadikan colok.


"Kebanyakan kerja-kerja mencuci atau membuang sisa kayu dilakukan oleh pekerja di kilang pemprosesan," ujar Afizol yang menjelaskan bahawa kepingan gaharu itu digunakan secara meluas dalam industri berasaskan spa dan pusat kecantikan kerana aromanya.
Selain gaharu dijual dalam bentuk kepingan dan abu, ia juga diproses untuk dijadikan minyak.
Justeru syarikatnya turut menawarkan perkhidmatan penanaman ladang gaharu khusus untuk aktiviti pemprosesan minyak gaharu.
Katanya, ladang itu kini giat diuruskan oleh sahabat baiknya di Gua Musang, Kelantan.
Mengenai karas gred rendah pula, katanya karas itu akan diasingkan untuk dijual bagi membuat colok.

No comments:

Post a Comment