Tuesday, November 24, 2009

TERNAKAN BIRI-BIRI

ARKIB : 24/07/2009
Agropolitan Pekan ternak biri-biri Australia


PEKAN 23 Julai - Sebanyak 649 ekor kambing biri-biri baka Dorper tiba di tapak Projek Agropolitan Pekan di Runcang, dekat sini pagi ini setelah mengharungi perjalanan lebih 21 jam dari Melbourne, Australia.

Pengurus Bahagian Pembangunan Sosial dan Agropolitan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Mohd. Yusof Hidrus berkata, ternakan tersebut yang terdiri daripada 621 kambing jantan dan 28 ekor betina diterbangkan dari Australia menggunakan MasKargo.

Beliau berkata, kesemua biri-biri itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 7 petang semalam sebelum dibawa ke sini pada pukul 12 tengah malam tadi dan tiba pukul 8 pagi ini.

"Kambing-kambing itu ditempatkan di enam kandang dengan setiap kandang mampu menempatkan lebih 100 ekor. Setiap kandang akan diselia oleh tiga peserta," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, kambing biri-biri itu akan diserahkan kepada 30 peserta Orang Asli pada 11 Ogos ini, manakala penyerahan kepada peserta bukan Orang Asli di Batu 8, Bebar dekat sini akan dilakukan pada September.

Menurutnya, seekor biri-biri Dorper betina berharga RM1,500 manakala biri-biri jantan berharga antara RM4,500 dan RM10,000 seekor.

Projek Agropilitan Pekan dengan kos keseluruhan RM90 juta bakal dimajukan di kawasan seluas hampir 2,000 hektar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan projek tersebut pada 4 Ogos ini.

Projek tersebut membabitkan penyertaan 1,450 keluarga termasuk 750 keluarga Orang Asli sekali gus mampu mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan selain melonjakkan pendapatan isi rumah miskin tegar daripada RM350 kepada RM1,500 sebulan.


TERNAKAN BIRI-BIRI BERI PENDAPATAN LUMAYAN

Oleh Abu Bakar Al Sidek
Berita Harian, 21 Apr 2008

Alwi mula kerjaya dengan lapan baka kacukan Thailand kini miliki 1,000 ternakan

BAGAN DATOH: Alwi Rasni, 42, tidak menduga niat awalnya sekadar mencuba nasib akhirnya menjadi kenyataan dan kini menjadi usahawan ternakan biri-biri yang berjaya di kawasan Parlimen Bagan Datoh sejak lapan tahun lalu.

Semuanya bermula apabila tertarik hati melihat jiran di kampungnya memelihara biri-biri yang dikurniakan Jabatan Haiwan Daerah Hilir Perak dan dilepaskan di kawasan kebun kelapa.

"Saya kemudian membeli lapan biri-biri baka ekor panjang kacukanThailand iaitu seekor jantan dan tujuh betina daripada penduduk kampung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Siput, Sungai Batang dekat sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, selepas tujuh bulan, semua biri-biri betina itu melahirkan anak dan jumlahnya bertambah mencecah 1,000 dalam tempoh lapan tahun lalu.

Melihat ternakannya semakin membiak, beliau membina bangsal terbuka tempat berteduh haiwan itu daripada hujan dan panas yang dibina di bawah pokok kelapa di kawasan rumahnya.

Beliau berkata, menternak haiwan itu tidak sukar dan tidak banyak kerenah kerana biri-biri kacukan Thailand tahan lasak kepada panas dan hujan serta jarang diserang penyakit.

"Sebelah pagi hingga tengah hari biri-biri masih berehat dalam bangsal dan saya hanya sediakan air minuman saja. Sementara untuk makan semua biri-biri keluar makan rumput di kawasan berhampiran tali air kira-kira 300 meter jarak dari rumah saya," katanya.


Beliau berkata, rutin harian bermula jam 3 petang dengan biri-birinya keluar sendiri dari bangsal berpusu-pusu ke padang ragut berhampiran dan pulang ke bangsal menjelang waktu Maghrib.

"Saya hanya memantau dan melihat pergerakan biri-biri itu dari jauh saja," katanya yang menjadikan usaha itu sebagai kerjaya sepenuh masa.

Sehubungan itu, Alwi terterima kasih kepada Jabatan Haiwan Daerah Hilir Perak kerana banyak memberi khidmat nasihat di samping membantu memperkenalkan ternakannya kepada penternak dan pelanggan baru.

Pada peringkat awal dulu beliau menjual biri-birinya berusia setahun yang beratnya antara 20 kilogram hingga 30 kilogram pada harga RM160 seekor.

"Tetapi berikutan harga ternakan itu semakin naik di pasaran, saya menjual RM300 dan RM350 seekor mengikut harga runcit daging RM15 sekilogram.

"Saya menjual biri-biri hidup dan tidak jual dagingnya kerana tidak ada masa menguruskannya," katanya yang setiap bulan menjual antara lima hingga l0 ekor kepada penduduk tempatan dan orang luar daerah Hilir Perak.

Beliau berkata, kebanyakan biri-birinya dijual kepada pelanggan untuk dibuat akikah, kenduri kahwin atau berkhatan termasuk pada musim perayaan Aidilfitiri dan Aidiladha.

"Tahun ini, saya berazam menjual sekurang-kurangnya 10 biri-biri setiap bulan," katanya.

Alwi berkata, berikutan padang ragut di kampung berkenaan tidak luas, beliau terpaksa mengehadkan ternakan sekitar 600 hingga 700 ekor pada satu masa.

"Saya memang bercita-cita menternak hingga 2,000 biri-biri tetapi kerana keadaan padang ragut tidak luas, hasrat itu terpaksa dilupakan," katanya.

Berkat ketabahan dan ketekunannya sebagai penternak, Alwi bersyukur kerana setakat ini sudah ada simpanan yang agak banyak dalam bank.

"Saya belum membuat sebarang perancangan dengan wang itu, tetapi kemungkinan besar menggunakannya untuk memperkembangkan kegiatan menternak biri-biri," katanya yang masih belum berumah tangga.

Beliau mengakui kerana belum puas lagi berjinak dengan haiwan ternakannya itu menyebabkannya
menangguhkan dulunya hasratnya untuk mencari teman hidup.

"lnsya Allah, kalau ada jodoh saya akan berkahwin juga tetapi belum tahu bila," katanya yang tinggal bersama ibunya berusia 65 tahun yang juga ibu tunggal.

No comments:

Post a Comment