Saturday, November 14, 2009

LADANG LEMBU ALA RESORT

AGROBIZ
ARKIB : 17/04/2009
Ladang ternakan dalam resort
Oleh LAUPA JUNUS


Lembu Bali antara baka yang diternak di Ladang Syamille.
BELIAU merenung jauh ke kawasan kandang memerhatikan ternakan kambing Boer yang sedang rancak mengunyah. Tidak jauh dari situ, lembu Bali yang montel dan bersih sedang berkeliaran. Sungai yang memisahkan kompleks ladang dan penginapan serta pusat rekreasi sekali mengalir lesu tetapi dengan airnya yang sangat jernih.
Renungan itu diselangselikan dengan kerutan dahi, mungkin memikirkan mengenai apa yang telah dan sedang dilakukannya di ladang itu yang baru beberapa tahun beroperasi.
''Mulanya di kawasan ini , saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus memberitahu mengenai niat murninya itu.
Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.
Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.
Dengan dibantu adik beradiknya Badrul Hisham Mohd. Idrus dan Mohd. Zulkifli Mohd. Idrus serta Ketua Pegawai Operasi, Hiruddin Hashim, mereka membangunkan kawasan tersebut sejak hujung 2004 dengan kerja-kerja pembelian tanah daripada penduduk kampung.
Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.
Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.
Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.
Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.
Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.
Semua projek tersebut menurut Mohd. Zainuri menelan belanja antara RM5 dan RM6 juta sejak 2004 meskipun beliau juga menggunakan bahan buangan seperti kayu dari landasan keret api, membina landskap dan penginapan bertaraf hotel.
''Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan," katanya.
Pada mulanya, 50 ekor kambing dibawa masuk dari Australia dan hampir setiap hari, seekor akan mati.
Kali kedua, kejadian sama berulang dan mereka terpaksa bertungkus lumus untuk mencari petua dan belajar daripada pelbagai pihak.
''Saya pernah dihalau oleh penternak apabila cuba menawarkan diri mendapatkan bimbingan daripadanya dan seorang penternak Cina akhirnya membantu saya memberikan tip berguna," ujar beliau.
Beliau kemudiannya membangunkan kawasan tersebut sedikit demi sedikit bersesuaian dengan konsep pelancongan tani dan pada masa sama projek pembangunan kemudahan termasuk pejabat, gelanggang sukan masih diteruskan.
Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.
Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.
Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.
Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.
Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.
''Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik.
''Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus,'' katanya.
Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.
Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.
Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.
Sementara itu menurut Mohd. Zainuri, pihaknya akan meluaskan aktiviti kepada penjualan ternakan apa bila projek tersebut dilaksanakan di Perlis tidak lama lagi.
Tumpuan akan diberi kepada pengeluaran di kawasan tersebut manakala ladang sedia ada akan tertumpu kepada pembiakbakaan dan R&D.
Syarikat tersebut terus menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai ladang pengganda kambing Boer dan lembu pedaging serta penggalak bagi industri ternakan kambing dan lembu.
Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.
Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.
Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.
Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.
Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.
Syarikat tersebut akan menjadi pembimbing dan lokasi bagi bengkel ternakan anjuran bersama Agro Bank, MayConsult dan Mega Utusan Malaysia pada 24 hingga 27 April ini.

Berita Timur

February 10, 2009 11:34 AM

Pendapatan Lumayan Dari Susu Segar

Oleh Mohd Razman Abdullah

PASIR PUTEH, 10 Feb (Bernama) -- Walaupun dengan hanya mempunyai pendidikan setakat darjah enam di sekolah rendah, Sukeri Mamat berusaha membebaskan kehidupannya daripada belenggu kemiskinan.

Bekas pekerja kilang itu telah menceburkan diri dalam industri penternakan lembu susu dan selepas 19 tahun berlalu, Sukeri kini bersyukur dengan pendapatan yang mencecah RM3,500 sebulan dari hasil titik peluhnya memelihara lembu susu.

Beliau yang kini bergelar usahawan susu cair memulakan kerjayanya menternak lembu susu pada 1990 dengan modal RM30,000.

"Pada waktu itu saya hanya mempunyai 19 ekor lembu induk sahaja kerana ianya merupakan peringkat permulaan dan saya pun takut juga pada waktu itu bimbang menempuhi kegagalan.

"Tetapi hasil galakan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan lembu susu serta penyediaan pemasaran untuk susu cair yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya", beliau memberitahu Bernama di ladang ternak lembu susu Sungai Durian 17 km dari sini baru-baru ini.

Kini Sukeri, 34, mempunyai 55 ekor lembu induk yang boleh mengeluarkan susu.

JALAN BERTURAP TAR

Menurut Sukeri, JPV menyediakan ladang itu bagi membolehkan peserta menjalankan penternakan lembu tenusu di kampung berkenaan.

Lembu susu kepunyaan beliau akan diperah dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang dengan menggunakan mesin pemerah mudah alih untuk perahan yang bersih.

"Anggaran pendapatan sebulan hasil jualan susu pula sebanyak RM3,500. Ia mencukupi bagi menyara isteri dan dua orang anak", kata beliau.

Beliau merupakan antara lima peserta dalam projek JPV di ladang tenusu tersebut yang membabitkan kawasan seluas lebih 50 hektar (270 ekar).

Terletak dipinggir Bukit Seligi dan bersempadan dengan Jajahan Machang, ladang tersebut dikenalpasti sebagai satu daripada kawasan yang paling sesuai bagi penternakan itu.

Dari kawasan terbiar yang dipenuhi dengan hutan yang hidup meliar kini ladang berkenaan dilengkapi dengan pelbagai bentuk kemudahan asas termasuk jalan yang berturap tar dan bangunan pejabat operasi, selepas dibuka pada tahun 1990.

Lima peserta yang mengusahakan ladang berkenaan secara berkelompok dengan 144 ekor lembu sehingga ini mampu mengeluarkan susu segar sebanyak 354,000 liter bernilai RM531,000 setahun.

Selain Sukeri, empat lagi peserta yang juga penduduk tempatan ialah Ismail Zakaria, Ibrahim Abdul Ghani, Azman Che Mat dan Shahrul Bakri Abdullah.

MODAL PERMULAAN

Ibrahim Abdul Ghani, 59, pula berkata beliau memulakan kerja itu pada tahun 1993 dengan mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 dari hasil wang simpanan untuk membeli 11 ekor lembu.

"Sehingga ini saya memiliki sebanyak 27 ekor lembu dan pendapatan saya hasil jual susu pula kira-kira RM2,000 sebulan", kata beliau.

Pengarah JPV Kelantan, Datuk Dr Mohd Zairi Serlan berkata, jabatannya menyediakan kawasan padang ragut yang ditanam dengan rumput humidicola (Brachiariahumidicola) dan rumput napier (penissetum purpureum) yang dikenali juga sebagai rumput gajah untuk dimakan dalam kandang ternakan bagi memastikan lembu itu sentiasa sihat dan produktif.

"Selain meragut dan memakan rumput lembu-lembu berkenaan juga diberi makan dedak formulasi untuk mengekalkan prestasi pengeluaran susu", katanya.

Pengendalian susu dari ladang berkenaan diusahakan oleh Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), Pasir Puteh yang hasil perahannya dikumpulkan setiap hari ke dalam tangki pendingin berkapasiti 300 liter.

UJIAN MAKMAL

Susu berkenaan diproses menerusi pelbagai ujian makmal untuk memastikan kualiti yang tinggi sebelum dilulus untuk dijadikan susu segar dipasteur atau berperisa dan dijadikan dadih.

Harga susu itu dibayar pada setiap awal bulan oleh PPIT pada kadar RM1.50 sen seliter yang dikreditkan ke akaun setiap penternak.

Beliau berkata, peserta berkenaan telah menunjukkan dayamaju yang tinggi di kalangan penternak tenusu bersaiz kecil dan separa komersial.

"Pengurusan yang baik telah mendorong jabatan saya untuk menyokong supaya ia dinaiktaraf memandangkan potensi industri itu amat baik pada masa depan, ini termasuk kemudahan asas dan memperbaiki tahap biosekuriti bagi mengelak kejadian penyakit pada ternakan.

Menurut laporan berita, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, negara mensasarkan pengeluaran 1.1 bilion liter susu cair setahun dalam usaha memenuhi keperluan susu domestik serta mengembangkan perusahaan tenusu tempatan.

Beliau berkata, perusahaan tenusu mempunyai potensi yang tinggi kerana tahap pengeluaran dalam negara masih rendah iaitu pada 51 juta liter setahun atau pada kadar 4.6 peratus sahaja daripada keperluan.

-- BERNAMA


TIMUR

ARKIB : 18/08/2008

Anak lembu jantan lahir tanpa ekor


ANAK lembu jantan berusia dua bulan yang dilahirkan tanpa ekor.


BACHOK 17 Ogos - Kebiasaannya lembu akan dilahirkan bersama ekornya tetapi tidak bagi seekor anak lembu jantan di Kampung Sadur, Jalan Pantai Senok di sini yang dilahirkan tanpa ekor.

Pemilik lembu berkenaan, Rosilawati Ismail, 40, berkata, anak lembu yang dilahirkan pada 4 Julai itu sihat dan cukup sifatnya cuma ekornya sahaja tiada, tidak seperti lembu lain.

Menurut beliau, keanehan anak lembu itu disedari setelah dimaklumkan oleh suaminya, Che Ishak Awang, 48, ketika anak lembu itu dilahirkan.

"Anak lembu itu agak berlainan dengan lembu lain yang dilahirkan kerana agak jinak dan sering berbaring di tanah setiap kali digosok kepalanya.

"Ia adalah anak lembu keempatnya dan adik-beradiknya yang lain adalah normal. Kejadian ini mungkin satu dalam seribu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya," katanya yang sudah 20 tahun memelihara lembu.

Rosilawati walaupun gembira dengan kelahiran anak lembu itu yang diharap membawa tuah kepada mereka sekeluarga, tetapi agak bimbang dengan keadaan kesihatan haiwan itu yang kini agak terjejas.

Beliau berkata, punggung haiwan itu pada masa ini kemerah-merahan akibat sering dihurung lalat dan kaki belakangnya juga lemah, mungkin disebabkan kerana ketiadaan ekor yang boleh memberi keseimbangan.

Sehubungan itu, beliau amat berharap pihak Jabatan Perkhidmatan Haiwan dapat memantau keadaan itu termasuk memberi rawatan bagi menjaga kesihatan anak lembu tersebut.

1 comment:

  1. Good evening, may i have the contact number of the farmer. Im a student and currently conducting a research and studying about the faeces materials from dairy cattle.

    ReplyDelete