Tuesday, April 13, 2010

HERBA PEMANIS

RENCANA UTAMA

Perdebatan herba pemanis


SEORANG pekerja menuai daun stevia yang ditanam di sebuah ladang di Caacupe, 50 kilometer (km) ke timur Asuncion, Paraguay.


HERBA pemanis sifar kalori, stevia yang berasal dari Amerika Selatan kini menembusi pasaran global.

Pasaran global untuk pemanis itu telah mencatat kutipan sehingga AS$500 juta (RM1.61 bilion) mengikut undang-undang kelulusan Amerika Syarikat (AS) dan boleh mencecah sehingga AS$10 bilion (RM32 billion) dalam masa beberapa tahun, menurut kajian pasaran firma Mintel.

Stevia yang berasal dari Paraguay turut digunakan berdekad lamanya di Jepun dan di beberapa buah negara Asia lain mendapat reputasi positif apabila Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat pada Disember 2008 telah menjelaskan mengenai khasiat ekstrak stevia yang dikenali sebagai rebaudioside A (Reb-A).

Sejak itu pemanis berasaskan stevia digunakan industri makanan dan minuman jenama gergasi seperti PepsiCo, Coca-cola, Nestle, Danone, Unilever dan stevia juga bakal mempunyai jenamanya sendiri.

"Pengedar Reb-A melaporkan perkembangan drastik dalam pasarannya adalah indikasi bahawa stevia diterima ramai," menurut Mintel dalam laporan terbarunya.

"Reb-A dan stevia diunjurkan untuk menembusi di antara 20 peratus hingga 25 peratus daripada pasaran gula dan pemanis dunia yang sedang berkembang."

Ada yang berpendapat bahawa produk itu hadir tepat pada masanya kerana kebimbangan masyarakat mengenai obesiti di Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kaitan rapat dengan minuman ringan dan produk-produk lain.

Pada era politik, sosial dan kesihatan yang serius membincangkan tentang gula dan kandungan sirap yang tinggi fruktosa, stevia hadir dengan imej pemanis yang yang semula jadi dan positif," kata penasihat polisi makanan dan blogger, Naomi Starkman.

Ekstrak Rab-A daripada stevia dikatakan 300 kali lebih manis berbanding gula biasa. Ini bermakna secara semula jadinya ia telah dicampurkan dengan bahan-bahan lain untuk memastikan tahap manis yang sesuai.


MINUMAN ringan Pepsi And Frito mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kandungan sodium, gula dan lemak dalam produknya. - Gambar hiasan


Ia digunakan dalam minuman atau makanan tanpa kalori atau bahan rendah kalori seperti Coca-cola Tropicana Tropo50. Ekstrak stevia yang digunakan itu dikenali sebagai PureVia dihasilkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Malaysia PureCircle Limited.

"Tiada penyelesaian lain di pasaran seperti yang dilakukan oleh stevia," kata Pengarah Kumpulan Pemasaran PureCircle, Jason Hecker.

Tahap glisemik yang terdapat dalam stevia juga rendah. Jadi, iA boleh digunakan oleh penghidap diabetes dan produk diet kerana ia adalah semula jadi."

China merupakan pengeluar daun stevia terbesar yang membekalkan ekstrak itu. Ia digunakan meluas sebagai pemanis di Jepun sejak 1970-an.

PureCircle membeli daun-daun stevia daripada pekebun kecil dari pelbagai lokasi di seluruh dunia dan juga turut mengusahakan ladangnya sendiri di Paraguay dan Kenya.

"Stevia adalah sebuah kisah indah yang membantu pekebun-pekebun kecil," kata Hecker.

Rendah kalori

Pengeluar stevia utama yang lain adalah AS yang dikenali sebagai Cargill. Mereka mendapat bekalan melalui GLG Life Tech Kanada dan memasarkan jenama Truvia Reb-A yang dikenali sebagai rebina. Produk itu digunakan dalam minuman seperti Coca-cola, Sprite Green, minuman Odwalla dan produk-produk lain campuran yogurt daripada Breyer.

"Pengguna lebih tertarik untuk mengetahui asal-usul makanan mereka dan cara-cara ia dibuat sehingga permintaan kepada rasa yang sedap, rendah kalori, dan semula jadi. Produk stevia memenuhi segala kriteria itu," kata Timbalan Ketua Presiden Cargill, Zanna McFerson.

Kebanyakan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) masih melarang penggunaan stevia kecuali Perancis yang telah memulakan percubaan menggunakan ekstrak stevia dalam tempoh dua tahun.


PENGGUNAAN ekstrak daun stevia masih dalam perdebatan.


Pengeluar stevia mengharapkan penerimaan yang lebih baik daripada pejabat keselamatan EU dan ia diterima di kebanyakan negara lain termasuk Australia, New Zealand dan Switzerland.

Namun, stevia masih meragukan. Ramai yang mendakwa kelulusan penggunaannya dilakukan secara terburu-buru ketika pemerintahan Presiden George W. Bush untuk memenangi hati pengeluar minuman ringan yang telah diharamkan sejak bertahun-tahun.

"Sukar untuk menentukan sama ada stevia selamat digunakan atau tidak kerana kajian mengenainya sangat sedikit," kata seorang profesor nutrisi Universiti New York, Marion Nestle.

"Kita boleh berdebat sama ada kimia pemanis yang didapati daripada daun stevia adalah betul-betul semula jadi, masalahnya ialah stevia tidak mempunyai rasa seperti gula," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment