Ratu unta
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
UNTA yang menyertai pertandingan dinilai dari segi fizikal termasuk bonggolnya. |
Pertandingan haiwan cantik di Festival Al-Dhafra tawar RM33.8j kalahkan Ratu Dunia
TINGGI lampai, berambut perang muda, leher jenjang dengan sumber pendapatan mencecah jutaan dolar Amerika. Percayalah, ia bukan Supermodel sebaliknya unta.
Dek kemaruk terhadap kecantikan haiwan padang pasir ini, kawasan pedalaman di barat Emiriah Arab Bersatu pada setiap 31 Januari, menjadi lokasi 28,000 unta berkumpul menyertai pertandingan ratu cantik unta terbesar dipanggil Festival Al-Dhafra .
Biasanya, hanya pasir dan bentuk muka bumi kontang seluas mata memandang tetapi pesta ini menyebabkan kawasan padang pasir dibanjiri penternak dan gerombolan unta yang datang sejauh Qatar, Arab Saudi dan Bahrain.
“Kepala adalah bahagian paling penting dan perkara pertama yang dilihat,” kata ketua hakim festival Al-Dhafra, Mohammed Abdullah al-Mehairi.
Juri mencari unta yang berkepala besar, telinga elok, pipi lebar dan misai lebat. Tidak cukup itu, leher dan badan harus panjang, bonggol dan belakang mesti besar dan warna serta bentuk tubuh unta juga dinilai. Seperti lazimnya, kebanyakannya yang bertanding adalah unta betina yang disifatkan lebih menarik.
Unta berbeza umur serta jenis itu bersaing dalam 48 kategori berbeza untuk merebut hadiah keseluruhannya bernilai RM33.8 juta (AS$10 juta) sepanjang festival selama 10 hari itu.
Peringkat paling utama pertandingan adalah pusingan al-Bayraq di mana penternak mempertandingkan 50 unta terbaik dan membawanya berarak mengelilingi trek.
Hamad Rashed al-Marri mengambil masa sebulan untuk membawa unta-untanya dari Arab Saudi dengan berjalan. Ayahnya seorang penternak unta begitu juga dengan datuknya dan festival ini menjadi acara terbesar dalam kalendar unta baginya. Lebih 50 anggota keluarganya turut sama menyertai rombongannya itu.
“Kami mula menyiapkan unta-unta sekurang-kurangnya seminggu sebelum pertandingan itu. Setiap penternak punya resipi tersendiri. Saya memberi mereka kombinasi pokok hop, rumput dan jagung selain memberi minum air dan susu. Unta ini diselimuti bagi mengekalkan rambut dan kulit yang bersinar serta sihat. Unta yang berjemur lama di bawah mentari akan menjadi pucat.”
Hamad bertuah kerana empat untanya memenangi peraduan ini dan membolehkannya memiliki pacuan empat roda. Selain memenangi pertandingan, perniagaan jual beli unta milik Hamad juga mencecah jutaan dolar Amerika. Harga unta yang sederhana sekitar RM23,000 (AS$7,000) dan baka lebih baik semakin tinggi nilainya. Selain untuk tujuan kecantikan, penternak juga membeli unta untuk tujuan perlumbaan dan susu.
“Untuk kecantikan, kami melihat kepala dan ketinggian unta, manakala untuk perlumbaan, ia perlu kurus dan mempunyai kaki yang kuat,” kata Hamad.
No comments:
Post a Comment