MESKIPUN terpaksa bergelumang dengan selut, lumpur selain menghidu bau busuk najis ternakan saban hari, ia tidak pernah menghalang wanita berhati waja ini membantu menambah pendapatan keluarga.
GIGIH...usaha Khadijah (kiri) selama lima tahun membuahkan hasil.
Masanya pula harus dibahagikan antara menguruskan ternakan di ladang dan rumah tangga namun Khadijah Hussain, 52, tidak pernah menyesal, malah kedua-dua tugas itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Suri rumah dari Felda Sebertak, Bera, Pahang ini tidak pernah mengharap sebarang imbuhan terhadap keringat yang dicurahkan sebaliknya menganggap sebagai bantuan ikhlas untuk suami dan keluarga tercinta.
Khadijah yang mengusahakan ternakan lembu sejak enam tahun lalu gembira kerana pengorbanannya itu dihargai suami, Brahim Bedu, 50, yang kerap membantunya jika ada kelapangan terutama selepas selesai urusan di ladang kelapa sawit milik mereka di tanah rancangan itu.
Kini, ibu kepada lima anak itu mengutip hasil daripada keringatnya selama ini apabila ada saja jiran dan penduduk di kawasan setempat membeli ternakan mereka.
“Saya tidak kisah menjual kepada jiran di kampung kerana lembu ini dibiakkan untuk dijual semula dan wang berkenaan pula dijadikan modal pusingan.
“Saya bersyukur kerana dapat membantu suami mencari wang lebih untuk menambah pendapatan keluarga selain digunakan untuk menambah lembu sedia ada kepada jumlah yang lebih banyak,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di tanah rancangan itu, baru-baru ini.
Khadijah kini dibantu anak keempatnya, Mohd Khairul Azman, 22, secara sepenuh masa sejak setahun lalu manakala anak bongsunya, Mohd Khairul Azmin, 16, membantu di hujung minggu dan cuti sekolah.
Tiga lagi anak perempuannya, Nuraziana, 31, Zuridah, 29, dan Nurul Hidayah, 23, yang sudah berumah tangga hanya membantu ketika pulang bercuti.
Khadijah bersyukur kerana usahanya selama ini mendapat sokongan anak-anak yang turut meminati bidang penternakan haiwan. “Anak-anak perempuan juga berminat dengan ternakan ini. Mereka tidak berasa geli, malah seronok untuk bersama memberi makan dan menghalau lembu pulang ke kandang.
“Tetapi kini mereka kurang membantu kerana masing-masing sudah berumah tangga namun jika mereka balik ke sini, perkara pertama yang dilakukan ialah berkejar ke ladang melepaskan rindu pada ternakan kesayangan mereka,” kata nenek kepada tiga cucu ini.
Menceritakan sejarah awal penternakan lembu itu, Khadijah berkata, dia dan suami berpakat untuk memelihara lembu bagi tujuan menambah pendapatan dan tidak bergantung semata-mata kepada tanaman kelapa sawit.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Felda dan pemimpin setempat, permohonan kami untuk menceburi bidang penternakan diterima.
“Sebagai permulaan, kami menternak kira-kira 21 lembu baka tempatan bagi mengelak timbulnya masalah kerana kami tidak mempunyai pengalaman khusus,” katanya yang kini memiliki lebih 130 lembu termasuk 35 baka Brahman yang diperoleh dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, tiga tahun lalu.
“Sekali pandang, orang mungkin memikirkan kerja menternak ini sesuatu yang mudah, tetapi bukan semua orang mampu melakukannya terutama golongan wanita.
“Saya sendiri sewaktu memulakannya lima tahun lalu terpaksa memberi tumpuan penuh untuk memastikan lembu ini mendapat makanan dan minuman yang mencukupi. Lembu ini juga harus sentiasa berada dalam keadaan sihat dan segar.
“Tempoh beberapa bulan pertama adalah waktu paling sukar bagi saya untuk menyesuaikan ternakan dengan kandang baru. “Tetapi lama-kelamaan, saya berjaya mengatasinya hasil bimbingan pegawai Jabatan Pertanian dan rakan lain yang terlebih dulu mengusahakan bidang ternakan ini,” katanya.
Khadijah mengusahakan ternakan menggunakan dua sistem iaitu baka Brahman menggunakan sistem fidlot dengan memberi makan dalam bentuk dedak dan air minuman yang disediakan secara berkala. Selebihnya, dia mengusahakan ternakan baka tempatan menggunakan sistem integrasi ladang.
“Ternakan baka Brahman ini juga dilepaskan untuk meragut rumput di kawasan ladang mulai jam 11 pagi dan balik semula ke kandang sekitar jam 3 petang,” katanya.
Katanya, lembu yang dijual mencecah harga antara RM1,000 dan RM1,900, bergantung kepada berat dan harga pasaran.
“Saya sayangkan lembu ini seperti nyawa saya sendiri kerana ia adalah hidupan yang perlu dijaga dan diberi makan untuk membesar.
“Tidak ada salahnya kita ‘memanjakannya’ kerana ia juga adalah sebahagian daripada kita,” katanya yang juga bertugas sebagai guru kelas fardu ain di tanah rancangan itu sejak enam tahun lalu.
No comments:
Post a Comment