Monday, July 15, 2013

SILAJ BANTU ATASI KEKURANGAN RUMPUT SEGAR



Rumput gajah (napier) perlu dihancurkan terlebih dahulu sebelum dicampurkan bersama gula merah dan dimampatkan di dalam tong.
MUSIM kemarau akan mengeringkan rumput manakala banjir akan menyebabkan kematian kebanyakan jenis rumput. Untuk menunggu rumput kembali tumbuh pasti memakan masa.
Bagi penternak yang memiliki ladang pastura atau padang ragut hanya sekangkang kera pastinya masalah tersebut akan bertambah parah.
Oleh yang demikian, penggunaan silaj makanan atau penyimpanan foraj sedang giat diperkenalkan kerana menyedari penternak-penternak masa kini menghadapi masalah untuk menyediakan rumput yang bermutu dan mencukupi sepanjang tahun.
Antara agensi kerajaan yang giat menjalankan kajian serta penyimpanan silaj tersebut adalah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Muadzam Shah, Pahang yang diterajui oleh Pegawai Penyelidik Kanannya, Mohd. Nasir Abdul.
Menurut beliau, beberapa kajian telah dijalankan bagi menentukan teknologi yang sesuai untuk penyimpanan foraj di kalangan penternak-penternak kecil di Malaysia.
"Silaj ditakrif sebagai hasil yang terbentuk apabila tanaman foder yang tinggi kandungan airnya seperti rumput dan jagung, diracik dan diperam dalam struktur kedap udara yang dinamakan silo (tong plastik).
"Keperluan air di dalam bekas kedap air ini adalah antara 65 hingga 75 peratus dan saiz racikan pula adalah tiga hingga 15 sentimeter (sm)," katanya ketika ditemui di MARDI, Stesyen Muadzam, Pahang baru-baru ini.
Tambahnya, tumbuhan jenis rerumput seperti napier, jagung, rumput gajah, purple guinea mudah diperolehi serta ditanam di negara ini.
Untuk menghasilkan silaj, rumput terlebih dahulu diracik dan dimasukkan ke dalam silo bersama gula merah bagi mempercepatkan proses penapaian dan pemeraman.
Bahan tersebut akan diperam selama 21 hari dan dikatakan silaj yang dihasilkan tidak akan rosak selagi silo tidak dibuka.
Ujar Mohd. Nasir, silaj yang baik memiliki ciri-ciri pH (tahap kemasaman) kurang daripada 4.5 dan kandungan asid laktiknya pula adalah tiga hingga 13 peratus.
Kandungan asid butiriknya pula perlu kurang daripada 0.2 peratus.
Setelah diperam sekian lama, silaj akan bertukar warna daripada hijau kepada hijau kekuningan atau hijau keperangan serta mengeluarkan aroma yang wangi.
Bagi tahap kelembapannya pula, silaj berada di dalam keadaan lembap sederhana dan tidak terdapat lelehan serta tidak melekit jika digenggam kuat.
Untuk pemerhatian yang lebih mudah, silaj yang bagus adalah produk yang disukai oleh haiwan ternakan.
Ini bermakna semakin silaj yang dihasilkan digemari haiwan ternakan anda, itu bermakna silaj yang dihasilkan berada di dalam keadaan yang baik.
Antara perkara yang perlu dititik beratkan semasa memproses silaj adalah, pekerja perlu memastikan bahan yang diracik dimampatkan dengan padat ke dalam silo.
Hal demikian bagi mengelakkan terdapatnya kandungan udara berlebihan yang dipercayai akan merosakkan proses pemeraman.
Penternak boleh menggunakan pemampat silaj bagi melakukan proses pemampatan atau pun dengan hanya memijak sehingga bahan yang diracik menjadi padat.
Semasa proses pemampatan, silaj akan dicampurkan bersama gula merah yang telah dicairkan sebanyak satu kilogram (kg) bagi sebuah silo.
Proses dilakukan sebanyak dua hingga lapisan silaj sehingga silo dipenuhkan.
Seterusnya, mulut silo perlu dilapik dengan plastik sebelum ditutup bagi memastikan silo benar-benar kedap udara.
Berat sebiji tong yang berisi silaj kadang kala mampu mencecah 60 hingga 80 kilogram mengikut kepadatan serta bahan foder yang digunakan.
Setelah 21 hari diperam, silaj sudah boleh dibuka dan diberikan kepada haiwan ternakan sebagai makanan tambahan mahupun utama.
Semasa proses pemeraman perubahan bahan kepada produk tertentu dalam silaj akan berlaku.
Secara amnya, karbohidrat dalam bahan yang diperam ditukarkan menjadi asid laktik atau asetik.
Proses penukaran dilakukan oleh bakteria anaerobik dengan bantuan haba yang dihasilkan oleh sel tanaman yang masih hidup.
Asid-asid yang dikeluarkan, terutamanya asid laktik akan merendahkan pH dan ini menyebabkan proses biokimia yang terjadi pada bahan silaj terhenti.
Dengan itu, bahan yang diperam akan dapat disimpan dengan baik malah kualiti pemakanannya juga dikekalkan.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam penghasilan silaj, Mohd. Nasir berkata, kualiti bahan perlu dititik beratkan.
Malah, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencipta kaedah memproses serta 'ramuan' yang tepat bagi memastikan silaj yang dihasilkan mampu mengekalkan kuantiti kumpulan protein antara 14 hingga 18 peratus.
Mengekalkan kesuburan bahan mentah juga turut dititik beratkan seperti pembajaan kawasan penanaman rumput bagi memastikan stok tumbuhan tersebut sentiasa mencukupi selain berkualiti tinggi.
Selain penggunaan tong plastik sebagai silo, penyelidik MARDI itu juga turut mencipta silo yang dikenali sebagai silosil daripada binaan konkrit.
Silosil konkrit yang dihasilkan dikatakan mampu menampung pengeluaran silaj sehingga 20 tan untuk setiap pengeluaran.
Keupayaan menghasilkan silaj dalam skala yang lebih besar merupakan kejayaan yang baik namun dilihat tidak praktikal bagi penternak kecil-kecilan. - ASHRIQ FAHMY AHMAD


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130715/ag_03/Silaj-bantu-penternak#ixzz2ZB6w5nQr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment