Showing posts with label FERTIGASI. Show all posts
Showing posts with label FERTIGASI. Show all posts

Tuesday, July 23, 2013

SABUT TERPAKAI


Pengusaha tanaman tembikai, Nazmi Mohd. Zain mengakui kualiti tanamannya tidak terjejas meskipun menggunakan sabut terpakai sebagai medium tanaman.
TANAMAN tidak terjejas apabila menggunakan sabut kelapa terpakai.


GUNA selagi boleh. Kalau boleh sampai sabut kelapa yang dijadikan medium tanaman itu bertukar jadi hitam legam.
Bagi pengusaha tanaman tembikai rock melon jenis glamor, Nazmi Mohd. Zain, 39, beliau tidak sanggup membuang sabut kelapa yang masih boleh digunakan begitu sahaja.
Katanya yang tinggal di Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, tanaman jenis fertigasi bagi menanam tembikainya memberikan hasil yang lumayan kepadanya.
"Saya tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan sabut kelapa baru yang perlu digantikan. Kualiti tanaman juga tidak akan terjejas jika menggunakan sabut terpakai walaupun lebih daripada dua kali," katanya.
Beliau ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini sanggup mengangkut sabut kelapa terpakai daripada rakan-rakan yang berniat mahu membuangnya.
Katanya, jika terdengar sahaja rakan-rakan sudah habis menuai hasil tembikai, beliau akan bertanya mengenai sabut kelapa terpakai milik mereka.
Lebih menyeronokkan katanya, apabila mereka memang mahu membuang sabut berkenaan.
"Daripada dibuang begitu sahaja baik saya 'selamatkan' sabut itu sebelum menjadi bahan buangan.
"Apabila sabut terpakai itu dikumpulkan, saya akan menggemburkannya di dalam satu bekas besar sebelum dimasukkan ke dalam poli beg.
"Selepas itu saya boleh mula menanam apa sahaja tanaman yang saya mahukan seperti terung, sawi putih, kangkung dan salad," katanya.
Walaupun beliau baru mula menanam pelbagai jenis tanaman mengikut kaedah fertigasi ini pada bulan Disember tahun lalu, dalam masa kurang setahun itu beliau tidak pernah menggantikan sabut kelapa baru.
Dia mahu menggunakan sehingga sabut kelapa yang pertama kali dibeli bernilai hampir RM1,800 sebanyak 350 guni itu sudah tidak boleh digemburkan lagi dan bertukar warna kehitaman.
"Sehingga kini saya sudah guna lapan kali sabut yang sama, tanaman yang saya tanam tetap mengeluarkan hasil seperti biasa.
"Tidak ada pula tanaman yang terencat jika menggunakan sabut lama," katanya yang mendakwa perlu bekerja keras bagi memastikan sabut kelapa terpakai digemburkan sebaik mungkin bagi mewujudkan ruang oksigen di dalam sabut berkenaan.
Jika tidak kata Nazmi, tanamannya mungkin akan terbantut kerana tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Ujarnya, walaupun sabut kelapa itu hanya bernilai RM5 seguni beliau perlu menggunakannya sebaik mungkin.

NAZMI melakukan kerja penanaman sayur-sayuran menggunakan sabut kelapa terpakai di kebunnya.


Menanam tembikai rock melon dengan kaedah berkenaan amat menguntungkannya, lebih-lebih lagi dia tidak perlu bermain dengan selut atau tanah.
"Saya menanam sayur-sayuran tersebut sementara menunggu tempoh rehat menanam semula tembikai rock melon yang mengambil masa sehingga sebulan.
"Sekurang-kurangnya saya mampu menjimatkan wang bagi menggantikan sabut baru sebaliknya membeli benih serta baja," katanya yang menanam tembikai berkenaan di atas tanah seluas 0.2 hektar di belakang rumah.
Berkenaan baja pula, dua buah tangki yang dicampurkan dengan baja dibina di kawasan penanaman dan disalurkan terus kepada pokok mengikut kadar tertentu.
Katanya, satu saluran paip getah kecil berwarna hitam terus dimasukkan ke pangkal pokok di setiap poli beg dan pertumbuhan tanaman bergantung kepada kualiti baja yang diberikan.
Tambah lelaki yang mempunyai lima orang cahaya mata berusia antara 14 hingga setahun itu, dengan kaedah tersebut dia tidak memerlukan kerja-kerja menyiram pokok kerana air lagi.
"Ia juga dapat mengatasi masalah tanah yang tidak sesuai untuk tanaman tertentu atau yang tidak subur. Masalah rumpai juga mampu diatasi.
"Penggunaan racun serangga mampu dikurangkan seterusnya kualiti tanaman akan menjadi lebih baik bagi mendapatkan hasil yang lebih tinggi kerana kandungan nutrien yang lengkap disalurkan kepada setiap tanaman," katanya.

Tuesday, January 12, 2010

JANA PENDAPATAN LUMAYAN

AGROBIZ

ARKIB : 13/05/2009

Fertigasi bawa keuntungan


Sebahagian daripada kebun Harun Ismail yang menggunakan teknik fertigasi.


Hari ini sektor penanaman menjadi semakin penting kerana ia menjadi penyumbang kepada bekalan makanan. Oleh itu, sektor tanaman seperti sayur-sayuran perlu diberi wajah baru dengan suntikan teknologi untuk meningkatkan hasil, lebih selamat dan meminimumkan penggunaan tenaga buruh,.

Satu daripda teknologi terbaru yang dibawa masuk ke negara ini ialah fertigasi yang ramai makin mengetahuinya sebagai gabungan sistem pengairan dan pembajaan secara serentak tanpa menggunakan tanah.

Fertigasi diperkenalkan dari negara Jepun dan kini semakin popular di Malaysia, menggunakan struktur pelindung dan digunakan di kebanyakan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Selain dilaksanakan oleh usahawan atau syarikat, individu juga semakin tertarik untuk memanfaatkan sistem atau teknologi ini untuk pelbagai jenis tanaman sayuran buah seperti timun, cili dan rock melon.

Salah seorang pengusaha yang tidak mahu ketinggalan mencuba sistem tersebut ialah Harun Ismail. Selepas melihat salah seorang rakannya berjaya menanam cili menggunakan kaedah fertigasi, Harun Ismail, 52, mula menunjukkan minat berjinak-jinak dengan teknologi berkenaan.

Kata orang menyaksikan sendiri sesuatu projek berjaya memudahkan kita mempercayainya, yang membawa Harun berjinak-jinak dengan sistem tersebut.

Atas nasihat kawannya, Harun mula mencari dan mengumpulkan bahan-bahan mentah untuk menghasilkan media bagi tanaman cilinya.

"Di sini bahan mentah untuk media tanaman mudah didapati seperti sabut kelapa dan sekam padi," katanya semasa ditemui di kebun cilinya di Jalan Ibrahim, Sungai Air Tawar, Sungai Besar, Selangor.

Mengambil masa dua bulan beliau mendalami ilmu teknologi tanaman cili secara fertigasi daripada sahabatnya sebelum memulakan usahanya sendiri.

"Kawan saya banyak memberikan galakan dan menjadi mentor selama saya menjalankan tanaman fertigasi," katanya yang mendapatkan bekalan benih di pekan Sungai Besar.

Menyangkal pendapat sesetengah golongan yang mendakwa kos menjalankan tanaman fertigasi adalah tinggi, kata Harun, kosnya tidaklah tinggi jika kita tahu di mana mendapatkan bahan mentah untuk media.

Bagi menambahkan sumber pendapatan seharian, selain mengusahakan tanaman fertigasi, Harun juga menjalankan usaha menjual polibeg media tanaman bagi pengusaha yang baru memulakan aktiviti fertigasi.

Walaupun baru dua bulan bergiat cergas dalam aktiviti fertigasi, Harun sudah boleh mengeluarkan 1,000 polibeg lengkap sebulan.

"Buat masa ini permintaan bagi polibeg media tanaman fertigasi amat menggalakkan daripada pengusaha yang baru memulakan aktiviti pertanian," katanya.

Kini kawasannya seluas 150 kaki x 120 kaki menempatkan 1,000 buah polibeg dan dijangka mengeluarkan hasil dalam masa sebulan lagi.

"Tanaman cili secara fertigasi lebih mudah kerana saya masih boleh menguruskan kebun pisang dan menjalankan kerja lain," katanya.

Melihat kepada teknik fertigasi yang mudah diselenggarakan, Harun bercadang untuk membesarkan lagi keluasan kebun cilinya.