Showing posts with label BOER. Show all posts
Showing posts with label BOER. Show all posts

Monday, July 15, 2013

AI BIAK KAMBING BOER


Projek pembiakan kambing Boer dari Australia ini diuruskan secara besar-besaran oleh penternak tempatan di Ladang Casserose, Kampung Tahang Rimau, Segamat, Johor.

KAEDAH pemanian beradas dilakukan bagi memperoleh baka kambing Boer yang berkualiti.


SEJAJAR dengan matlamat kerajaan untuk mensasarkan 15 peratus pengeluaran daging kambing tempatan menjelang tahun 2010 dan mengurangkan pergantungan terhadap daging import yang kini mencecah 91 peratus, Ladang Casserose membuktikan kemampuannya.
Bertempat di Kampung Tahang Rimau, Segamat, Johor, ladang seluas tiga ekar itu berjaya melaksanakan kaedah kacukan kambing Boer menggunakan teknologi moden.
"Bagi menghasilkan baka kambing Boer setanding dengan kambing Boer import, kami mengenengahkan kaedah bioteknologi fasa pertama terhadap 29 ekor kambing Boer pada 11 Mac lalu.


"Menerusi teknik permanian beradas (AI), setiap kambing Boer betina akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diberi suntikan air mani di kedua-dua bahagian rahimnya," ujar Pengarah Pemasaran Casserose Agrofarm Sdn.Bhd, Md. Rozalafri Johori.
Ditanya bagaimana pemilihan kambing betina dan jantan dilakukan, katanya, penternak akan memastikan setiap kambing Boer betina dan jantan mempunyai tahap kesihatan yang baik, tidak bunting bagi betina serta mempunyai saiz badan 30 kilogram ke atas sebelum diberi suntikan.
"Selepas menjalani suntikan air mani, kambing betina akan ditempatkan di sebuah kandang yang dibina khas, bertujuan untuk melakukan penjagaan kesihatan secara berkala pada setiap hari.
"Kami akan memastikan kambing ini diberi makanan yang secukupnya dan berprotein seperti pallet, rumput napier dan hampas soya," katanya yang memberitahu ladang tersebut dibuka pada tahun 2006.
Menurutnya, matlamat utama membiak kambing baka Casserose adalah untuk memperoleh baka kambing Boer yang berkualiti bagi pasaran tempatan di samping memenuhi permintaan yang tinggi daripada penternak seluruh negara.
Dengan slogan syarikat, 'Kambing Boer sihat dan dagingnya untuk semua', ladang Casserose kini mempunyai 610 ekor kambing yang diternak di empat buah kandang.
Ladang ini mensasarkan peningkatan sehingga 4,000 ekor kambing Boer pada tahun ini.
"Kami memilih baka Boer kerana mempunyai ciri-ciri yang lebih baik berbanding kambing lain sementara dagingnya juga lebih enak serta mempunyai kolesterol rendah.
"Selain itu, dagingnya juga tidak berbau, lebih lembut dan harga dagingnya berpatutan," tambahnya.
Kambing Boer yang terdapat di ladang tersebut adalah untuk dibiakkan dan separuh lagi untuk mendapatkan dagingnya.
Harga bagi setiap sekilogram daging kambing Boer yang telah dipotong dijual pada harga RM40 sekilogram.
Untuk maklumat lanjut mengenai penternakan atau pembelian kambing Boer, hubungi Rozalafri di talian 03-7845 3236 atau 012-2969763

BOER KAMBING BAKA EKSLUSIF




Memilih baka menggunakan kemahiran pengamatan turut diajar oleh MARDI kepada para penternak kambing Boer di Jeram Pasu, Pasir Puteh, baru-baru ini.


PASIR PUTEH 27 Feb. - Kambing Boer kini dianggap sebagai haiwan ternakan eksklusif kerana harganya yang mahal, selain menunjukkan keupayaan dan status pemiliknya.
Harga baka bagi seekor anak kambing Boer ialah RM800 hingga RM1,200 manakala induk kambing Boer import betina pula mencecah antara RM900 hingga RM2,000 sekor bergantung pada umur dan berat.
Sementara harga daging kambing pula sekitar RM18 hingga RM20 sekilogram dan ia ditimbang semasa hidup.
Semahal mana pun harganya, ia tetap menarik minat dan mendapat perhatian petani yang berlumba-lumba untuk menternak.
Ini kerana, hasil pulangan yang cukup menguntungkan daripada jualan baka baharu iaitu anak kambing, induk, susu dan dagingnya.
Baru-baru ini, 40 petani di daerah ini telah menyertai kursus dan latihan amali penternakan haiwan berkenaan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) di Jeram Pasu, Padang Pak Amat dekat sini untuk mendalami pelbagai aspek ilmu berkaitan pengurusan ladang kambing Boer secara komersial.
Pembangunan teknologi hasil penyelidikan MARDI yang diperturunkan kepada petani terlibat diharapkan terhasilnya kumpulan penggerak untuk mengembangkan industri penternakan komersial baka dan daging kambing Boer bermutu tinggi di Kelantan pada masa akan datang.
Timbalan Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Dr. Mohmad Mustafa berkata, sejarah kambing Boer di negara ini bermula lebih 10 tahun lalu selepas MARDI membawa masuk kambing Pedigree dari Afrika Selatan dan kemudiannya mengimport kambing Boer fullblood dari Australia hasil embrio yang diimport dari Afrika Selatan atau pembiakan pejantan dan induk betina Boer yang warisannya dari Afrika Selatan.
"Bagi meningkatkan kualiti kambing, pada 2004, MARDI sekali lagi membawa masuk kambing Boer daripada spesies yang sama dari Republik Malawi dengan menternak mengikut piawaian yang disyorkan di ladang nukleus MARDI khusus untuk penghasilan baka berkualiti.
"Biarpun penternakan kambing Boer telah lama di negara ini, namun kita masih belum mempunyai ladang stud atau baka tulen dan hanya MARDI yang terlibat dalam ladang nukleus.
"Sehingga sekarang MARDI menjalankan tanggungjawab untuk mendidik penternak mencapai tahap penternakan yang menggunakan teknologi moden untuk mengubah kaedah lama iaitu sara diri atau sekadar hobi yang kurang menguntungkan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Mohmad berkata, pemerhatian dan kajian yang dijalankan oleh MARDI menunjukkan, kambing Boer mempunyai prestasi yang tinggi daripada segi pertumbuhan dan pengeluaran daging dan mampu diusahakan petani bagi memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat.
Beliau berkata, penternak perlu belajar kelebihan dan keperluan dalam segi pemakanan bagi membolehkan kambing membesar sehingga 300 hingga 400 gram sehari atau sehingga 12 kilogram sebulan.
Malah petani juga perlu menguasai kemahiran mengawal penyakit, memilih baka yang baik, pengurusan kandang dan ladang makanan, penghasilan silaj (rumput yang diperam) serta cara untuk menggalakkan proses pembiakan kambing Boer, katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penternak Kambing Kelantan, Wan Ismail Wan Mat berkata, pendedahan dan pendidikan secara percuma yang diberikan oleh MARDI adalah peluang yang seharusnya direbut oleh para petani yang ingin tampil sebagai usahawan ternakan kambing yang berjaya.
Menurutnya, ramai yang berminat menternak kambing Boer, tetapi kebanyakannya tidak menjurus kepada projek komersial disebabkan kurang pengetahuan dan maklumat berkaitan.
Justeru katanya, pihak persatuan akan mengembangkan ilmu yang dipelajari kepada 70 ahlinya selain mengenal pasti 225 petani yang pernah mendapat bantuan sebanyak RM10,000 daripada Pejabat Pertanian Kelantan menerusi Program Jihad Ternak yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri pada 2007, supaya mengusaha kembali projek penternakan kambing dengan kaedah lebih sistematik.
"Persatuan akan bekerjasama dengan pelbagai agensi pertanian dari aspek keperluan kepakaran dan teknologi yang perlu untuk dikembangkan di peringkat akar umbi kerana keseluruhan anggota persatuan ini adalah penternak kambing," katanya.
Wan Ismail berkata, ilmu membiakkan kambing yang diperincikan secara mendalam seperti pembiakan antara jantan dan betina yang mempunyai hubungan persaudaraan dekat dan jauh, pembiakan antara baka kambing sama tetapi lain keturunan, pembiakan berlainan baka, kaedah menyeragam pusinganestrus sekumpulan kambing dan mengesan kambing mengandung dengan cara Scanning Ultra Soundadalah teknologi baharu yang membantu petani untuk maju dalam sektor penternakan kambing.
Dalam pada itu, seorang petani dari Sungai Peria, Kuala Krai, Salleh Ong Abdullah, 55, berkata, kepelbagaian usaha perlu dilakukan di ladang ternakannya bagi menjimatkan kos.
Pada masa yang sama katanya, ia memberi keuntungan lebih, berbanding melaksanakan penternakan tanpa menggunakan teknologi pertanian yang disyorkan oleh MARDI.
"Saya bermula dengan 15 ekor kambing sejak empat tahun lalu dan kini berjaya mengekalkan 106 ekor induk.
"Kambing yang diternak dijual secara timbangan dengan mendapat permintaan yang tinggi sama ada untuk dijadikan baka atau untuk disembelih bagi tujuan kenduri. Saya bersyukur kerana hasil usaha sejak sekian lama mampu memberi pulangan RM30,000 setahun," katanya.
Selain mendapat maklumat terkini, Salleh Ong berkata, teknologi untuk menghasilkan silaj (tumbuhan yang dijeruk) boleh dipelajari di MARDI di mana sisa tanaman jagung dipotong semasa berusia 60 hari selepas hasilnya dituai, bagi mengurangkan kos makanan ternakan itu.
"Sisa tanaman itu dipotong pendek antara 3 hingga 15 sentimeter menggunakan mesin pemotong, dimasuk dan dipadakan dalam dram plastik yang dialas dengan plastik sepenuhnya mengikut kaedah yang syorkan," jelasnya.

Monday, March 8, 2010

KEUNIKAN KAMBING BOER

SELATAN

Uniknya ternakan kambing Boer


Abdul Aziz Jamaludin (kiri) bersama kakitangannya memberi penerangan kepada pelatih mengenai kambing jenis 'Cross Boer' dan 'Full Blood Boer' di Serting, semalam. - utusan/Abd. Razak Aid


JEMPOL 8 Mac - Sebut sahaja mengenai kambing, ada di kalangan kita yang menggemari keenakan dan kelazatannya baik ia dipanggang mahupun digulai mengikut cita rasa masingmasing.

Tidak kurang pula yang menganggap daging kambing merupakan salah satu faktor menyebabkan berlakunya komplikasi penyakit termasuklah darah tinggi berikutan kadar kolestrol yang tinggi.

Berikutan itu tidak ramai di kalangan penternak di negara ini yang bergiat secara aktif dalam penternakan kambing apatah lagi kambing jenis 'Cross Boer' dan 'Full Blood Boer'.

Bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan, Subur Sejahtera Sdn. Bhd. menghasilkan baka berkenaan yang dilihat satu usaha bagi memastikan bekalan import daging kambing dapat dikurangkan.

Menurut Pengarah Urusannya, Abdul Aziz Jamaludin, syarikat yang mula ditubuhkan sejak 2003 ini bukan sahaja menghasilkan jenis baka kambing bermutu tinggi malah mempunyai saiz yang besar.

"Apa yang dapat kita lihat kambing jenis 'Cross Boer' dan 'Full Blood Boer' ini merupakan kacukan beberapa baka kambing yang dipilih dan disesuaikan dengan keadaan iklim negara ini.

"Ia bukan sahaja kurang hamis berbanding dengan kambing biasa malah jika dilihat saiznya lebih besar," katanya.

Kata beliau, sehingga kini sebanyak 1,393 ekor masih diternak oleh syarikat dan jumlahnya dijangka terus bertambah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ditanya mengenai aspek penjagaan kedua-dua jenis kambing berkenaan, Abdul Aziz mengakui agak sukar untuk menjaga kambing berkenaan memandangkan ia memerlukan perhatian dan pemeriksaan yang lebih kerap.

Katanya, pernah terjadi 800 ekor kambing kedua-dua jenis baka ini mati akibat serangan penyakit menyebabkan syarikatnya terpaksa mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.

"Itu merupakan pengalaman pahit syarikat kami dan sejak dari itulah kita telah menjalankan pelbagai cara termasuk perbincangan dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Pada masa sama, bagi memastikan baka-baka ini mendapat makanan yang sesuai kita juga telah menanam rumput jenis Guinea, Stylo dan Nipea.

"Malah melalui pengalaman itu juga pihak syarikat juga bukan sahaja memasarkan baka-baka kambing berkenaan malah memberi mereka penerangan pengetahuan mengenai cara penjagaannya," katanya.

Ditanya mengenai kebolehupayaan baka ini dipasarkan di peringkat tempatan, Abdul Aziz sehingga kini berkata, permintaan terhadap kedua-dua baka kambing ini amat memberangsangkan mengikut gred.

Katanya, sehingga kini permintaan di negeri ini terus meningkat terutamanya di beberapa kawasan Felda selain orang perseorangan untuk menjalankan industri penternakan.

"Setiap baka jantan gred 'Full Blood Boer' dijual antara harga RM1,000 hingga RM1,500 manakala baka betina dijual antara RM600 hingga RM1,200 seekor.

"Pada masa sama, kita juga bercadang untuk memberikan khidmat nasihat kepada pembeli yang mana kita bukan sahaja memasarkan baka-baka kambing kepada orang ramai malah mendidik cara dan bagaimana untuk menternak,'' katanya.

Sunday, January 3, 2010

BERITA BOER

SABAH & SARAWAK

ARKIB : 30/12/2009

50,000 ekor kambing Boer diperlukan di Sabah

KOTA KINABALU 29 Dis. - Sebanyak 50,000 ekor kambing Boer diperlukan dalam program pembangunan kambing di Sabah untuk memenuhi keperluan domestik dan juga eksport.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin berkata, ketika ini Sabah masih mengimport daging kambing dari negara pembekal seperti Australia dan New Zealand.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, bagi tempoh tiga tahun ini, jumlah import Sabah sudah mencecah RM40.3 juta terdiri daripada kambing hidup dan daging segar.

"Ini adalah satu jumlah pengaliran wang yang besar, sedangkan kita sendiri mampu untuk menampung keperluan kita sendiri dengan cara menternak kambing Boer dan tempatan.

"Bayangkan dalam tempoh tiga tahun ini Sabah telah mengimport 18,451 ekor kambing hidup dan 1,980,245 kilogram daging kambing bebiri beku semuanya bernilai RM40.3 juta," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi Antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah Untuk Projek Technofund di Hotel Promanade, di sini semalam.

Yahya berkata, Sabah mampu memenuhi permintaan dalam negeri dan eksport kerana mempunyai kawasan yang luas untuk diusahakan ladang ternakan secara besar-besaran.

Menurutnya, perusahaan ternakan kambing di negeri ini bukan satu bidang yang baru kerana sudah bermula sejak tahun 1980-an tetapi malangnya masih tidak mencapai tahap sara diri.

"Penternakan kambing sebenarnya tidaklah memerlukan kawasan tanah yang luas memandangkan ia boleh dilaksanakan secara intensif. Justeru, kelebihan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, potensi ternakan kambing dan ruminan lain di negeri ini amat besar kerana Sabah mempunyai banyak kelebihan antaranya bebas penyakit kuku dan mulut (FMD).

Selain itu ujarnya, Sabah juga memiliki cuaca atau iklim yang sesuai untuk ternakan ruminan khususnya kambing dan lembu.

"Oleh itu, kita tidak boleh lagi bergantung dengan import kambing untuk keperluan tempatan kerana tindakan ini memberi kesan negatif dari segi tukaran wang asing negara," katanya.

Sementara itu, Yahya berkata, perjanjian tersebut mengambil masa selama dua tahun dan melibatkan kos sebanyak RM3.17 juta.

Kata beliau, program itu adalah bertujuan bagi membangunkan sistem pembiakbakaan, pemakanan serta pengawalan penyakit secara sistematik dan moden dengan mengguna teknologi terkini.

Yahya berharap agar kerjasama tersebut akan menjadikan KPD sebagai sebuah badan peneraju utama dalam industri penternakan kambing secara komersial di rantau ini.

Monday, December 21, 2009

BAKA EMAS

AGROBIZ

ARKIB : 30/01/2009

Boer baka emas industri ternakan


Ternakan kambing Boer berpotensi besar sebagai kambing pedaging kerana lebih menguntungkan dengan menghasilkan daging merah yang enak dan berkhasiat.


RAMAI telah mengetahui mengenai kambing dikenali sebagai Boer. Boer, kambing yang dianggap eksklusif kerana harganya yang mahal, kini semakin mendapat perhatian para penternak yang berlumba-lumba untuk menternaknya.

Walaupun demikian, perkembangan industri ternakan kambing tempatan khususnya untuk spesies Boer tidak ke tahap mana kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti masalah kekurangan baka.

Sejarah kambing Boer sebenarnya bermula lebih 10 tahun lalu apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membawa masuk kambing pedigree dari Afrika Selatan.

Selepas itu, MARDI sekali lagi mengimport kambing Boer fullblood dan kali ini dari Australia pula.

Kambing fullblood adalah kambing Boer yang dilahirkan di Australia hasil embrio yang diimport dari Afrika Selatan atau pembiakan pejantan dan induk betina Boer yang warisannya dari Afrika Selatan.

Kemudian pada 2004, MARDI sekali lagi membawa masuk kambing Boer dan kali ini spesies itu datangnya dari Republik Malawi.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Dr. Mohmad Mustafa berkata, gabungan kumpulan kambing Boer yang diimport dari tiga negara itu menjadi teras kepada penubuhan kumpulan nukleus Boer MARDI.

Kumpulan ini mempunyai kepelbagaian sumber genetik yang tinggi dan lebih berkualiti berbanding dengan agensi-agensi penyelidikan tempatan yang lain.

"Biarpun penternakan kambing Boer telah lama di negara ini, tetapi kita masih belum mempunyai ladang stud atau baka tulen dan hanya MARDI yang terlibat dalam ladang nukleus.

''Pemerhatian dan kajian yang dijalankan oleh MARDI menunjukkan kambing Boer mempunyai prestasi yang tinggi dari segi pertumbuhan dan pengeluaran daging," katanya.

Walaupun masih belum terdapat ladang stud di negara ini, hasil tunjuk ajar pegawai MARDI kini beberapa syarikat penternakan telah mempunyai ladang pengganda.

Ini termasuk Ladang Satelit Boden dan Subur Sejahtera di Negeri Sembilan, SF Farm Enterprise di Kedah, Sayfull Sdn. Bhd. di Johor dan Syamille Agro Sdn. Bhd. di Perak.

Tahun lalu, ladang MARDI di Kluang, Johor yang bertindak sebagai ladang nukleus Boer telah menerima 1,000 ekor kambing Boer tulen dari Afrika Selatan.

Bagaimanapun pihak swasta perlu mengambil bahagian dalam membentuk ladang stud memandangkan fungsi MARDI adalah menjalankan penyelidikan.

Dr. Mohmad berkata, penternak perlu belajar kelebihan dan keperluan dalam segi pemakanan bagi membolehkan kambing membesar sehingga 300 hingga 400 gram (g) sehari atau sehingga hingga 12 kilogram (kg) sebulan.

Berpotensi besar

Ternakan kambing Boer berpotensi besar sebagai kambing pedaging kerana lebih menguntungkan dengan menghasilkan daging merah yang enak dan berkhasiat serta kandungan kolestrol lebih rendah daripada ayam.

Daging kambing juga boleh dimakan tidak kira bangsa dan mempunyai potensi besar. Industri tempatan hanya mempunyai kurang dari 300,000 ekor kambing dan hanya dapat menampung keperluan sara diri 10 peratus.

Kerajaan menyasarkan menjelang tahun 2015 dengan sasaran sara diri sebanyak 35 peratus atau satu juta induk kambing.

Kini, negara mengimport daging kambing bernilai RM150 juta setahun atau 25,000 tan metrik dan kebanyakannya adalah daging biri-biri dari Australia. Daging Boer juga sebenarnya boleh dikatakan tidak terdapat di pasaran.

Biasanya daging biri-biri import lebih murah tetapi mempunyai kolestrol yang tinggi.

Daging kambing Boer adalah eksklusif dengan harga yang tinggi dan tidak boleh bersaing dengan ayam.

Malah daging kambing Boer adalah sumber protein yang berkualiti dan pengguna bersedia untuk membayar walaupun harganya lebih mahal.

Begitupun, MARDI telah menjalankan banyak penyelidikan tetapi tahap pengeluaran daging kambing masih rendah.

''Masih banyak teknologi yang perlu dipindahkan kepada penternak sama ada kepada penternak ladang pengganda atau komersial,'' katanya.

Kerajaan melihat projek ternakan kambing Boer berupaya membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan ibu tunggal terutama dalam peringkat ternakan komersial.

MARDI bertindak sebagai nukleus yang terlibat dalam menjalankan kajian meningkatkan kualiti dan produktiviti bagi menghasilkan baka kambing Boer bermutu tinggi.

Sementara penternak pengganda akan terlibat dalam menggandakan bilangan baka kambing Boer bagi kegunaan penternak komersial.

Secara tidak langsung, ini akan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Bagaimanapun penternak yang terlibat perlu menjalankan operasi dengan kaedah yang betul bagi mendapat pendapatan yang lumayan.

"MARDI dan Marditech memainkan peranan dalam mengimport dan memberikan kursus berkaitan ternakan kambing," katanya.

Justeru MARDI baru-baru ini telah mendapatkan bantuan daripada pakar Boer Afrika Selatan bagi membantu meningkatkan kualiti ternakan.

Pengerusi Persatuan Kambing Boer Afrika Selatan, Stephanus W. Malan berkata, ternakan kambing Boer di negara ini mempunyai masa depan yang cerah kerana terdapat pasaran dan permintaan.

"Bagaimanapun sudah pasti sesuatu yang baru akan menghadapi pelbagai masalah. Tetapi dengan nasihat dan keyakinan yang ada pada penternak ladang pengganda dan komersial maka boleh menyelesaikannya dengan baik.

''Banyak yang perlu dipelajari memandangkan kambing Boer bukan haiwan asal di sini," katanya selepas menyampaikan taklimat kursus mengenai ternakan kambing Boer kepada beberapa agensi kerajaan dan swasta di ibu pejabat MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Keupayaan MARDI telah terbukti berjaya dengan melahirkan ladang-ladang pengganda yang berpotensi menjadi ladang stud Boer.

Malan yang telah beberapa kali ke negara ini dan melawat ladang pengganda berkata, industri ternakan memerlukan penglibatan pihak swasta

Manakala tugas MARDI adalah membantu dalam mempersiapkan ladang kecil untuk menjadi ladang pengganda bagi mengeluarkan baka-baka kambing bermutu.

Adalah menjadi hasrat MARDI untuk mewujudkan sekurang-kurangnya enam ladang pengganda kambing Boer setiap tahun dan terkini adalah di tapak tanah rezab Veterinar di Air Guring, Jeli, Kelantan.

Pensyarah dari University of Pretoria, Afrika Selatan, Prof. Gareth Bath berkata, ternakan kambing Boer merupakan industri baru yang perlu diberikan perhatian khusus kerana kuasa ekonomi baru beralih ke Timur - China dan India.

Berkhasiat

Permintaan bagi protein yang bermutu tinggi dengan salah satu pilihan adalah daging kambing Boer yang berkhasiat.

"Bagi mendapatkan daging kambing yang berkualiti, kambing Boer perlu mencapai piawaian yang ditetapkan.

"Antaranya kambing Boer perlu mempunyai banyak daging tanpa mengubah fungsi haiwan berkenaan," katanya.

Di Afrika Selatan, kambing Boer merayau antara 25 hingga 35 kilometer sehari bagi mendapatkan makanan.

Oleh kerana kambing bebas membuat pilihan makanan foraj yang terbaik dari kawasan ragutan semulajadi yang luas maka tumbesaran kambing sangat baik.

Menurut Malan, kambing Boer beliau boleh mencapai berat badan purata 35 kg pada umur tiga hingga empat bulan dan berat sehingga 100 kg apabila berumur setahun.

Beliau berkata, purata kenaikan berat badan harian kambing Boer yang baik boleh mencapai di antara 300 hingga 400 g sehari.

Bagi memulakan ladang stud, penternak tidak memerlukan kambing yang banyak, hanya sekurang-kurangnya 25 ekor betina dan seekor jantan.

Ladang stud akan diperiksa setiap dua tahun bagi memastikan ia memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Biasanya kambing Boer stud mempunyai ciri-ciri tertentu seperti bentuk kepala yang maskulin, dada yang bidang, badan yang panjang, paha yang besar dan kaki yang tegap.


BAKA CHAMPION

Friday, December 18, 2009

CIRI-CIRI BOER YANG BAIK

Beberapa tips untuk mengenali boer terbaik sebagai ternakan kita.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj58Qgxu-8MyIB5phPDQHvxbGopUYqZ-FDcUKSpVI95SEsCh1PBY_9CUXF1DZyUkYxU8mWrsk2YC6fe_Htj180a8pidtFd2xCTFsjW1UEMXU3skAhPYf4znHh5Q2Ngg2TdTi3U0ELPqtbk/s1600/pejantan+boer+fb+besar.jpg
fullblood boer

Boer FB Buck


CIRI_CIRI khusus untuk kambing jantan Boer terbaik adalah terbahagi kepada beberapa sudut :-

Leher pejantan perlu besar dan panjang. ini memberi jumlah daging yg banyak. jantan yg memiliki leher yg sebegini amat senang membesar jika nutrien nya cukup dan ketinggian nya menolongnya untuk kawin dengan lebih aggresive. Kaki serta bahagian depan badannya perlu lebih tinggi dari dari bahagian belakang. ini penting untuk memanjat dan mengawan Kambing betina tersebut. senang untuk melaraskan alat jantinanya dan kena tepat pada alat jantina si betina. Badan jantan perlu panjang, tidak lurus serta mesti ada curve pada pinggulnya yg sedikit menaik dari bahagian tengah badan. curve di bahagian pinggul itu perlu bulat jika dilihat dari sisi dan juga belakang kambing. perut tidak terlalu besar dan tidak bulat. ini satu ciri yg penting. pinggul yg sebegini memberikan lebih daging dan bahagian belakang ini mempunyai nilai yg tinggi jika kita jual on special cut. Perut yg besar serta bulat tidak mempunyai nilai2 komersial yg tinggi pasal tiada daging. cuma jumlah najis yg menurunkan peratus karkas.
Zakar kambing perlu juga di teliti. Bila kambing ni tergeliat atau beriadah, seringkali zakar nya keluar, pada masa nih, perhatikan cara zakar itu keluar dan masuk, pilih jantan yg zakarnya keluar straight dah agak lurus. maksudnya yg smooth jer kuar masuknya. jangan malu2 untuk intai2 si jantan ni. Ni penting untuk poket kita di masa depan. testicles atau telur nya juga perlu di perati, di raba dan di nilai. pilih yg telurnya besar, rapat pada badan..tidak lanjut, saiz kanan dan kiri sama serta berbentuk bulat curve di bawahnya. tiada benjolan jika diraba serta tidak ada luka dan kudis. ini penting untuk penghasilan sperma berkualiti serta banyak dan dapat di pancutkan dengan baik dalam vagina si betina.Paha kambing jantan tu perlu besar, lebar dan menampak kan yg dia ada daging. jangan pilih yg ala ala nak berdaging jer. tu biasanya kurang potensi bila kita gemuk kan.Cara jantan tu jalan pulak kita kena tengok juga. Perhatikan step dia, pilih yg tegap jalan nya yg.macho jalannya, mendada dan kepala asik mendongak. jenis ni cepat sket bereaksi bila ada betina ngurat. yg jenis tunduk pulak ganas bila buat “kerja” tapi lembab sket bab ayat betina. Dan yg paling penting, gunakan baka jantan boer yg fullblood dan mempunyai latar belakang penternak asal yg di ketahui. senang nanati nak refer atau nak buat analisa.



Boer FB Does

Untuk menilai kambing boer betina ni sebenarnya memang agak sukar dan perlu di teliti secara pengamatan fizikal secara langsung, maknanya kena citer benda ni depan kambing tersebut. Tip- tip untuk mengenali nya ada tetapi secara jujur, tak ramai yang tau mengaplikasikannya. Cuma org boleh berbicara bedasarkan teori sahaja dan apabila berhadapan dengan kambing boer, tidak boleh judge crosses ke berapa kambing tersebut. masalah yg lazim terjadi di sebabkan kambing boer cross ni berkepala coklat walaupun dari crosess F2 , F3, F4 hingga ke Fullblood. jadi susah nak ikut guidelines colour conformity dari South Africa nih..kalau based kepala coklat ni banyak lah org buleh cakap dia punya fullblood. Sedangkan, warna kepala adalah tidak berapa penting berbanding pyhisical apperances yg lain. Ada fullblood hitam dan fullblood boer yg berwarna putih atau savannah. Cara yg paling tepat nak tau crosses ke berapa nih ialah kita kena menguji darah nya berdasarkan struktur DNA serta profile nya. masalah nya kita takde lab and lab sumer kat gomen so kira tak berapa praktikal lah. even kat australia pun dia orang tak gemar sgt benda2 nih.

Cara yg boleh diguna pakai adalah bedasarkan pemerhatian beberapa karakter fizikal nya termasuk body score dan keadaan kambing tersebut. banyak rujukan yang boleh dibaca cuma secara jujur, susah nak apply. benda ni kena learn through experience… tu penting
Biasanya, anda cari fulblood yang cantik dan buat sebagai benchmark. maknanya, ambik boer crosses dan compare dengan fullblood betina nih. kalau lebih mirip pada fullblood doe dia punya apperance maka tinggi jugalah darah boer dalam peratusan darahnya. Roman nose, neck, body length, horn dan standing posture tu antara ciri2 yg buleh di jadikan tauladan nak buat comparison. Biasa nya ciri2 yg dekat dengan fullblood mewakili F5 keatas
yg sedang2 sket F4 dan lebih dekat ngan feral punya karakter adalah F3 dan yang mcm feral adalah F2. Bagi meamatan saya, to be fair, always look at the appearance kambing tersebut. Boer is a meat goat, so body should be round and fat. kaki kurus and perut besar jgn ambik. tinggi sgt badan nya pun fault juga. leher shed should be long and wide. and yg paling penting berat nya lebih tapi umurnya kurang...















Feral
Feral Kambing liar Australia. Petani di sana menangkapnya disekitar hutan dan menjualnya keseluruh dunia, termasok Malaysia.














Boer F1
Boer FB jantan yang di kacukkan dengan kambing feral betina yang berwarna putih. Menghasilkan boer F1. Berwarna putih keseluruhan dan bentuk badan masih bercirikan feral.











Boer F2

Boer FB dikacukkan denga boer F1 menghasilkan boer F2. Ciri-ciri utamanya ialah kepala berwarna coklat tetapi agak kabur warnanya. Bentuk badannya juga masih kurang ciri-ciri boer yang berkualiti.










Boer F3

Boer F3 adalah kacukan antara boer FB dengan boer F2. Ciri-ciri utamanya ialah kepala berwarna coklat kemerah-merahan. Bentuk badan menyerupai kambing boer FB. Kualitinya
sangat baik dan banyak dibawa masuk ke Malaysia.













Boer F4



Begitu juga boer F4. Ia juga merupakan kacukan antara boer FB dengan F3. Kepalanya berwarna coklat lebih gelap berbanding boer F3. Keseluruhan kepalanya coklat kemerah-merahan dan kehitam-hitaman. Bentuk badan menyerupai kambing boer FB juga.







Secara keseluruhannya, kelihatan boer purebreed hampir
sama dengan boer FB. Cuma terdapat tompok-tompok putih atau tompok-tompok coklat di badannya. Warna coklat kemerah-merahan bukan hanya terdapat di kepala tetapi turut terdapat di badan. Boer generasi ini juga sangat berkualiti untuk dijadikan baka.

Wednesday, December 16, 2009

PUSAT KAMBING BOER

Berita Harian, 10 Apr 2007

ALOR GAJAH: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, memilih daerah ini sebagai pusat pengumpulan kambing Boer terbesar di Malaysia dalam usaha menjadikan negara sebagai hab daging halal rantau ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi tujuan itu, syarikat Kaprima Livestock Sdn Bhd (Kaprima) di Alor Gajah diberi tanggungjawab melatih bakal penternak serta membekal anak kambing dan membelinya kembali apabila dewasa.

“Kambing itu kemudian dikumpul di sini dan disembelih, sebelum dagingnya dipasarkan ke seluruh negara mahupun antarabangsa dengan menggunakan jenama syarikat itu.

“Jika boleh, kementerian mahu Alor Gajah dikenali sebagai pengeluar daging kambing Boer halal terbesar dunia suatu hari nanti,” katanya selepas melancarkan Majlis Bersama Mara di Felda Bukit Bulat, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam; Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Industri negeri, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Pengerusi Mara, Datuk Nam Martijin.

Mohamed Khaled berkata, Kaprima dipilih memandangkan syarikat Bumiputera itu antara usahawan berjaya di daerah ini dan sanggup berkongsi pengalaman kejayaan dengan melatih ramai bakal penternak kambing Boer.

“Inilah yang diimpikan kerajaan iaitu menggalakkan lebih ramai usahawan. Kita ingin lihat lebih ramai tampil memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat, sekali gus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Ketika ini Kaprima sudah melatih 20 penternak dan saya difahamkan 40 remaja Terengganu menyatakan minat untuk menjalani kursus di sini,” katanya.

Beliau berkata, ia projek perintis bagi ternakan kambing kerana sebelum ini kementerian turut menaja projek ternakan ikan keli, kerapu, lembu dan ayam.

“Pemilihan Kaprima, sekali gus menyaksikan syarikat itu bakal dijadikan vendor membekal daging kambing yang bertanggungjawab menjenama, mengiklan serta memasarkan produk keluaran mereka. Kementerian bersedia membantu memberi sokongan dan bantuan," katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut melancarkan baja organik Kaprima Biotech yang juga produk sampingan syarikat berkenaan.

Beliau turut menyerahkan watikah pelantikan kepada dua Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) iaitu Senator Datuk Latif Datuk Thamby Chin bagi Jasin dan Datuk Ghaffar Abdul Atan bagi Alor Gajah.

Sunday, December 13, 2009

RAJA BOER

Dia memenangi pelbagai anugerah baka kambing Boer terbaik lantaran kambingnya yang mempunyai ketahanan yang lebih tinggi dan mampu membiak dengan baik. Dia dianggap Raja Boer.


JIM BOER di ladangnya di New South Wales, Australia.


PADA tahun 1995, Jim Boer atau nama sebenarnya Jim Mayall Gilgandra hanyalah seorang penternak kambing biasa. Berbekalkan sekawan kecil kambing komersial serta tambahan dua ekor kambing Boer betina dan seekor kambing Boer jantan, dia memulakan usaha taninya yang tidak seberapa.

Namun, penternak kecil di New South Wales (NSW), Australia ini memiliki jiwa yang besar.

Merasakan tiga ekor kambing Boer yang dibelinya itu tidak memenuhi piawaian sama ada untuk tujuan komersial mahupun perusahaan, dia bertekad bahawa sesuatu perlu dilakukan.

Usaha demi usaha dilakukan Jim, 55, untuk menghasilkan mutu baka yang lebih baik. Tanpa latar belakangkan pengetahuan sains dan ilmu genetik, anak jati keluarga peladang ini memasang strategi mencatur pembiak bakaannya sendiri.

Kini, kejayaan telah digapainya. Ladang Jimboer Boer Goat Stud yang diusahakan bersama isterinya, Lyn Mayall di kawasan barat NSW, menjadi saksi akan kegemilangannya. Ladangnya merupakan ladang kambing Boer pertama di Australia yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kambing Boer Afrika Selatan yang cukup berprestij seawal tahun 2004 lagi.

Afrika Selatan merupakan negara susur galur Boer, kambing bertubuh putih dan berkepala coklat itu bermula.

Bukan sekadar dinobatkan sebagai pembiak Boer nombor satu di Australia, bahkan dengan beberapa pihak di Afrika Selatan yang mahu membeli bakanya sudah cukup untuk menjawab sejauh mana Jim telah pergi dalam pencapaiannya.


BOER hasil bakaan Jim yang baru memenangi kejohanan Canberra Royal 2008.


Barang kali, dengan reputasi sedemikian, tidak hairan jika ada yang memberi gelaran kepadanya sebagai Raja Boer atau pembiak baka Boer terbaik dunia.

"Benar, saya telah menerima permintaan daripada Afrika Selatan yang mahu membeli embrio baka Boer saya. Saya menjangka akan mengeksportnya ke sana pada tahun depan," ujar Jim Boer ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Nada suaranya daripada corong telefon berbunyi tenang walaupun ketika menyampaikan sesuatu, yang pada hemat penulis, sewajarnya mengujakannya.

Siapa sangka, bermula daripada tiga ekor kambing Boer lebih 13 tahun lalu yang disifatkan beliau amat teruk kualitinya, kini 300 ekor kambing Boer yang berada pada tangannya ialah sekelompok kambing Boer dengan kualiti paling tinggi.


AHMAD TARMIZI bersama Jim Boer.


Tidak cukup dengan itu, baka-baka kambing Boernya telah diperakui sebagai baka yang sangat bagus dan amat dipandang tinggi oleh pakar-pakar penilai Boer dari Afrika Selatan sendiri seperti Jackie Jordaan, Koenie Kitze, Francois Maritz dan Izak Vorster.

Jordaan menyifatkan kunjungannya ke ladang Jim pada tahun 2005 sebagai satu pengalaman yang mengejutkan kerana ia menghasilkan kualiti baka Boer yang hebat.

Apa yang paling mengagumkannya ialah sifat feminin yang ketara kambing-kambing Boer betinanya dan kegagahan kambing-kambing Boer jantannya mencakupi segenap segi.




Vorster pula mengakui kambing-kambing Boer baka Jim adalah jenis kambing Boer paling cemerlang.

Menghadapi ujian getir seperti kemarau panjang bertahun-tahun, itu merupakan antara tribulasi besar yang dilaluinya. Memang Boer dikatakan boleh menyesuaikan diri dalam suasana kering tetapi hakikat kemarau selama tujuh tahun berturut-turut di NSW sehingga kini suatu yang amat menyukarkan.

"Memang kemarau menambahkan kesukaran. Air adalah keperluan asas semua makhluk hidup," ujarnya yang terpaksa mendapatkan sumber air dengan mengorek perigi bagi memastikan tanaman hay yang menjadi makanan Boernya sentiasa subur.

"Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini adalah berakar umbi daripada keyakinan, kerja keras, kejujuran dan integriti yang saya amalkan selama ini," kata bapa kepada empat orang anak ini. Anak-anaknya berusia antara 14 hingga 28 tahun.

Jim kini giat melakukan percubaan peribadi berasaskan kehandalannya dalam ilmu genetik Boer untuk perusahaan daging Boer. Ia turut dilakukan dengan sokongan pembiak baka Australia yang lain seperti Daryl dan Naree Greenaway. Setakat ini, Boer jantan terbesar yang dihasilkan ialah 140 kilogram dan Boer betina ialah 98 kilogram.




Usaha membiak baka tidak pernah terhenti dan dia selalu mengungguli pelbagai kategori dalam kejohanan Boer di Australia sejak tahun 2005 sehinggalah terbaru di Canberra Royal 2008.

"Apabila bercakap tentang membiak baka, ia bukanlah suatu yang boleh diterangkan dengan mudah begitu sahaja. Banyak perkara dan teknik yang perlu dipelajari. Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu membiak baka kambing Boer, mempelajarinya terlebih dahulu agar kesulitan dapat dielakkan," ujarnya sambil mengakui 'praktikal hidup' merupakan gurunya selama ini.

Jim jujur mengakui matlamat utamanya selepas ini ialah untuk menyebarkan ilmu mengenai Boer kepada sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu untuk mempelajarinya.

Pengurus ladang Agrotrus Sdn. Bhd. dari kumpulan BoerBest, di Ijok Selangor, Ahmad Tarmizi Mohamad merupakan antara insan yang pernah berhubung secara langsung dengan Jim. Dia telah berkelana ke bumi Australia dua tahun yang lalu untuk menemui Jim, individu asing yang belum pernah ditemuinya, demi menuntut ilmu Boer.

"Kepala saya asyik ligat berfikir bagaimanalah penerimaannya. Yalah, rasa rendah diri sangat sebab kita tidak tahu banyak mengenai Boer. Tetapi, perasaan itu hilang, apabila layanan mesra yang diberikan buat kita selesa.

"Apa yang boleh saya katakan, Jim seorang yang sanggup mengajar seseorang walau berada di tahap paling bawah pun. Kata-katanya banyak berdasarkan fakta dan dia bukanlah seorang yang suka mendabik dada memperkatakan kehebatannya. Dia seorang yang merendah diri," ujar Ahmad Tarmizi yang disifatkan sebagai orang Asia pertama menemui Jim di Australia.

"Saya menjadikan dia sebagai idola. Kita lihat bagaimana bermula dengan 'sifar', tanpa pelajaran tinggi dan pengetahuan yang terhad, dia boleh menjadi sebegitu sukses," ujarnya.

Jika anda masih sangsi tentang kehebatan Jim, mungkin kandungan sepucuk emel daripada seorang individu dari Afrika Selatan yang ditujukan kepada Jim mampu merungkainya. Ia lebih kurang berbunyi:

"Saya tidak akan berhenti membiak baka kambing Boer sehinggalah saya dapat menghasilkan kualiti Boer seperti anda."


KENALI BOER

Apa itu kambing Boer?
Kambing Boer telah dimajukan di Afrika Selatan sebagai baka untuk daging. Perkataan "Boer" dirujuk kepada keturunan dari pendatang Belanda yang ramai daripadanya adalah peladang yang terus menetap di negara itu. Oleh itu "Boer" sebenarnya bemaksud "Kambing peladang". Oleh kerana penternakan baka yang terpilih secara mendalam yang diamalkan oleh penternak Afrika Selatan selama lebih dari 50 tahun yang lalu, baka Boer ini dianggap sebagai baka yang terbaik dari segi penghasilan dagingnya. Baka ini dikenali dengan kadar penambahan berat yang cepat, otot yang besar dan kadar peranakan yang tinggi. Boer selalunya melahirkan anak kembar.

Q: Apakah kelebihan kambing Boer ?

Oleh kerana baka Boer telah dimajukan khusus untuk peghasilan daging dan kebolehannya untuk menurunkan kualiti ini kepada anak-anaknya, bersama kualiti lain termasuk peragutan yang lasak, penambahan kambing jantan Boer kedalam kumpulan kambing ternakan boleh membantu untuk menambahkan kualiti anak-anak kambing tanpa membuat mereka terlalu lembut untuk menjadi kambing peragut.

Q: Berapakah harga kambing Boer ?
Harga kambing Boer fullblood adalah disekitar RM2500-3000. Boer fullblood selalunya diimport dari Australia. Baka kambing Boer F1 pula adalah disekitar 700-1200. Harga ini bergantung kepada umur, saiz dan kualitinya.


Q: Adakah saya perlu untuk mencampurkan kualiti Boer kedalam kambing ternakan saya?
Tidak perlu. Jikalau permintaan kekal seperti sekarang dan daging kambing import tidak membanjiri pasaran kita, anda mungkin boleh bertahan sekalipun ternakan anda kecil dan kualiti dagingnya rendah seperti kambing cokelat diatas. Tetapi dengan perkembangan industri penternakan kambing di negara kita yang semakin rancak, anda mungkin mahu untuk menimbangkan untuk menambah sekurang-kurangnya kambing Boer jantan seperti kambing Boer putih diatas ke dalam kumpulan ternakan bagi menambah kualiti kambing ternakan anda untuk bersaing dengan daging berkualiti yang sudah tentu akan menguasai pasaran




Ramai yang tidak pasti mengetahui jenis kambing yang diimport atau dibeli. Sekiranya tidak berhati-hati, kita mungkin akan terpedaya dengan penjual. Sebagai contoh, kambing boer purebreed adalah hampir sama rupanya dengan kambing boer fullblood. Penjual mungkin akan mengatakan kambing tersebut fullblood sedangkan ianya purebreed. Begitu jugalah dengan kambing cross.

Feral - adalah kambing asal Australia. Masa memula orang putih tiba di Australia beratus tahun dahulu, mereka lepaskan kambing. Mereka takut tersesat, sekurang-kurangnya boleh tangkap kambing. Selepas beberapa lama kambing tu jadi peliharaan lading ladang disini. Ada juga pemilik lading ladang yang amat luas menangkap sahaja kambing ini yg membiak liar. Jadi harga kambing ni memang murah.Oleh itu ramai orang tak sedar. Mereka ingat semua kambing yang diimport dari Australia tu boer goat. Semoga korang tak tertipu…

Boer Fullblood (FB) - adalah kambing boer keturunan asal dari Africa yang tidak dicampur dengan manamana baka kambing lain. Kambing ini mempunyai ciri Boer yang sebenar, iaitu cepat membesar dan membiak. Kat Malaysia harga untuk jenis ini paling kurang RM2,500 seekor.

Boer F1 - adalah anak kambing yang lahir hasil dari perkahwinan antara Boer Fullblood (FB) dengan kambing jenis lain. Kat Malaysia harga untuk jenis ini paling kurang RM700 seekor.

Boer F2 - adalah anak kambing yang lahir hasil dari perkahwinan antara Boer Fullblood (FB) dengan Boer F1.

Boer F3 - adalah anak kambing yang lahir hasil dari perkahwinan antara Boer Fullblood (FB) dengan Boer F2.

Boer F4 - adalah anak kambing yang lahir hasil dari perkahwinan antara Boer Fullblood (FB) dengan Boer F3.

Purebreed - adalah gelaran bagi F4 (bagi betina) dan F4 keatas bagi jantan.

Mengenali Kambing Boer Lebih Lanjut


Asal usul Kambing Boer pada dasarnya tidak begitu jelas, tetapi ramai penyelidik mempercayai ia mempunyai gene pool dari pelbagai baka terutama kambing asli Afrika yang menjadi binatang ternak suku Namaqua Hottentots dan suku asli yang berhijrah dipanggil ‘Souhtern Bantu’.

Di percayai juga terdapat pengaruh kambing dari India, Angora dan Eropah. Kelahiran kambing polled (tidak bertanduk) dipercayai mempunyai pengaruh baka kambing susu dari Eropah. Boer bermaksud ‘farm’ atau ‘ladang’ dalam bahasa Belanda. Boer yang kelihatan hari ini telah ujud semenjak awal 1900an apabila beberapa ladang di Wilayah Timur Cape, Afrika Selatan mula membuat pemilihan baka untuk tujuan pengeluaran daging kambing. Pada 1959 , pembiakan dan pemilihan Kambing Boer mula di kawalselia oleh Boer Goat Breeder’s Association (South Africa).


Berdasarkan Piawaian Baka oleh Boer Goat Breeder’s Association of South Africa, ciri-ciri Boer yang ideal adalah berbadan putih dan coklat/merah dikepala dan leher ( blaze). Kehadiran tompok coklat/merah dibahagian badan pada kadar minima adalah dibenarkan.

Boer adalah binatang yang kuat dan mantap, konformasi badan yang baik. Kaki nya pendek , tegap , berisi serta paha dan bahagian belakang yang tegap dan berotot. Ianya jelas menggambarkan ciri-ciri kambing daging yang baik.

Kambing Boer Jantan mencapai berat 110-135 ketika matang manakala kambing betina 90-100 kg. Daging Boer terkenal tentang keenakannya. Buat masa ini ia mendapat pasaran yang begitu tinggi di Amerika Syarikat terutama untuk kacukan Boer yang mempunyai 75% atau lebih darah Boer.

Ringkasan Ciri-ciri Boer

* Mempunyai gene pool dari pelbagai baka terutama kambing asli Afrika
* Diternak suku Namaqua Hottentots dan suku Southern Bantu
* Terdapat pengaruh kambing India, Angora dan Eropah
* Berbadan Putih & Coklat/ Merah dari kepala ke leher
* Konformasi badan yang baik, tegap dan mantap. Kaki pendek, tegap, berisi serta bahagian paha dan belakang yang tegap dan berotot.

Baik Dan Buruk Kambing Boer Dalam Konteks Malaysia

Kambing Boer merupakan kambing pedaging yang tebaik kerana rangkanya besar,
manakala saiz tulangnya pula kecil dan mempunyai peratusan daging yang tinggi. Kambing Boer Baka Pejantan boleh mencapai berat melebihi 100kg bila mencapai umur 2 tahun, manakala Boer kacukan yang biasanya dibuat sembelihan boleh mencapai berat sekitar 40-50kg apabila mencapai umur 1 tahun.

Peratusan daging (karkas) yang diperolehi biasanya sekitar 50-55% daripada berat hidup.Kambing Boer sama ada jantan atau betina, buat masa ini kebanyakannya adalah diimport dari Australia. Boer jantan selalunya agak lasak dan tahan terhadap perubahan iklim dan suasana persekitaran, yang nyata berbeza di antara Malaysia dan tempat asalnya Australia.

Iklim di Malaysia adalah panas lembap di mana hujan turun dengan lebat pada masa-masa tertentu. Di Australia pula,iklimnya panas dan kering, dan kadar kelembapan udaranya rendah. Cara penternakan Boer di Australia adalah secara lepas bebas di mana kambing makan secara meragut rumput dengan bebas, dan jarang sekali berinteraksi degan manusia. Di Malaysia pula, kambing terpaksa dikurung di dalam kandang dan makanan diberi secara berjadual (fidlot).

Hanya apabila cuaca panas dan kering sahaja kambing boleh dibiarkan merayau dan makan bebas di padang ragut. Ini adalah untuk mengelakkan jangkitan penyakit seerti kecacingan dan kurap. Boer betina pula adalah tidak lasak dan mudah alah kepada perubahan iklim dan persekitaran. Pengalaman menunjukkan bahawa kadar kematian adalah tinggi bagi Boer betina yang diimport dari Australia untuk diternak di Malaysia.

Kematian selalunya adalah disebabkan oleh merebaknya penyakit pneumonia di dalam kandang, dan ini selalunya berlaku pada musim hujan. Risiko kematian selalunya sangat tinggi dalam tempoh 6 bulan ketibaan kambing Boer ini di Malaysia. Selepas tempoh itu, barulah Boer betina ini dapat menyesuaikan diri dengan iklim dan persekitaran baru di negara kita.

Setengah-setengah penternak kehilangan sehingga kira-kira 50% dari bilangan Boer betina yang diimport akibat kematian. Oleh itu, bagi penternak yang ingin menternak kambing Boer, adalah dinasihatkan membeli Boer betina yang sudah mengalami penyesuaian dengan iklim tempatan ('climatised') walau pun harga pasarannya agak tinggi berbanding Boer betina yang baru tiba.

Pilihan lain adalah membeli anak kambing Boer kelahiran tempatan dan membesarkannya sehingga dewasa untuk dijadikan induk. Untuk kos yang lebih rendah, penternak boleh juga menggunakan kambing kacukan tempatan atau yang diimport dari Indonesia untuk dikahwinkan dengan Pejantan Boer FB bagi menghasilkan anak boer kacukan F1.

Walau bagaimana pun, tidak digalakkan penternak membeli kambing kacukan dari Thailand/Myanmar kerana peratusan yang membawa penyakit berjangkit adalah sangat tinggi. Penyakit yang dimaksudkan adalah brucella (brucellosis), penyakit ini boleh merebak kepada ternakan anda yang lain yang berada di dalam kandang yang sama.