Showing posts with label RUSA. Show all posts
Showing posts with label RUSA. Show all posts

Monday, July 15, 2013

TANDUK RUSA



APABILA ditanya pendapat orang ramai tentang fungsi tanduk rusa, kebanyakan mereka beranggapan ia hanya sesuai dijadikan perhiasan dinding.
Dengan cabang lancip yang asalnya tumbuh meninggi, gantungan tanduk rusa apatah lagi di rumah desa, mudah memberi tafsiran bahawa ia adalah ornamen yang kaya dengan nilai eksotik.
Namun, di sebalik pandangan tipikal itu, tanduk rusa sebenarnya mempunyai 1001 manfaat perubatan yang diketahui sejak 2,000 tahun lalu.
Di Rusia misalnya, pakar-pakar kesihatan dan kecergasan negara itu mendedahkan bahawa atlet mereka mengalami peningkatan prestasi yang besar selepas mengambil bahan bukan toksik yang dihasilkan daripada tanduk muda rusa yang lebih dikenali sebagai tanduk baldu atau velvet antler.
Malah, menurut satu penyelidikan perubatan alternatif yang diketuai Pengerusi Persatuan Akupuntur Amerika dan Perubatan Biotenaga, Prof. Dr. Alex Duarte, di New Zealand, tanduk baldu digunakan sejak berabad lalu untuk mengawal tekanan darah, meningkatkan tahap hemoglobin serta menambah kecekapan fungsi paru-paru.
Menurut sejarah perubatan, tanduk baldu boleh mengubati 52 penyakit berbeza.
Antaranya, membantu pembinaan otot, meningkatkan fungsi kelenjar, menambahkan stamina, menajamkan kecerdasan mental, melegakan keradangan artritis, dan menyembuhkan ulser perut.

LELAKI ini optimis ternakan rusa dan tuaian tanduk baldu boleh dikomersialkan dan menjadi cabang baharu kepada industri perubatan alternatif tempatan.


Sementara itu, pakar herba China menggunakan tanduk baldu bagi menyeimbangkan sistem endokrin dan rawatan mati pucuk kaum lelaki.
"Tanduk baldu sangat bagus untuk merawat bengkak pada kelenjar prostat, malah boleh memekatkan air mani.
Mati pucuk
"Ia juga banyak digunakan untuk merawat gangguan haid kerana ia mengandungi kedua-dua hormon lelaki dan wanita.
"Selain itu, tanduk baldu kaya dengan komponen tulang rawan, enzim, mineral, vitamin, prostaglandin antiradang dan sejenis insulin pertumbuhan iaitu IGF-1," jelas Duarte.
Lantaran manfaatnya yang pelbagai dan potensi kebolehpasaran tanduk baldu sebagai cabang perubatan alternatif, seorang usahawan ternakan, Muhammad Akhbar Chiraghdin, 52, yang sejak muda menternak lembu dan kambing, mula mengalihkan tumpuan kepada ternakan rusa.
Mempunyai pengalaman selama 19 tahun menternak rusa, beliau kini merupakan penternak terbesar rusa di negara ini.
Bermula dengan 22 ekor rusa di ladang yang dibuka di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, rusa yang dibiak dan diternaknya kini mencecah 2,000 ekor.
PANGKAL tanduk diikat sebelum tanduk dipotong dengan wayar kabel.


Penternakan skala besar itu juga mendorong Muhammad Akhbar untuk berpindah ke ladang baharu di Sungai Jin yang terletak di Sungai Lembing, Pahang, dua tahun lalu.
Berdiri atas nama De Paradise Sdn. Bhd., anak kelahiran Chenor, Maran ini berpendapat, menternak rusa jauh lebih mudah daripada lembu atau kambing kerana ia memiliki daya tahan penyakit yang tinggi.
"Kita tidak perlu risaukan penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, mulut, tangan dan kuku, malah kadar penyembelihan haiwan kerana sakit juga jauh lebih rendah berbanding dahulu," ujarnya.
Buktinya, di ladang seluas 102 hektar yang diusahakannya itu, Muhammad Akhbar memerlukan empat atau lima pekerja sahaja bagi memastikan ribuan rusa pelbagai spesies yang mempunyai kadar kesuburan 125 peratus itu diberi makan pada masa tertentu.
Gigit tanduk
Menariknya, tujuan lelaki ini menternak bukanlah untuk menjual daging rusa, sebaliknya mahu mendapatkan tanduk baldu yang kaya dengan khasiat perubatan.
"Selepas membaca banyak jurnal perubatan dari Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, China dan Korea, kemudian bertukar-tukar pendapat dengan rakan-rakan penternak dari Australia serta merasai sendiri manfaat daripada tanduk baldu rusa, saya pasti penternakan rusa berpotensi untuk dikomersialkan.
"Saya ternak rusa untuk dituai tanduk baldunya memandangkan belum ada pengusaha tempatan yang menceburi bidang ini, apatah lagi dalam skala besar.
"Rusa hanya akan disembelih dan dijual dagingnya apabila ia tercedera atau tidak mampu menghasilkan tanduk yang berkualiti," katanya.
Menurut beliau lagi, hanya rusa jantan yang ditumbuhi tanduk dan ia boleh dituai seawal usia tiga tahun.
"Selepas dua bulan tanduk baldu tumbuh, ia boleh dituai. Dalam tempoh itu, tanduk memiliki kepanjangan antara 40 sentimeter (sm) hingga 60sm.
"Tanduk yang berumur tiga bulan boleh mencecah ukuran sehingga 80sm, tetapi pada masa itu tanduk mula mengeras.
"Rusa yang bakal dituai tanduknya diasingkan sebelum dimasukkan ke dalam sebuah bilik gelap.
"Di situ nanti, proses menuai dilakukan. Ramai beranggapan, memotong tanduk rusa hidup-hidup kelihatan zalim, namun fitrah rusa itu sendiri mahukan tanduk itu ditanggalkan.
UNTUK mematikan saraf tanduk dan menghentikan pendarahan, bahan kimia khas digunakan.


"Kalau tanduk dibiarkan panjang dan mengeras, rusa lain akan menggigit tanduk rusa tersebut sehingga ia tertanggal. Fitrah ini berlaku dalam keadaan tenang, bukan dalam situasi pergaduhan," ujar Muhammad Akhbar.
Jelasnya juga, tanduk rusa akan dituai sehingga ke pangkalnya.
"Selepas dua minggu tanduk dipotong, pangkalnya yang mengeras akan tertanggal.
"Beberapa bulan selepas itu, tanduk baldu akan tumbuh semula. Begitupun, tanduk tidak akan terus tumbuh.
"Jika tanduknya dituai pada bulan September tahun ini, tanduk rusa yang sama hanya boleh dituai pada bulan Oktober tahun hadapan.
"Dalam setahun, hanya sekali tanduk rusa boleh dituai," jelas Muhammad Akhbar yang menjalankan rutin menuai tanduk baldu seminggu sekali di ladangnya.
Katanya, dalam setahun, ladangnya mampu mengeluarkan sehingga 600 kilogram (kg) tanduk baldu.

TERNAK RUSA




 

  • Kadar beranak yang tinggi 80 - 90%

  • Ternakan yang tahan hujan dan panas

  • Kadar kematian anak yang rendah 2 - 5%

  • Rusa tidak memilih rumput yang dimakan

  • Daging kurang lemak dan kolestrol serta sedap

  • Dressing percentage dalam lingkungan 60%

  • Rusa cekap menukar rumput kepada daging

  • Perusahaan ternakan yang cepat mengembang serta menggunakan kurang keluasan tanah berbanding dengan ternakan bebiri atau lembu

  • Mendatangkan hasil yang lebih tinggi - 1 ekar/tahun/RM15,000.00

Friday, March 5, 2010

D-PARADISE

JOM SINGGAH

Kejutan ketam gergasi

Di perkampungan D-Paradise di Alor Gajah, pengunjung berpeluang mendekati alam semula jadi, kehidupan Orang Asli dan bertemu dengan si tangan penyepit.


KETAM seberat lima kilogram ini dibawakan khas dari Pulau Krismas, Australia.


Lokasi percutian berkonsep alam semula jadi yang diberi nama D-Paradise itu hanya satu jam setengah pemanduan dari Kuala Lumpur. Terletak di Alor Gajah, Melaka, ia memberi lebih daripada apa yang dijangkakan.


PONDOK ini adalah antara binaan tradisi yang mengangkat gaya penempatan Orang Asli.


Penginapan selesa, lawatan akademik, tarikan muzium hidup dan eksperimen tunas rasa melalui hidangan disediakan khas daripada sumber di sekelilingnya.

D-Paradise menyambut kedatangan tetamunya dengan gabungan kawasan ladang buah tropika terbesar dan juga perkampungan Orang Asli. Hinggakan untuk melawat keseluruhan taman seluas 68 hektar itu, kenderaan buggy diperlukan!


KEINDAHAN aturan landskap di Taman Kaktus.


Kira-kira 800 spesies tumbuhan melatari muka bumi D-Paradise. Paling menyeronokkan apabila dapat menjejakkan kaki ke ladang yang para petugasnya sedia mempelawa anda merasai kelazatan pelbagai jenis buah-buahan istimewa.

Selain itu, dekati juga golongan Orang Asli yang turut berkongsi penempatan dengan penginap calet.


PENGUNJUNG D-Paradise berpeluang mendekati aktiviti Orang Asli.


Orang Asli itu begitu peramah menunjukkan pengunjung akan warna kehidupan seharian mereka seperti memburu dengan sumpit, menyediakan makanan, membuat kraf dan mengumpul herba untuk dijadikan ubat-ubatan.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan ketam darat terbesar di dunia, yang masing-masing seberat kira-kira lima kilogram. Ketam-ketam ini adalah pemberian Kerajaan Australia kerana ia berasal dari Pulau Krismas.


RUSA-RUSA ini menjadi jinak terutama apabila diberi makan.





Kuat dan tangkas, ia membuatkan pengunjung terpesona dengan kebolehan memecahkan tempurung kelapa untuk dimakan isinya.

Taman alam D-Paradise turut mengajak tetamunya melihat sendiri ternakan rusa yang bebas berkeliaran di bahagian landskap berlembah.

Haiwan itu begitu jinak kerana ia akan menghampiri manusia untuk meminta makanan.

Selain rusa, taman tersebut menjadi tumpuan keluarga yang mahu menyentuh dan membelai arnab, burung unta dan mendekati kandang buaya yang dikurung di dalam habitat lubuknya. Lawatan safari malam juga tidak harus disia-siakan.

Kalau datang bersama anak-anak, jangan pulang selagi tidak memperkenalkan mereka kepada tapak lawatan bersifat akademik.

Selain mengenali jenis-jenis tumbuhan bebuah dan herba, lengkapkan sesi lawatan dan penginapan dengan mengunjungi taman orkid, tapak semaian periuk kera dan juga taman kaktus.

Melihatkan keindahan tumbuhan hijau itu, pasti ada yang mendapat ilham merias taman di halaman rumah!

DEERLAND PARK

RENCANA UTAMA

Guna kod jinakkan haiwan

Jauh daripada kesibukan kota, Deerland Park di Mentakab, Pahang menawarkan pengalaman menyuapkan makanan kepada beruang atau bermain-main dengan 20 ekor rusa. Menarik bukan?




PERNAHKAH anda melawat zoo atau ladang ternakan rusa? Jika pernah, berapa dekat jarak anda dengan haiwan liar seperti beruang atau rusa ketika di sana?

Mungkin jarak paling hampir pun sekitar lima hingga 10 meter dan yang lebih pasti, anda berada di luar pagar. Bukanlah salah zoo atau ladang ternakan, memandangkan sudah menjadi naluri haiwan liar untuk menjauhi manusia.

Justeru, peluang mendekati, memberi makan, memegang bahkan membelai haiwan liar, pasti akan menjadi satu pengalaman yang sukar disangka oleh kebanyakan kita.

Itulah keistimewaan yang terdapat di Deerland Park yang terletak berhampiran Pusat Pemeliharaan Gajah di Kuala Gandah, Pahang.

Pengasas Deerland, Abdullah Ahmad Mahmud, 56, berkata, para pengunjung termasuk kanak-kanak berpeluang bermesra dengan haiwan liar tanpa halangan dan masalah.


JANGAN lepaskan peluang untuk memberi makan pada beruang jinak ini.


"Jangan bimbang dan takut kerana haiwan-haiwan di sini tidak bersikap ganas terhadap pengunjung. Semuanya telah dijinakkan dan menyayangi manusia," jelas anak kelahiran Bentong, Pahang ketika berbicara tentang taman rusa kesayangannya.

Ujar anak kesembilan daripada 10 adik-beradik ini, pada asalnya, dia tidak pernah terfikir apatah lagi berhasrat untuk membuka Deerland.

Menurutnya, segalanya bermula sebagai hobi, di mana dia membuka sebuah taman kecil yang menghimpunkan haiwan liar yang jinak pada tahun 1996.

Namun, semua itu berubah selepas taman kecil Abdullah dikunjungi oleh pasangan pelancong asing dari England, sekitar tahun 2000.

Pelancong yang dalam perjalanan ke Pusat Pemeliharaan Gajah, Kuala Gandah terpikat melihat kemesraan Abdullah memeluk dan mengusap rusa dengan penuh kasih sayang.

Situasi itu menyebabkan pelancong asing berkenaan merayu berkali-kali untuk memasuki taman rusanya, walaupun dihalang oleh Abdullah.

"Serba salah dibuatnya kerana pada waktu itu, ia hanyalah sebuah taman milik persendirian. Oleh kerana kasihan dengan rayuan mereka, akhirnya saya bersetuju membenarkan mereka masuk.


JANGAN takut dan bimbang untuk mendekati burung unta kerana petugas Deerland sentiasa memantau.


"Alangkah gembiranya mereka apabila berpeluang memeluk, memegang dan mengusap rusa-rusa saya. Kata mereka, bagaikan mimpi kerana dapat membelai rusa seperti haiwan peliharaan.

"Sebelum pulang, pasangan pelancong tersebut menyarankan saya agar membuka taman ini kepada orang awam kerana ia dapat mendidik pengunjung menyayangi haiwan liar dan menerapkan rasa kasih pada flora," katanya.

Cadangan pelancong dari England itu dipertimbangkan dengan teliti sebelum Abdullah mengambil keputusan membuka taman itu kepada orang ramai. Terlebih dahulu, beliau memohon permit untuk membuka dan mengurus taman rekreasi dan taman mini haiwan daripada pihak Jabatan Perhilitan Temerloh, Pahang.


ATAS: AKTIVITI rekreasi yang dianjurkan.


Peluangnya semakin cerah apabila permohonan permit diluluskan dan pada Jun 2004, taman rusa (Deerland) dibuka secara rasmi dengan keluasan 10 hektar.

Namun begitu, pembukaan Deerland bukanlah untuk mengaut keuntungan tetapi lebih tertumpu menjadikannya sebuah taman rekreasi pendidikan semula jadi dan pusat konservatif kelolaan persendirian.

Ini kerana taman Deerland itu menampilkan konsep kembali ke alam semula jadi dengan menghidangkan udara segar dan persekitaran yang dikelilingi rimbunan pohon menghijau. Melihat kesungguhan dan kejayaan Abdullah menarik minat pengunjung, Pejabat Tanah Temerloh, Pahang memberi dua setengah ekar tanah kepadanya.

Sejak diusahakan pada tahun 1996 sehingga kini, Abdullah memberitahu, sebanyak RM300,000 sudah dibelanjakan untuk proses tanaman, haiwan, makanan dan penyelenggaraan taman.

Apakah jenis binatang yang terdapat di Deerland? Kata Abdullah: "Semestinya haiwan utama kami iaitu rusa. Setakat ini, kami mempunyai tiga jenis rusa yang terdiri daripada samba (empat ekor), timur (90 ekor) dan sika (tiga ekor). Walaupun memiliki 90 ekor rusa timur tetapi hanya 20 ekor sahaja yang jinak kepada pengunjung.


ABDULLAH (tengah) bergambar kenangan bersama pelancong asing.


"Pengunjung juga berpeluang bermesra dengan burung unta, ular sawa, arnab, burung puyuh, burung merak, monyet dan hadge hock, sejenis haiwan daripada kumpulan tikus," ujarnya.

Jangan ketinggalan untuk beramah-mesra dan menyuap makanan ke dalam mulut beruang yang bernama Muda. Beruang yang diambil dari Jabatan Perhilitan Temerloh, Pahang ini mempunyai ukur lilit sebanyak 30 inci dan empat kaki tinggi.

Selain memberi makan dan memeluk haiwan, pengunjung pasti terhibur melihat keletah rusa jinak yang menarik baju anda, menunjukkan aksi berdiri dua kaki dan berkejar-kejaran.

Kebanyakan haiwan liar di sini diimport dari luar negara seperti burung emas dan burung putih, ayam Peru, ayam hutan merah dari China, rusa timur (Indonesia), rusa sika (Taiwan) dan hadge hock dari Eropah.

Melihat haiwan-haiwan Deerland yang jinak dan mesra, Abdulah menjelaskan, beliau menggunakan kod tertentu untuk menjinakkan haiwan-haiwan tersebut.


DEERLAND menerima lebih 1,000 pengunjung setahun.


Bercerita lanjut mengenai kod itu, katanya, sebelum mengendalikan Deerland, Abdullah terlebih dahulu mengusahakan ternakan lembu.

"Membela 300 ekor lembu di ladang yang luas cukup meletihkan, terutamanya apabila haiwan ini hilang ketika meragut rumput. Jadi, saya melatih lembu-lembu ini dengan melaungkan perkataan deras! deras! Mendengar sahaja kod deras, lembu-lembu berkenaan bergegas datang ke arah saya. Tak perlu lagi saya mencarinya di seluruh kawasan.

"Konsep yang sama turut digunakan di sini mengikut jenis haiwan. Kod tersebut ternyata berjaya kerana rusanya yang pernah hilang sebelum ini pulang ke taman apabila mendengar kod yang dilontarkan oleh Abdullah.

Menyentuh jumlah pengunjung Deerland, Abdullah memberitahu, biasanya dia menerima kira-kira 1,000 pengunjung dalam setahun. Jumlah kehadiran pengunjung akan meningkat pada hujung minggu dan cuti sekolah, terutamanya golongan ibu bapa yang membawa anak-anak kecil untuk mengenal dan bermesra bersama hidupan liar.

Kebanyakan pengunjung adalah dari Australia, selain Rusia, Surinam, Brazil dan Jepun. Pengunjung tempatan pula terdiri daripada penduduk Kuala Lumpur.

Mengenai aspek pengurusan, katanya, beliau dibantu oleh anak sulungnya, Herlina yang bertindak sebagai Pegawai Pemasaran dan anak keempatnya, Hafifi yang bertugas memantau pergerakan haiwan terutamanya beruang.

Selain tarikan utama di Taman Haiwan, Taman Herba turut mendapat sambutan pengunjung yang mencintai kehijauan dan ingin mengetahui mengenai tumbuhan herba. Bagi program lawatan ke Taman Herba ini, pengunjung akan dibawa oleh petugas Deerland merentasi jambatan gantung setinggi enam kaki dan 600 kaki panjang.


BELAILAH hadge hock yang diimport dari Eropah.


Ekspedisi yang mengambil masa antara 30 hingga 45 minit ini, bakal menemukan anda dengan pelbagai jenis tumbuhan dan herba.

Bukan itu sahaja, di Deerland, para pengunjung juga boleh menjalani aktiviti perkhemahan di tapak yang disediakan selama tiga hari dua malam. Pengunjung hanya perlu membawa khemah dan alas tidur sahaja.

"Setiap tahun, kami menerima pengunjung sekolah dan syarikat yang sentiasa menjalankan aktiviti perkhemahan, antaranya Club Med Kuantan dan sekolah Cina dari Pahang.

"Bagi mengelakkan rasa bosan dan mengisi jadual aktiviti kumpulan perkhemahan, kami menjalankan pelbagai aktiviti rekreasi yang menarik dan menguji ketahanan mental serta fizikal," jelas Abdullah yang memberitahu, antaranya ialah aktiviti tali, flying fox dan berjalan malam dalam hutan.

TERNAKAN RUSA KOMERSIL JANJI PULANGAN LUMAYAN

Oleh Sariha Mohd Ali
Berita Harian, 13 Jul 2007

KEGIATAN penternakan lembu, kambing atau kerbau memang biasa dilihat di negara ini, tetapi bagi Derawi Junus, 68, dari Kampung Cherating Lama, dekat Kuantan, pembabitannya dalam bidang ternakan dilihat agak berbeza kerana haiwan ternakannya adalah rusa.

Bermula daripada minat memelihara rusa pada 1993, Derawi mengembangkan kegiatan itu sehingga pada satu ketika mempunyai 450 ekor rusa yang diternak di kawasan seluas 4.8 hektar berdekatan kampungnya.

Bermodalkan wang sendiri kira-kira RM24,000, dia membeli 12 ekor rusa dari Jabatan Haiwan Kelantan pada 1993. Dalam tempoh dua setengah tahun, pelaburannya itu sudah memberi keuntungan kerana setiap rusa dijual, dia mampu memperoleh keuntungan bersih kira-kira RM1,300.

“Ramai memandang sinis kepada saya kerana mahu memelihara rusa dan bukannya lembu kerana selain ia sesuatu yang baru, kos diperlukan pula tinggi. Tetapi saya nekad dengan membeli 12 ekor rusa, termasuk 10 rusa betina untuk dijadikan induk dan hasilnya, selepas dua tahun, saya sudah mendapat untung berganda.

“Daging rusa dijual RM50 sekilogram dan setiap seekor rusa berusia dua setengah tahun, beratnya mencecah 80 kilogram,” katanya.

Derawi berkata, Petronas antara
pelanggan utama rusa ternakannya, selain Penerbangan Malaysia (MAS) dan beberapa orang kenamaan dari Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur yang membeli ternakan itu untuk hidangan pada majlis istimewa.

Paling membanggakan, 15 rusa ternakannya juga pernah dibeli Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjamu penduduk di kawasannya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Selepas usaha ini berjaya, Jabatan Haiwan Sabak Bernam di Selangor pula menjual 17 ekor rusa betina kepada saya, bagi membolehkan ternakan itu berkembang. Sekarang, rusa saya hanya tinggal 100 ekor dan saya kini menumpu kepada usaha membiakkannya kerana jumlah penternak rusa di negara ini masih berkurangan, sedangkan sektor ini memberi keuntungan lumayan.

“Masalah sekarang ialah bekalan semakin berkurangan, tetapi permintaan daging rusa terus meningkat,” katanya yang berhasrat menternak 1,000 ekor rusa, jika permohonannya mendapatkan tanah dari kerajaan negeri berjaya.

Beliau berkata, kawasan dikendalikannya sekarang tidak mampu menampung jumlah rusa yang ada, malah tanah seluas 2.2 hektar dipajak daripada penduduk kampung pula, akan diambil balik pemiliknya.

“Sebenarnya, projek ini mempunyai nilai komersial tinggi dan saya sedia memberi nasihat kepada sesiapa berminat untuk terbabit dalam ternakan rusa kerana penjagaan ternakan ini adalah mudah. Bagi mendapatkan bekalan anak rusa, saya sudah menghubungi rakan niaga di Indonesia, tetapi kekurangan kawasan menyebabkan hasrat itu tertangguh dulu,” katanya.

Derawi berkata, sebagai penternak rusa terbesar di Pantai Timur, dia perlu memastikan projek ternakannya itu mampu menjadi contoh kepada penternak kecil-kecilan lain.

Katanya, bagi menanam minat orang ramai memelihara rusa, dia sudah menjual banyak anak rusa dengan harga
rendah kepada mereka yang berhasrat menceburi bidang itu secara komersial.

“Saya faham, bukan semua penternak khasnya penduduk kampung mampu membeli rusa secara tunai, malah saya difahamkan, Jabatan Haiwan juga tidak mempunyai bekalan baka rusa untuk diagihkan kepada mereka berminat.

“Sebab itu, saya sanggup ‘memberi’ mereka baka rusa untuk dibiakkan dan sekarang beberapa penternak, termasuk di Balok dan Temerloh, sudah mula mengembangkan ternakan mereka, tetapi jumlahnya masih rendah iaitu tidak melebihi 40 ekor,” katanya.

Sebenarnya, kata beliau, penjagaan rusa amat mudah iaitu memberinya makan mengikut jadual ditetapkan pada pagi dan petang. Haiwan itu tidak perlu dikurung, sebaliknya bebas di kawasan berpagar dan lebih elok, jika kawasan berumput.

“Selain dagingnya yang mahal, tanduk rusa yang kelihatan seperti ranting kayu itu juga amat berharga dan dijual kira-kira RM500 sepasang untuk dijadikan perhiasan,” katanya.

Derawi berkata, harga daging rusa akan terus meningkat di pasaran berikutan kos penjagaannya semakin tinggi, terutama pelet makanannya.
Makanan untuk rusa dijual RM36 setiap beg sekarang, berbanding hanya RM18 sebelum ini.

Mengenai cabaran pernah ditempuhinya, Derawi berkata, dia pernah kerugian kira-kira RM50,000 apabila lebih 10 ekor rusanya terlepas keluar menerusi pagar terbuka dan hilang di dalam kawasan belukar berhampiran.

Malah, rusa ternakannya juga menjadi sasaran buruan pihak tidak bertanggungjawab yang menembaknya.

“Sejak itu, sistem keselamatan di kawasan peliharaan rusa ini ditingkatkan dengan membuat pagar tinggi, selain menempatkan rumah pekerja berhampiran ladang rusa ini untuk pemantauan.

“Paling membanggakan, rusa peliharaan saya ini turut menjadi tarikan pelancongan apabila ramai pelancong asing dan murid melawat untuk melihat sendiri haiwan berkenaan dengan lebih dekat,” katanya.

Wednesday, March 3, 2010

RUSA LUBUK EMAS

Rusa lubuk emas Mohamad

Oleh MOHD AZAM SHAH YAACOB
mohdazam@hmetro.com.my
2010/02/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DENGAN mengenakan jeans dan kemeja lusuh di samping topi ala koboi yang tidak pernah lekang di kepalanya, Mohamed Akbar, 50, pastinya kelihatan seperti lelaki biasa di kalangan individu yang baru pertama kali terserempak atau bersua dengannya.

Namun, siapa sangka di sebalik penampilan biasa lelaki ini yang mudah mesra dengan sesiapa saja, dia yang lebih dikenali dengan panggilan Haji Mat antara penternak rusa bertaraf jutawan.


Boleh dikatakan, projek ternakan diusahakannya antara projek Bumiputera paling besar dan berjaya di negara ini.


Mohamad yang juga pemilik D'Paradise Deer Valley and Exotic Farm (D'Paradise) di Bukit Beruntung, Selangor berkata, penampilannya memang sebati dengan dirinya yang dibesarkan dalam kehidupan susah.


Ini terutama apabila mengenangkan kembali saat kecil bersama ibu bapa yang melakukan kerja pertanian dan memelihara lembu sebagai punca pendapatan.


Selepas menamatkan pelajaran di tingkatan lima, Mohamed mula belajar berdikari dengan bekerja sebagai tukang kasut.

"Jika iimbas semula kisah hidup ini, saya memang bukan berasal daripada keluarga senang, malah pendidikan yang saya terima juga tidak sampai ke menara gading.


"Sejak tamat persekolahan, pekerjaan pertama yang saya lakukan sendiri ialah menjadi tukang kasut dan faham-faham sajalah, hasil daripada kerja itu tidaklah lumayan," katanya.


Menceritakan bagaimana dia boleh berkecimpung dalam bidang penternakan rusa yang pastinya asing bagi rakyat di negara ini, Mohamad berkata, segala-galanya bermula 10 tahun lalu apabila dia mula membeli sebanyak 20 rusa baka Timorensis yang diimport dari Australia.


Pada waktu itu dia sudah empat tahun menjalankan penternakan lembu dan kambing sebaik berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1996.


Namun, Mohamed mendapati ternakan rusa yang baru cuba disertainya pada waktu itu menunjukkan peningkatan lebih memberangsangkan berbanding ternakan lembu dan kambing yang lebih rumit untuk diuruskan.


"Ketika saya berjinak-jinak dalam ternakan lembu dan kambing, memang boleh dikatakan ternakan yang saya usahakan itu berjaya, tetapi yang membuatkan saya berubah fikiran dan beralih kepada ternakan rusa adalah selepas mendapati rusa yang saya baru beli itu tidak memerlukan perbelanjaan besar.


"Penternakan rusa mampu menghasilkan kadar pulangan lebih cepat tanpa perlu menjual dagingnya seperti lembu atau kambing," kata Mohamed.


Membuatkan dia lebih tertarik mengenai rusa adalah kerana tempoh matang haiwan berkenaan lebih cepat berbanding ternakan lain iaitu hanya dalam masa 18 bulan.


Katanya, dalam tempoh itu rusa betina mampu bunting manakala rusa jantan pula mula mengeluarkan tanduk atau lebih dikenali sebagai velvet, sekali gus membantu pengeluaran hasilnya.


"Ini yang ramai orang tidak tahu mengenai rusa. Kebanyakan orang menganggap rusa sebagai liar dan sukar diternak, tetapi haiwan ini sebenarnya lebih jinak dan sangat sukar mengamuk berbanding lembu atau kambing.

"Lebih istimewa lagi, tanduk yang tumbuh pada rusa jantan boleh dibuat ubat dan jika dijual, harganya saja boleh mencecah hingga RM1,000 sekilogram tanpa perlu mengorbankan rusa berkenaan," katanya.


Selepas tujuh tahun melihat potensi ternakan itu, Mohamed nekad menjual semua ternakan lembu serta kambing yang diusahakannya dan beralih terus kepada penternakan rusa tanpa mahu menoleh ke belakang.


Sehingga kini dia mampu tersenyum bangga apabila baka rusa Timorensis yang dulunya berjumlah 20 ekor kini bertambah sehingga 1,500 ekor membabitkan 600 ekor induk betina dan 300 induk jantan.


Sementara itu, bakinya membabitkan 300 anak rusa Timorensis jantan dan 300 betina.


Selain baka itu, Mohamed mempunyai empat baka rusa berlainan membabitkan baka rusa tempatan dikenali sebagai Sambar sebanyak 70 ekor, Axis-axis iaitu baka rusa dari India (15), serta dua baka rusa dari Amerika Syarikat iaitu Fellow (10) dan Nilgai (13).


Dengan jumlah rusa melebihi 1,500 ekor, dia berkata, kadar pulangan daripada tanduk rusa yang dijual, termasuk daging, mampu mencecah hingga RM500,000 setahun.


Mohamed berkata, semua bahagian rusa sememangnya boleh menjadi sumber pendapatan utama bagi penternak haiwan berkenaan. Selain tanduknya yang berharga, kulit serta tengkoraknya mempunyai nilai di pasaran.


"Dagingnya kalau dijual kebiasaannya mencecah hingga RM80 sekilogram, manakala kulitnya pula mencecah hingga RM500 sekilogram. Tengkorak kepalanya berharga kerana ia selalu dijual dengan kadar harga RM800 setiap satu sebagai perhiasan," katanya.


Menurutnya, faktor kawasan menjadikan rusa mudah diternak serta dibiakkan berikutan tidak memerlukan kawasan besar.


Katanya, haiwan berkenaan boleh dibiakkan cukup sekadar dengan meletakkannya di kawasan untuk memudahkan bergerak, sekali gus menyenangkan kerja memberi makanan.

Saturday, February 27, 2010

Tuesday, December 15, 2009

TERNAKAN RUSA

AGROBIZ

ARKIB : 25/07/2008

Menternak rusa tidak sesukar disangka


kos pemeliharaan rusa juga amat rendah kerana haiwan ini makan sisa soya, sawit dan buah-buahan yang boleh didapati dari pasar.


TENTU ramai yang menyangka penternakan rusa merupakan industri ‘mewah’ apatah lagi biasanya rusa dipelihara oleh golongan bangsawan dan tokoh korporat serta di kawasan taman.

Malah, ramai menganggap rusa sebagai ternakan eksklusif yang tidak ramai mampu mengusahakannya manakala pasarannya pula tidak meluas sebagai mana ternakan lain.

Justeru apabila mendapat tahu terdapat sebuah ladang ternakan rusa dengan kira-kira 800 ekor, penulis begitu teruja untuk meninjau dari dekat.

Ladang yang terletak berhampiran kawasan perumahan di Jalan Bunga Raya, Bukit Sentosa, Rawang, Selangor seluas lapan hektar di dua buah tapak berlainan bukan saja dihuni oleh rusa tetapi juga 25 ekor burung unta, ayam serama, keldai dan kuda padi.

Pemiliknya yang juga Pengarah Urusan Hitech Livestock Exotic Farm, Mohamed Akbar yang memulakan industri penternakan lebih 15 tahun lalu dengan kambing dan lembu mula mengalih pandangan kepada rusa sejak tujuh tahun lepas.

Ditanya, faktor pendorong beliau beralih arah, Mohamed berkata, menternak rusa menguntungkan kerana kos operasinya amat kecil berbanding ternakan ruminan lain.

“Rusa tidak memerlukan kandang yang besar seperti kambing atau lembu tetapi cukup dengan kawasan lapang dan beberapa batang pokok besar sebagai tempat mereka berteduh.

“Malah kos makanannya juga kecil kerana saya menggunakan campuran hampas soya, sawit dan pelbagai jenis buah-buahan yang diambil dari pasar berdekatan,” katanya kepada Mega semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Malah rusa juga tidak memerlukan padang ragut yang rata tetapi cukup dengan sedikit kawasan hijau berbukit-bukit dan berbatu-batu kerana sebagai haiwan liar, rusa gemarkan tempat mencabar.

Mohamed menambah kos perubatan bagi rusa amat minimum berbanding ternakan ruminan lain.

“Sejak memelihara rusa secara komersial saya hanya mengeluarkan hanya beberapa ratus Ringgit sebulan saja untuk ubat cacing dan vitamin,” katanya yang memelihara rusa jenis Timorensis dan Axis yang berbintik-bintik.

Mohamed menambah, rusa senang dipelihara kerana tidak mudah terkena penyakit berjangkit malah sebagai haiwan liar, rusa boleh mengubati dirinya sendiri.

Rusa matang seawal usia 18 bulan dan betina bunting selama lapan bulan sebelum beranak sebanyak seekor.

Rusa betina boleh beranak sebanyak 15 hingga 16 kali dengan jangka hayat boleh mencapai 20 hingga 25 tahun.

Biasanya induk rusa akan menyorokkan anaknya di bawah batu atau rumput sehingga anaknya bercerai susu.

Menggunakan khidmat empat orang pekerja termasuk dua orang anaknya, Mohamed berkata, kawasan yang tidak luas membolehkan ibu menjaga dan menyusukan anaknya.

“Jika penternakan diusahakan di kawasan yang terlalu luas, mungkin penternak terlepas pandang anak rusa yang disorokkan.

“Ini dapat mengelakkan anak rusa daripada mati kelaparan jika tidak dijagai ibu mereka,” katanya yang telah memahami kelakuan haiwan berkenaan.

Menternak rusa lebih menguntungkan walaupun bukan untuk daging kerana rusa betina akan beranak setiap tahun manakala tanduk rusa jantan pula akan luruh setiap tahun.

“Harga tanduk jantan basah boleh mencecah sehingga RM500 dan yang kering pula menjangkau RM3,000,” katanya yang boleh dikatakan antara penternak yang memelihara paling banyak rusa di negara ini.

Kawasan yang kecil juga membolehkan penternak mencari tanduk setiap kali gugur di padang ragut.

“Biasanya pekerja saya menemui tanduk yang gugur dan tentu saja sukar jika rusa diletakkan di ladang ternakan yang luas,” katanya.

Permintaan

Menyentuh mengenai daging rusa, Mohamed Akbar berkata, harga daging rusa pula boleh mencecah sehingga RM50 sekilogram jika dijual sendiri.

Permintaan daging rusa amat tinggi terutamanya di hotel-hotel lima bintang kerana ia dikatakan makanan mewah.

Selain rusa, beliau juga memelihara lima ekor nilgai - haiwan dari Amerika Syarikat (AS) - kepalanya seperti rusa tetapi badan besar seperti lembu dan belakangnya seperti kuda.

“Dagingnya sama seperti rusa dan saya lihat haiwan berkenaan berpotensi untuk dipelihara di sini,” katanya yang mendapat galakan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sesiapa yang berminat memelihara rusa, Mohamed menyediakan pakej penternakan yang sesuai dan berpatutan.

Mereka yang berminat boleh membeli satu petak kandang seluas 30 kaki x 50 kaki pada harga RM2,000 yang boleh menempatkan sehingga 50 ekor rusa pada satu satu masa.

Bagi mengisi petak berkenaan, Mohamed menawarkan rusa betina bunting pertama yang bakal beranak dengan harga berpatutan seekor.

“Mereka boleh berkongsi satu petak dengan rakan dan membeli beberapa ekor rusa untuk diletakkan di dalamnya.

“Kami hanya akan mengenakan kos penyelenggaraan yang minimum bagi satu petak serta kos makanan rusa,” katanya.

Apabila rusa tadi beranak, pemilik boleh memilih sama ada untuk menjual anak tadi kepada Mohamed atau terus memeliharanya di sana.

“Setiap minggu pemilik boleh membawa makanan sendiri untuk diberikan kepada rusa mereka malah mereka juga boleh membawa balik beberapa hari,” katanya.

Mohamed berkata, ini merupakan satu cara untuk mencetuskan minat mereka yang berada di bandar ke arah penternakan.

Penduduk bandar yang tidak mempunyai masa dan kawasan masih boleh melibatkan diri dalam penternakan dengan cara ini.

“Saya juga boleh memantau ternakan yang dibeli dapat penjagaan yang betul dan pada masa yang sama pemilik boleh mempelajari cara penternakan yang betul,” katanya.

Dengan cara ini kata Mohamed, ternakan rusa boleh dimajukan dengan lebih sistematik. Beliau juga akan memulakan kursus menternak rusa secara komersial kepada mereka yang berminat dalam masa terdekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mohamed di 017-3458849 atau layari laman web www.hitechdeerfarm.com

Monday, December 14, 2009

PENTERNAKAN RUSA

Penternakan Rusa

PENDAHULUAN

Rusa adalah sejenis hidupan liar yang mendapat perlindungan khas daripada Kerajaan Malaysia. Kerajaan menggalakkan pemeliharaan rusa memandangkan permintaan untuk rusa yang amat baik. Disamping dagingnya sebagai sumber protein yang tinggi, ia juga mengandungi lemak yang kurang dan kalori yang rendah, kulit dan tanduknya berguna untuk barang hiasan. Bagi rusa jenis Cervus Timorensis ini tanduk awal dan velvet boleh digunakan untuk dijadikan ubat.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang telah mula memelihara hidupan ini secara terkawal pada tahun 1989 . Sebagai permulaan sebanyak 19 ekor rusa (Cervus Timorensis) dan 3 ekor jantan umur 6 bulan telah diimpot dari Kepulauan Mauritius. Disamping rusa jenis Cervus Timorensis ladang ini juga telah menempatkan rusa jenis sambar dan jenis Axis-axis.

Kawasan seluas 2 hektar telah diperuntukan bagi memelihara rusa ini. Ladang ini terletak di Pokok Sena Daerah Seberang Perai Utara. Ladang ini ditanam dengan rumput jenis Boachiara Humidicola, Panicum Maximum (Rumput Guinea) dan Leucaena leucocephala (petai belalang).

Setelah beberapa tahun memelihara hidupan ini pertambahan dari segi pembiakan amatlah menggalakkan. Kini jumlah rusa jenis Cervus Timorensis yang terdapat di Ladang rusa di Pokok Sena adalah lebih kurang sebanyak 60 ekor dan rusa jenis Axis-axis lebih kurang 50 ekor.

Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang akan membuat promosi jualan daging rusa pada setiap tahun iaitu pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan juga semasa Sambutan Eskpo Usahawan Bumiputra di Pulau Pinang.

TUJUAN PEMELIHARAAN:

* Sebagai rekreasi dan kegemaran
* Sebagai tindakan mencegah kepupusan
* Untuk Kajian bagi mengenalpasti potensi
* Sebagai sumber pendapatan dari hasil daging, tanduk, kulit dan sebagainya
* Sebagai makanan enak
* Sebagai Perhiasan

INFRASTRUKTUR LADANG

Alam persekitaran dan topografi yang sesuai dengan tabiat semulajadi dan panduannya dengan Sistem Pemeliharaan Moden.


Tabiat

Rusa sangat gemar kepada kawasan yang sunyi dan didalam suasana persekitaran semulajadi. Rimba yang redup lagi sunyi dan udara yang nyaman dan dingin, makanan rumput, dedaun dan dedak adalah menjadi kegemaranya dan makanannya. Air sungai, parit adalah perlu untuk rusa-rusa ini berkubang. Perhubungan yang rapat di antara haiwan ini dengan manusia perlu diujudkan dengan pembinaan pondok kecil dan penyediaan makanan ditempat¬-tempat yang tertentu. Rusa gemar berjalan ditepi-tepi pagar dan jarang berada ditengah padok. Oleh yang demikian di dapati rumput ditepi-tepi pagar (lebih kurang 4 kaki dari tepi pagar) semuanya mati akibat di pijak oleh rusa-rusa tersebut kerana menjadi tempat laluan ternakan ini.

Pokok-pokok yang besar dan rendang hendaklah disimpan dan pokok yang boleh menjadi sumber makanan jangan ditebang dan perlulah ditanam. Walaubagaimanapun perlu diingatkan bahawa sebarang tanaman yang baru ataupun batang pokok ini hendaklah dibalut kerana ianya akan musnah akibat tabiat rusa yang suka menggigit kulit pokok atau mengesel batang-batang pokok dengan tanduknya. Rusa suka berkubang, maka tempat untuk berkubang dan berendam perlu dibina didalam padok. Sebagai panduan untuk simpanan rusa “carrying capacity’ adalah pada kadar 10 ekor bagi satu ekar dengan keadaan rumput yang baik.

Mempunyai kemudahan kawalan dan penyelenggaraan

Pagar Sekeliling

Keseluruhan kawasan seluas 2 ha dipagar sekeliling dengan menggunakan kawat jaring setinggi 2 meter dan dipasang dengan tiga lapis dawai berduri di sebelah atas dan pagar ditanam didalam konkrit setinggi 1 kaki .

Kawasan ragutan dan makanan

Makanan yang cukup sangat penting untuk menjamin kesihatan rusa. Untuk itu pedok-pedok hendaklah mempunyai rumput yang baik lagi bermutu sepanjang masa. Makanan tambahan iaitu dedak hendaklah diberi. Diladang Rusa, Pokok Sena diberi dedak Cattle Pellet memandangkan ia sesuai untuk ternakan rusa.


Pedok Kawalan

Keseluruhan kawasan dibahagi kepada 4 petak-petak kecil seluas 0.5 ha bagi memudahkan ragutan secara bergilir-gilir. Pedok kawalan atau holding yard juga perlu bagi memudahkan pengawasan yang rapi terhadap rusa-rusa. Pedok ini adalah merupakan pusat untuk mengumpulkan ternakan dan ianya mestilah mempunyai pintu hubungan dengan semua pedok ragutan dan juga rumah gelap


Rumah Gelap
* Sebuah rumah gelap perlu dibina dimana terdapat tempat pasongan atau trevis.

* Dinding rumah dibina daripada separuh papan lapis yang tebal dan separuh konkrit dan bahagian dalam dan luar dicat hitam.
* Dalam rumah disiapkan dengan pintu-pintu yang boleh berputar 360 digri bagi memudahkan penangkapan seseekor rusa untuk diperiksa, diberi rawatan atau dipindahkan.
* Didalam rumah gelap rusa akan kelihatan tenteram dan cahaya yang diperlukan hanya cukup sekadar boleh melihat ruda dan boleh dibuat rawatan.
* Lantai tidak berkonkrit menggunakan pasir (Quarry Dust)
* Mempunyai pintu railing 5 kaki lebar untuk tujuan memasukkan rusa dalam rumah gelap

Bangsal Untuk Meletak Makanan

Setiap pedok perlu disediakan bangsal yang berbumbung bagi meletak bekas makanan tambahan dan juga garam galian dan juga tempat rusa berteduh. Disetiap pedok juga perlu disediakan dengan takungan air bagi memastikan rusa memperolehi air minum yang bersih.

Kolam Mandi

Memandangkan perangai rusa yang suka berkubang terutama diwaktu panas, sebuah kolam mandi atau lopak/paya air bersih disediakan dengan dilengkapkan sistem aliran yang baik. Diladang ini dibina parit yang berkonkrit bagi tujuan tersebut.