Showing posts with label UDANG. Show all posts
Showing posts with label UDANG. Show all posts

Sunday, January 17, 2010

HASIL LUMAYAN

SELATAN

ARKIB : 30/06/2009

Hasil udang galah ditingkat


Yunus Rahmat (kanan) bersama penternak menyaksikan hasil tuaian Projek Ternakan Udang Galah Kolam Kelompok, Kampung Gunung Pasir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID


KUALA PILAH 29 Jun - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan pengeluaran udang galah sehingga 200 tan metrik pada hujung tahun ini dalam usaha memenuhi permintaan pasaran tempatan dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat berkata, usaha itu selari dengan matlamat meningkatkan sehingga 20 peratus produktiviti bagi setiap sektor di negeri ini.

"Bagi meningkatkan hasil udang galah, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan merancang mewujudkan satu atau tiga pusat pembenihan udang galah bagi setiap daerah bagi memenuhi permintaan udang," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja Projek Ternakan Udang Galah Kolam Kelompok, Kampung Gunung Pasir di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Perikanan negeri merekodkan kira-kira 150 tan metrik hasil udang galah.

"Tiga buah daerah utama iaitu Seremban, Jelebu dan Kuala Pilah merupakan kawasan yang mengeluarkan hasil udang yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport," jelasnya.

Beliau memberitahu, bidang ternakan udang galah semakin mendapat perhatian di kalangan penduduk kampung termasuk golongan belia sebagai salah satu sumber pendapatan yang menjanjikan hasil lumayan.

"Harga pasaran udang galah pada masa kini ialah RM40 hingga RM50 satu kilogram.

''Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika penternak mampu meraih pendapatan yang lumayan daripadanya," katanya.

Yunus berkata, bagi menarik minat penglibatan usahawan menjalankan ternakan udang galah, kerajaan memberi insentif RM1.58 setiap kilogram bagi satu tan metrik udang dikeluarkan.

"Ini bermakna setiap 1 tan metrik penternak mendapat intensif sebanyak RM1,580.

''Kerajaan menerusi Jabatan Perikanan negeri juga memberi khidmat nasihat, kemahiran dan kursus asas menternak undang bagi meningkatkan pengetahuan penternak untuk menternak dengan cara betul," katanya.

Wednesday, January 13, 2010

USAHAWAN UDANG GALAH

SELATAN

ARKIB : 10/04/2009

Usahawan muda udang galah


A. FADZIL Zainun (kiri) dan rakan-rakan kongsinya, Mohd. Radzi Yusoff (tengah), Syaiful Nazwan Izati (dua dari kanan) dan Azlan Azmin (kanan) menunjukkan udang galah yang baru dituai di kolam TrueAqua Enterprise, Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah, baru-baru ini. - UTUSAN/HUSSAINI AMRAN


KUALA PILAH 9 April - Setiap insan yang bergelar siswazah pasti mengimpikan pekerjaan yang sesuai dengan tahap kelulusan masing-masing sama ada di sektor awam atau swasta.

Bagi yang telah membina karier yang stabil, sudah tentu agak keberatan untuk meletakkan jawatan semata-mata kerana ingin menceburi bidang keusahawanan yang penuh cabaran dan risiko lebih-lebih lagi dalam suasana kelembapan ekonomi global.

Namun, lain pula kisahnya empat anak muda lulusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang nekad meninggalkan pekerjaan masing-masing di sektor swasta untuk mengusahakan ternakan udang galah air tawar.

Dengan modal permulaan sebanyak RM50,000 hasil simpanan sendiri, A. Fadzil Zainun, 30, Azlan Azmin, 30, Syaiful Nazwan Izati, 27, dan Mohd. Radzi Yusoff, 27, menubuhkan TrueAqua Enterprise pada Oktober 2007 bagi menguruskan tiga kolam ternakan udang galah di Kampung Ulu Bendul dekat sini.

Kini sebanyak 10 kolam udang galah beroperasi di kawasan seluas 0.1 hektar manakala tujuh kolam lagi dalam proses penyediaan.

Menurut Fadzil, pada mulanya dia berasa kurang selesa kerana terpaksa bergelumang dalam selut dan 'bertarung' dengan pacat yang sentiasa mencari peluang menghisap darah dari tubuhnya.

''Lama-kelamaan, alah bisa tegal biasa. Segala penat lelah hilang apabila melihat udang galah segar yang baru dituai dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Lulusan Sarjana Pengurusan Kejuruteraan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) ini memberitahu, dia pernah bekerja selama lima tahun sebagai jurutera di sebuah syarikat automotif terkemuka di negara ini sebelum menceburi bidang penternakan udang galah.

Fadzil yang merupakan anak jati Kampung Ulu Bendul menambah, kesemua kolam udang galah TrueAqua Enterprise disewa daripada penduduk setempat dengan kadar RM350 setahun bagi setiap kolam.

Jelasnya, pada masa ini, kira-kira 500 kilogram udang galah dituai dari kolam TrueAqua Enterprise setiap bulan dengan anggaran nilai pasaran RM20,000.

''Sehingga kini, kolam milik TrueAqua Enterprise telah mengeluarkan kira-kira empat tan udang galah dan sebahagian besarnya dijual kepada pengusaha kolam pancing di sekitar negeri ini, Perak serta Johor.

''Kami menyasarkan pengeluaran udang galah sebanyak lima tan sebulan menjelang 2012 bagi membolehkan TrueAqua Enterprise mengembangkan sayap ke pasaran global," ujar Fadzil.

Dalam pada itu, Azlan berkata, Jabatan Perikanan negeri memberi bantuan sebanyak RM30,000 kepada syarikatnya pada tahun lalu.

Dia yang memiliki enam tahun pengalaman bekerja sebagai seorang jurutera di dua syarikat gergasi dalam bidang elektronik dan automotif menjelaskan, peruntukan berkenaan adalah untuk pembersihan parit buangan, pembelian peralatan, penyelenggaraan, makanan serta benih udang galah sebanyak 150,000 ekor.

''Di samping itu, TrueAqua Enterprise turut menerima khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan negeri," ujarnya yang juga pemegang ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Sementara itu, menurut Syaiful Nazwan, dia dan tiga rakan kongsi yang lain pernah hampir putus asa setelah banjir kilat melanda kawasan kolam ternakan udang galah TrueAqua Enterprise pada penghujung tahun 2007 dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM30,000.

Ujar lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, mereka berempat kemudian reda dengan bencana tersebut dan menguatkan semangat untuk bangkit semula.

Dia yang pernah bekerja selama empat tahun di sebuah syarikat automotif berkata, selain semangat cekal pemilik-pemiliknya, sokongan padu daripada keluarga merupakan antara faktor lain yang banyak membantu TrueAqua Enterprise terus bertahan sehingga hari ini.

USAHAWAN UDANG

JOHOR

ARKIB : 06/07/2009

Kegigihan usahawan udang


Nejee Muddin menunjukkan udang harimau yang diternaknya.


BATU PAHAT 5 Julai - Berpegang kepada semangat untuk terus maju dalam bidang penternakan, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat.

Memulakan projek ternakan udang harimau sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 serta sokongan padu daripada ahli keluarga, menjadikan lelaki bersemangat waja ini seorang yang gigih dalam usahanya.

Walaupun pada tahun pertama dia banyak mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, namun dia tidak pernah berputus asa dan menjadikan kegagalan sebagai pembakar semangat untuk berjaya.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang dekat sini kira-kira tujuh tahun lalu.

Bermula dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu, kini beliau mempunyai enam kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Najee Muddin mendapat benih anak udang daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu dan setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan.

"Setelah dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil. Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Namun, kini apabila harga udang harimau agak tinggi dia turut menternak udang putih yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.

Selain mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan, dia turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Menurut Najee Muddin, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, beliau dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor tahun lalu dan mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini dia telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd., dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Katanya, beliau telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Taman Halal Tanjung Manis, Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang putih dan ikan kerapu.

"Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 juta," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau akan mengusahakan makanan sejuk beku berasaskan udang dan ikan untuk dieksport ke luar negara khususnya umat Islam.

Katanya, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini, katanya, ada sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur dan dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan berkenaan.

Monday, December 28, 2009

UDANG HARIMAU

AGROBIZ

ARKIB : 28/08/2009

Jatuh bangun seorang penternak udang


Najee Muddin Ibrahim BANGGA MENUNJUKKAN UDANG HASIL KOLAMNYA DI bATU pAHAT, jOHOR.


MENGALAMI kerugian pada tahun pertama pembabitannya dalam bidang penternakan air tawar atau akuakultur tidak mematahkan semangat anak muda ini untuk terus melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa menoleh ke belakang.

Berpegang kepada prinsip tidak mahu mengaku kalah, Najee Muddin Ibrahim, 37, melangkah lebih jauh dalam penternakan udang tanpa rasa ragu dan menjadikan setiap kelemahan sebagai penguat semangat untuk terus maju.

Dengan sokongan padu daripada ahli keluarga serta rakan-rakan rapat menjadikan dia seorang yang gigih dalam setiap apa yang diusahakannya.

''Saya memulakan projek ternakan udang harimau ini sejak tujuh tahun lalu dengan modal sendiri sebanyak RM760,000 tanpa pinjaman atau bantuan daripada mana-mana institusi kewangan," jelasnya.

Pada awal pembabitannya, Najee Muddin berkongsi bersama seorang rakan tetapi selepas mengalami kerugian akibat kurang kemahiran, dia tidak pernah putus asa dan yakin dalam setiap apa yang diusahakannya.

Kegagalan lalu dijadikan sebagai penguat semangat dan sokongan daripada keluarga yang tidak putus-putus menjadikannya begitu tabah meski jauh di sudut hati dia berasa agak kecewa.

Bapa kepada tiga orang anak ini bermula dengan membeli 4.5 hektar tanah dengan kos lebih RM100,000 untuk membuat kolam udang harimau di Lot 3033, Kampung Teluk Bakong, Sungai Kajang, Batu Pahat, Johor kira-kira tujuh tahun lalu.

Najee Muddin memulakan ternakan udang dengan empat buah kolam ternakan berukuran 49,000 kaki persegi setiap satu.

Kini dia mempunyai enam buah kolam udang dengan empat pekerja yang bertanggungjawab menjaga pemakanan ternakannya dan kebersihan kolam-kolam berkenaan.

Menurutnya, benih anak udang diperoleh daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga tiga sen hingga RM1.20 seekor, bergantung kepada usia benih itu.

Setiap kali membeli benih, dia memerlukan RM11,000 untuk tiga tan benih bagi memenuhi semua kolam yang diusahakan pada awal pembabitannya dulu.

''Dua tahun saya berusaha keras untuk menjayakan kolam udang ini, barulah ia menampakkan hasil.

Tahun pertama selalu rugi, banyak udang mati kerana keadaan air yang tak sesuai," katanya ketika ditemui kolam ternakan udangnya baru-baru ini.

Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya terutama dari segi harga udang yang ada turun naiknya.

udang harimau

Tetapi pada tahun ini, apabila harga udang harimau agak tinggi beliau turut menternak udang putih yang mendapat permintaan di pasaran dengan harga pasaran yang lebih rendah tetapi permintaannya tinggi.

Dia yang mulanya mendapat bimbingan daripada Jabatan Perikanan turut menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan bagi menambahkan pengetahuannya dalam bidang penternakan udang dan ikan.

Bermula dari situ, kemahiran dalam menternak udang dapat diketahui dari semasa ke semasa.

Ini menjadikan Najee Muddin yakin dan bersemangat dalam apa yang diusahakan agar kerugian dan pengalaman pahit yang dilaluinya di awal pembabitan dalam ternakan udang dapat ditebus sekali gus menjadikan dirinya seorang yang tidak mudah mengalah.

Tambahnya lagi, udang ternakannya akan dihantar kepada dua pemborong tetap untuk pasaran di Johor Bahru dan Singapura selain pasaran lain di dalam negara.

Hasil kegigihannya, Najee Muddin dianugerahkan sebagai Wira Tani (Belia) oleh Jabatan Belia dan Sukan Johor pada tahun lalu juga mendapat Anugerah Belia Tani peringkat Kebangsaan.

Kini Najee Muddin telah membuka syarikatnya sendiri iaitu Najee Brothers Sdn. Bhd. dan sedang merangka untuk membesarkan projek ternakan udangnya untuk pasaran antarabangsa.

Tambahnya, dia telah mendapat 2,000 hektar kawasan di Tanjung Manis Halal Park Sarawak dan akan mengusahakan ternakan udang harimau, udang putih dan ikan kerapu.

''Dalam perjanjian yang telah dimeterai, saya diberi tempoh pajakan selama 30 tahun untuk mengusahakan kawasan berkenaan dan modal yang diperlukan ialah RM2 billion," jelasnya.

Selain menternak udang dan ikan, beliau juga akan mengusahakan makanan frozen berasaskan udang dan ikan dan akan di eksport ke luar negara khusus untuk mereka yang beragama Islam.

Katanya lagi, kertas kerja telah pun disiapkan dan kajian terperinci telah pun dibuat oleh konsultan yang dilantik dari Singapura.

Setakat ini katanya, sebuah syarikat dari Hong Kong berminat untuk menjadi pelabur memandangkan produk halal Malaysia yang akan dihasilkannya adalah dari Zon Halal Park.

Justeru katanya, dengan adanya produk makanan sejuk beku berasaskan ikan dan udang serta halal, ia akan memudahkan warga Islam di luar negara seperti Jepun dan Hong Kong mendapatkan makanan yang halal tanpa rasa ragu.

Bagi Najee Muddin ia merupakan cabaran baru baginya dalam melebarkan sayap syarikat untuk menjadi penternak udang dan ikan yang terbesar serta mengeksport makanan sejuk beku yang halal ke luar negara dengan kualiti yang terjamin.

Saturday, December 26, 2009

KOLAM UDANG

AGROBIZ

ARKIB : 20/02/2009

Keluasan kolam 50,000 hektar


PEMANDANGAN dari udara sebahagian daripada kolam udang milik CP Prima di Lampung, Sumatera Selatan, Indonesia.


PENTERNAKAN udang dunia didominasi oleh lapan buah negara iaitu Korea Utara, Thailand, Vietnam, Indonesia, India, Brazil, Ecuador dan Mexico.

Faktor utama kejayaan negara-negara itu menguasai pasaran udang antarabangsa adalah kerana faktor geografi iaitu mempunyai cuaca tropika, jajaran pantai yang panjang dan mempunyai kawasan luas sesuai untuk pembangunan kolam udang.

Pertumbuhan industri akuakultur dunia adalah stabil terutama melibatkan udang, bak kata Pengerusi CP Prima, Hardian Purawimala Widjonarko iaitu syarikat pengeluar udang terbesar Indonesia dan antara yang terbesar di dunia, ketika krisis ekonomi dunia sekalipun manusia akan tetap makan.

Lantaran itu pengeluaran udang di sentiasa meningkat sejak 1997.

Pada tahun 1997, pengeluaran keseluruhan udang di dunia adalah 0.95 juta tan metrik, manakala pada 2004 pengeluarannya telah meningkat kepada 1.8 juta tan metrik hasil daripada pertumbuhan tahun sekitar 9.8 peratus.

Penternakan udang kini termasuk kategori produk yang mewah dalam pasaran antarabangsa.

Sebelum 1980-an, udang ditangkap secara tradisional tetapi apabila penternakan udang diperkenalkan sehingga 2004, ia telah mencecah 37.9 peratus daripada keseluruhan industri penternakan akuakultur di negara itu.

Dengan pertumbuhan yang stabil, lebih banyak syarikat besar berani melabur untuk melaksanakan penternakan udang secara besar-besaran dengan kualiti yang tinggi.

Berbanding dengan udang ditangkap secara tradisional yang bergantung kepada musim dan kualitinya tidak dapat dikawal, ternakan udang mampu mengatasi masalah itu.

Apatah lagi ia mampu memenuhi permintaan yang tinggi, mengurangkan kos dan dapat dijual pada harga yang lebih rendah berbanding yang ditangkap berikutan peningkatan teknologi penternakan.

Syarikat ternakan udang terkenal, CP Prima yang ditubuhkan pada April 1980 oleh Charoen Pokphand Group misalnya telah lama bergiat dalam bidang tersebut.

Syarikat itu mempunyai pengalaman lebih 28 tahun mengendalikan akuakultur termasuk kolam udang secara besar-besaran.

CP Prima telah mencatat jualan bersih sebanyak Rp6.09 trilion (RM2.7 bilion) pada tahun 2007 dan yakin akan terus berkembang berdasarkan pasaran antarabangsa terus meningkat termasuk permintaan tempatan yang membabitkan industri hiliran.

CP Prima mempunyai 50,000 hektar kolam udang dan mempunyai 38,000 orang pekerja termasuk 12,500 pekerja sepenuh masa.

Baru-baru ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed telah melawat salah sebuah ladang ternakan syarikat berkenaan di Lampung yang terletak di Sumatera Selatan.

Mustapa ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, konsep plasma yang digunakan oleh syarikat berkenaan dalam melaksanakan penternakan udang adalah hampir sama yang dilaksanakan oleh Felda Berhad di dalam penanaman kelapa sawit di Malaysia.

CP Prima menyediakan rumah bagi pekerjanya untuk tinggal di kawasan kolam berkenaan dan kawasan berkenaan juga dilengkapi dengan kemudahan sekolah, pusat kesihatan, bank, balai polis, dewan orang ramai dan kawasan rekreasi.

Menurut Mustapa, para penternak terbabit diberikan seorang sebuah kolam dan mereka perlu menjelas bayaran kira-kira RM65,800 bagi sebuah kolam dalam tempoh lima tahun.

Kebanyakan penternak, katanya, tidak bermasalah untuk menyelesaikan hutang tersebut kerana pendapatan yang stabil.

Penternak terbabit memperoleh pendapatan kira-kira RM450 sebulan (selepas ditolak hutang) dan mereka juga boleh membeli barangan keperluan di kedai yang disediakan oleh syarikat dengan harga yang murah.

Selain gaji, syarikat berkenaan juga memberi barangan keperluan sebanyak kira-kira RM200 kepada para peserta dan ditolak daripada hasil udang yang dijual kepada syarikat pada hujung bulan.

Pendapatan RM450 sebulan adalah dianggap lumayan di Indonesia terutama di kawasan pedalaman seperti di Lampung kerana kebanyakan penduduk di kota Jakarta sendiri tidak mendapat pendapatan sebanyak itu.

Selain pendapatan yang lumayan mereka juga mempunyai rumah yang selesa dan kemudahan asas yang mencukupi berbanding penghuni di bandar-bandar utama yang kebanyakannya menghuni rumah-rumah setinggan.

Sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan dibalas oleh pekerjanya dengan menghasilkan produktiviti yang tinggi dan berkualiti.

Keunikan hubungan majikan dan pekerja itu merupakan rahsia kejayaan syarikat berkenaan untuk muncul sebagai antara syarikat penternakan udang terbesar di dunia.

Dengan peningkatan pencapaian syarikat pelbagai program kemasyarakatan dan pemuliharaan alam sekitar telah dilaksanakan termasuk penanaman 3,100 hektar pokok bakau pada 2007.

Menjelang 2011, kawasan seluas 5,200 hektar pula akan ditanam dengan pokok berkenaan.

Penanaman pokok bakau bukan sahaja meningkatkan kawasan hijau di sekitar kolam udang, tetapi juga dapat mengelakkan daripada berlaku hakisan yang sekali gus memastikan udang yang diternak tidak terjejas.

Selain itu, hakisan pantai juga dapat dielakkan dan kehidupan di sepanjang pantai semakin meningkat.

Pada 2007, CP Prima mencapai tahap pengeluaran maksimum 3,856 kolam udang iaitu kira-kira 57,000 tan metrik setahun.

Bagi mengatasi masalah itu, CP Prima telah membeli Kumpulan Dipasena iaitu sebuah syarikat pengeluar udang terbesar di dunia di dalam satu kawasan yang terletak di Lampung.

Kolam-kolam udang yang menghasilkan pengeluaran rendah kerana hampir terbiar telah dipulihkan semula.

Kolam-kolam terbabit kata Hardian, apabila beroperasi sepenuhnya dan mencapai pengeluaran maksimum akan meningkatkan pengeluaran udang CP Prima kepada 200,000 tan metrik pada tahun 2010.

Keseluruhan eksport udang CP Prima adalah 58 peratus ke Amerika Syarikat, 20 peratus ke Eropah dan 17 peratus ke Jepun.

Kata Hardian, udang-udang yang dihasilkan diproses kepada pelbagai produk lain dan kebanyakan dieksport ke Amerika Syarikat.

Baru-baru ini sebuah syarikat dari Jepun turut berminat untuk mengimport udang dari CP Prima.

Kejayaan CP Prima mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia, terutama Sarawak kerana bentuk geografi kawasan penternakan itu adalah sama dengan kawasan paya di Sarawak yang masih luas serta tidak berpenghuni

Friday, December 25, 2009

UDANG KARA

UTARA

ARKIB : 12/09/2009

Sajian istimewa udang kara


Mohd. Izham Gulam Ali memeriksa suhu air udang di kolam udang kara air tawar yang diternaknya. – UTUSAN/ FAIZAL ABU HASSAN


KANGAR 11 Sept. – Udang kara atau lobster merupakan makanan laut yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Pengusaha restoran makanan laut sering menjadikan udang kara sebagai sajian istimewa di restoran dan hotel-hotel berikutan isinya yang dikatakan lebih enak daripada udang biasa.

Udang kara juga sukar didapati dan ia dianggap makanan istimewa terutama di kalangan penggemar makanan laut.

Tidak hairan udang kara boleh mencecah sehingga RM100 sekilogram bergantung kepada saiznya.

Di negara ini antara lokasi tangkapan udang kara ialah di sekitar Teluk Ramunia, Johor terutama ketika musim tengkujuh iaitu April sehingga Disember kerana spesies ini menjadikan waktu ini untuk membiak di sepanjang pesisir pantai.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat spesies udang kara yang boleh diternak dalam air tawar.

Perkara ini dibuktikan sendiri oleh bekas chef hotel lima bintang, Mohd. Izham Gulam Ali, 34, yang kini menjalankan ternakan udang kara air tawar secara komersial di Beseri di sini.

Menurut Mohd. Izham, udang kara air tawar atau nama saintifiknya Cherax Quadricarinatus merupakan jenis Red Claw iaitu sejenis krustasia yang hidup di sungai-sungai kecil di utara Australia dan Papua New Guinea.

Katanya, terdapat lebih 1,000 jenis udang kara seluruh dunia tetapi spesies ini merupakan yang paling senang dan berpotensi diternak.

‘‘Walaupun saiznya lebih kecil berbanding udang kara laut, tetapi isinya mendapat permintaan tinggi kerana lebih manis dan enak. Sebelum ini udang kara air tawar banyak dijadikan sebagai ternakan hiasan.

‘‘Kadar kolestrol udang kara ini lebih rendah berbanding udang kara laut dan ia dikaitkan sebagai makanan eksklusif kerana harganya yang agak mahal ,” katanya ketika ditemui di pusat pembiakan udang kara beliau baru-baru ini.

Mohd. Izham memberitahu, dia hanya menyedari potensi udang kara air tawar apabila makanan itu mendapat permintaan tinggi di hotel-hotel bertaraf lima bintang.

‘‘Selepas membuat beberapa penyelidikan baru saya menyedari akan potensi ternakan udang kara air tawar kerana harganya boleh mencecah RM60 sekilogram mengikut saiz.

‘‘Mulanya saya menternak udang kara air tawar sebagai mengisi masa lapang, tetapi kini saya semakin meminati bidang ini apabila berjaya menghasilkan baka yang lebih baik melalui teknik pembiakan bersilang crossbreed,” katanya yang telah menceburi bidang itu selama tiga tahun.

Udang kara air tawar boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dengan berat sehingga 75 gram seekor dalam tempoh sembilan bulan.


Udang kara air tawar menjadikan paip PVC sebagai rumahnya.


Bagaimanapun, tempoh matang dan sesuai dijual adalah antara 15 sentimeter dengan berat kira-kira 55 gram.

Menurut Mohd. Izham, bagi sesetengah orang, mereka mempercayai bahawa udang kara air tawar merupakan makanan penguat tenaga batin bagi lelaki dan awet muda bagi wanita.

‘‘Tiada kajian khusus yang dilakukan mengenai kesahihan perkara ini tetapi apa yang nyata isi udang kara air tawar ini lebih enak dan manis.

‘‘Walaupun terdapat beberapa penternak di negara ini, tetapi ia masih belum mampu memenuhi permintaan hotel-hotel tempatan,” ujarnya yang memasarkan udang kara air tawar ternakannya ke hotel-hotel sekitar Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, Kedah.

Mohd. Izham memberitahu, kaedah ternakan udang kara air tawar tidak terlalu rumit kerana ia merupakan spesies yang tahan lasak dan memakan apa sahaja termasuk daging, rumpai dan sayur.

‘‘Udang kara air tawar sesuai diternak di dalam kolam kanvas, akuarium dan kolam simen.

‘‘Udang jenis ini agak agresif dan boleh memakan spesies sejenisnya jika terlalu lapar. Sebab itu untuk memelihara udang jenis ini paip polivinil klorida (PVC) perlu digunakan sebagai tempat perlindungan,” ujarnya.

Katanya, dia bekerjasama dengan abangnya, Dr. Shamsinar Gulam Ali yang banyak membantunya membuat penyelidikan terutama membabitkan pembiakan.

‘‘Kami memilih baka-baka terbaik dan melakukan pembiakan silang agar baka yang diperolehi lebih berkualiti dan cepat membesar.

‘‘Selain itu, pelbagai aktiviti diadakan bagi memperkenalkan ternakan udang kara air tawar termasuk mengadakan kursus dan jualan benih bermutu,” ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin pasaran udang kara air tawar terbuka luas berikutan permintaan yang tinggi.

Mereka yang berminat dengan ternakan itu boleh menghubungi beliau di talian 012-4591350 atau melalui emel beserijaya@yahoo.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

TERNAKAN UDANG KARANG

TIMUR

ARKIB : 14/08/2009

Fadzil ternak udang karang di darat


Muhamad Fadzil menunjukkan udang karang yang diternak dalam kanvas di Cherang, Panji, Kota Bharu baru-baru ini.


KOTA BHARU 13 Ogos - Udang karang bukan sahaja terdapat di laut tetapi juga di perairan air tawar dan usaha menternaknya secara komersial di luar habitatnya masih baru di negeri ini.

Udang bersaiz besar ini sangat digemari, namun dengan harganya yang tinggi, ia tidak begitu banyak dipasarkan dalam negeri.

Udang karang air tawar dikatakan memiliki rasa yang lebih lazat berbanding dengan udang karang air laut malah ia dikatakan mempunyai kandungan lemak, kolestrol dan garam yang rendah dan boleh dimakan semua golongan.

Pengarah Urusan Fast Aquafarming (M) Sdn Bhd, Muhamad Fadzil Md. Sulong, 52, adalah antara pihak yang berusaha mengkomersialkan ternakan udang air tawar ini.

Beliau mengetengahkan usahanya untuk menarik penglibatan lebih ramai usahawan ketika ditemui di tapak pameran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Kelantan baru-baru ini.

Beliau memilih baka udang besar bersepit dengan jalur merah atas kepala yang berasal dari Australia yang tidak mengandungi kolesterol dan 70 peratus beratnya terdiri daripada isi semata-mata.

''Sesebuah kanvas mampu menampung hingga 1,000 ekor benih udang karang dari jenis charex quadricarinatus.

''Sebuah kanvas hanya memerlukan tapak tidak sampai 19 meter persegi dan benih udang dalam kanvas itu boleh membesar antara 85 hingga 500 gram untuk dipasarkan selepas 4 bulan," katanya.

Muhamad Fadzil kini mempunyai 144 kanvas khusus bagi pembenihan udang di tapak seluas setengah hektar di Kampung. Budi, Bachok dahulunya adalah seorang inspektor kesihatan di Pejabat Kesihatan Kota Bharu sebelum berhenti pada tahun 1995.

Walaupun beliau sudah memiliki beberapa syarikat perniagaan sendiri seperti sebuah syarikat perkakasan paip di bandar ini, minatnya kepada haiwan mencetuskan idea untuk meluaskan cabang perniagaan yang berkait dengannya.

Hasil tinjauannya, Muhamad Fadzil tertarik dengan penternakan udang karang dan menimba pengalaman seminggu di Jakarta pada pertengahan 2007.

''Saya pergi ke pusat penternakan utama di situ, tetapi saya tidak puas dengan apa yang ditimba. Orang di sana memberitahu saya udang karang yang diperoleh berasal dari Australia.

''Jadi dengan pertolongan sepupu saya di Australia saya berusaha mencari pakar rujuk yang boleh mengajar saya di sana," katanya.

Beberapa bulan selepas itu, Muhamad Fadzil akhirnya berjumpa dengan salah seorang pemilik ladang, Peter Robinson, 65, yang mengurus ladang 'Charax Park' seluas 18 hektar dengan 42 buah kolam di Terbine, Queensland, berbesar hati menerimanya kerana melihat kesungguhan seorang usahawan seperti Muhamad Fadzil mahu belajar dari bawah.

''Selama tiga bulan saya bekerja 11 jam sehari, empat hingga lima kali seminggu demi mengetahui segala-galanya dari A sampai Z," cerita Muhamad Fadzil.

Beliau membuat segala-galanya dari membersih kolam kepada mengacuk benih hinggalah proses pemilihan udang karang mengikut grednya.

''Saya kena bersungguh-sungguh. Macam orang putih kata work to rule bekerja untuk jadi orang yang berkuasa. Saya tidak kisah disuruh buat bermacam perkara seperti kuli kerana ilmu itu yang penting untuk kita,'' katanya yang pulang sebulan sekali ke Malaysia dalam tempoh 'pengajiannya' di Queensland.

Segala kosnya di sana dibiayai sendiri dan beliau memperuntukkan lebih kurang RM50,000 untuk benih induk dan teknologi yang dibawa pulang ke Malaysia.

''Akan tetapi saya buat pembaharuan sedikit daripada teknologi yang sedia ada. Jika Peter masih lagi menggunakan kaedah mengorek tanah untuk dibina kolam yang kemudiannya dilapik dengan bahan High Density Polyethelene Sheet, saya hanya menggunakan kanvas untuk dijadikan kolam ternakan atas darat," kata pemegang Diploma Kesihatan dari Royal Society of Health, London ini.

Setakat ini syarikatnya sedang menyelia lima projek penternakan udang dalam kanvas di Kelantan dan sembilan lagi di Pulau Pinang.

''Saya pasarkan udang segar yang dibeli daripada dua penternak di Pulau Pinang kepada pengusaha restoran.

Apabila tuaian pertama kanvas dari Kelantan dapat dipungut daripada penternak secara besar-besaran pertengahan bulan ini, ia akan diproses untuk dipasarkan ke pasar raya besar pula,'' katanya.