Projek pembiakan kambing Boer dari Australia ini diuruskan secara besar-besaran oleh penternak tempatan di Ladang Casserose, Kampung Tahang Rimau, Segamat, Johor.
SEJAJAR dengan matlamat kerajaan untuk mensasarkan 15 peratus pengeluaran daging kambing tempatan menjelang tahun 2010 dan mengurangkan pergantungan terhadap daging import yang kini mencecah 91 peratus, Ladang Casserose membuktikan kemampuannya.
Bertempat di Kampung Tahang Rimau, Segamat, Johor, ladang seluas tiga ekar itu berjaya melaksanakan kaedah kacukan kambing Boer menggunakan teknologi moden.
"Bagi menghasilkan baka kambing Boer setanding dengan kambing Boer import, kami mengenengahkan kaedah bioteknologi fasa pertama terhadap 29 ekor kambing Boer pada 11 Mac lalu.
"Menerusi teknik permanian beradas (AI), setiap kambing Boer betina akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum diberi suntikan air mani di kedua-dua bahagian rahimnya," ujar Pengarah Pemasaran Casserose Agrofarm Sdn.Bhd, Md. Rozalafri Johori.
Ditanya bagaimana pemilihan kambing betina dan jantan dilakukan, katanya, penternak akan memastikan setiap kambing Boer betina dan jantan mempunyai tahap kesihatan yang baik, tidak bunting bagi betina serta mempunyai saiz badan 30 kilogram ke atas sebelum diberi suntikan.
"Selepas menjalani suntikan air mani, kambing betina akan ditempatkan di sebuah kandang yang dibina khas, bertujuan untuk melakukan penjagaan kesihatan secara berkala pada setiap hari.
"Kami akan memastikan kambing ini diberi makanan yang secukupnya dan berprotein seperti pallet, rumput napier dan hampas soya," katanya yang memberitahu ladang tersebut dibuka pada tahun 2006.
Menurutnya, matlamat utama membiak kambing baka Casserose adalah untuk memperoleh baka kambing Boer yang berkualiti bagi pasaran tempatan di samping memenuhi permintaan yang tinggi daripada penternak seluruh negara.
Dengan slogan syarikat, 'Kambing Boer sihat dan dagingnya untuk semua', ladang Casserose kini mempunyai 610 ekor kambing yang diternak di empat buah kandang.
Ladang ini mensasarkan peningkatan sehingga 4,000 ekor kambing Boer pada tahun ini.
"Kami memilih baka Boer kerana mempunyai ciri-ciri yang lebih baik berbanding kambing lain sementara dagingnya juga lebih enak serta mempunyai kolesterol rendah.
"Selain itu, dagingnya juga tidak berbau, lebih lembut dan harga dagingnya berpatutan," tambahnya.
Kambing Boer yang terdapat di ladang tersebut adalah untuk dibiakkan dan separuh lagi untuk mendapatkan dagingnya.
Harga bagi setiap sekilogram daging kambing Boer yang telah dipotong dijual pada harga RM40 sekilogram.
Untuk maklumat lanjut mengenai penternakan atau pembelian kambing Boer, hubungi Rozalafri di talian 03-7845 3236 atau 012-2969763
No comments:
Post a Comment