Tuesday, July 23, 2013

BULUH MADU JANA PENDAPAT LUMAYAN


Apakah keistimewaan buluh madu yang mendorong Abu Bakar Ismail untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan?




SETIAP individu pasti ingin berjaya dalam perniagaan yang dijalankan. Begitu juga dengan bekas pengusaha ladang kelapa sawit, Abu Bakar Ismail.
Abu Bakar, 68, dari Kampung Pasir Putih, Tualak, Kuala Nerang, Kedah berazam untuk melakukan sesuatu yang berbeza di samping berjaya melalui tanaman pokok buluh madu.
Sehubungan itu, dia mula mencari beberapa ladang buluh madu di sekitar daerah Padang Terap dan Kubang Pasu untuk melihat cara-cara pokok itu ditanam.
Buluh madu menghasilkan rebung madu yang enak selain buluhnya yang sesuai dijadikan produk kraftangan dan perabot.
Begitupun, hasrat warga emas ini hampir gagal apabila isterinya Siti Leha Hashim, 65, menganggap idea itu tidak masuk akal.
Namun, dengan keazaman yang menggunung, Abu Bakar tetap meneruskan tanaman itu di atas tanah seluas satu hektar di depan rumahnya tiga tahun lalu. Ia mengambil masa selama setahun sebelum buluh madu itu membesar dengan baik.
Menurut Abu Bakar, pada peringkat awal dia hanya menanam 50 batang pokok saja untuk melihat kesesuaian tanah dan persekitaran.
"Apabila mendapati semua pokok yang ditanam tumbuh dengan baik, saya mula menanam lebih banyak anak pokok buluh madu di sekeliling rumah," katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sehingga tahun ini, Abu Bakar berjaya menanam lebih 650 pokok buluh madu di sekeliling rumahnya.
"Pada mulanya, saya menjual rebung ini kepada masyarakat setempat dan ada juga peniaga yang mengambilnya dua kali seminggu untuk dijual di pasar malam.
"Permintaan terhadap rebung meningkat memandangkan ia adalah makanan kesukaan ramai terutamanya dalam masakan tradisional Melayu," ujarnya
Abu Bakar yang dibantu oleh isteri dan tiga anak mereka memberitahu, dia menjual rebung yang belum diproses pada harga RM3.50 sekilogram manakala yang siap diproses RM5 sekilogram.
Katanya, permintaan untuk rebung yang ditanamnya itu meningkat pada musim cuti sekolah khususnya daripada individu yang ingin mengadakan kenduri.
"Kebiasaannya pada majlis-majlis kenduri, rebung madu merupakan antara pilihan yang dicampurkan bersama kari," jelasnya.
Justeru, dia sering mendapat tempahan rebung madu yang tinggi sehingga dengan pendapatannya mencecah RM30,000 sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, pokok buluh madu tidak sukar dijaga kerana ia merupakan tumbuhan yang lasak.
"Ia cuma perlu diberi baja selain memastikan aliran air yang sempurna bagi menjaga tahap kelembapannya terutama pada musim kemarau," kata Abu Bakar.
Selain menjual rebung, dia juga turut menjual benih pokok buluh madu pada harga RM10 sepokok.


REBUNG madu antara menu yang popular pada majlis-majlis kenduri.


Apakah rancangan masa akan datangnya? Abu Bakar memberitahu, dia akan menggunakan segala keistimewaan yang ada pada buluh madu untuk mengembangkan perniagaannya.
Abu Bakar berkata, dia akan cuba mendapatkan mesin untuk memproses buluh madu itu untuk dijadikan lidi pencucuk sate dan buluh sebagai perabot.
Jelasnya, dia juga sedang mencari kawasan yang mungkin boleh disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaannya itu. Pada masa yang sama, mahu menjadikan perniagaannya sebagai model kepada orang lain yang mahu menceburi bidang yang sama.
"Saya berhasrat melangkah setapak lagi dengan mempelbagaikan fungsi pokok buluh madu.
"Mungkin pada masa depan saya akan membekalkan produk-produk yang berasaskan buluh madu selain menyediakan benih kepada mereka yang berminat," tambahnya.
Kepada yang berminat tentang buluh madu boleh menghubungi Abu bakar di talian 013-412 2489.

No comments:

Post a Comment