Tidak timbul masalah pemakanan dan masalah lain yang nyata kecuali kambing dimakan oleh pemangsa seperti harimau.
Terdapat beberapa keistimewaan pada zaman yang lampau itu.
Pertama, kambing dibiar lepas bebas pada siang hari untuk meragut di lapangan menghijau yang luas serta tidak ada masalah berkaitan gangguan lalu lintas dan kepada masyarakat setempat.
Kedua, orang-orang dulu mempunyai pengetahuan (indigenous knowledge) dalam memilih dedaun yang sesuai di belukar dan di hutan untuk diberi makan kepada kambing dan sebagai perubatan herba untuk membasmi masalah cacing dan penyakit lain.
Tidak timbul keperluan untuk tanam rumput napier (rumput gajah).
Ketiga, kambing diberi makanan tertentu atau minuman dibancuh dengan air garam, air beras dan sebagainya untuk tingkatkan kecergasan dan kesihatan.
Zaman tersebut sudah berlalu. Apa yang nyata adalah amalan-amalan yang baik pada zaman lampau hanya sedikit sekali diturunkan kepada anak cucu.
Masih ada amalan yang diturunkan, seperti petua-petua untuk mententeramkan kambing sebelum disembelih dan mengelakkan bau hamis pada daging kambing.
Walaubagaimanapun, dipercayai banyak ilmu-ilmu tertentu dan petua-petua amalan generasi lepas tidak diturunkan dan lebih padah lagi , tidak dibukukan untuk dijadikan sebagai panduan untuk penternak generasi kini.
Oleh yang demikian generasi penternak zaman sekarang banyak berharap kepada pengetahuan yang diperolehi dari kursus jangka pendek, bahan bertulis dan melalui jaringan (networking) serta media elektronik.
Apa yang amat nyata berkurangan dalam kalangan sebilangan penternak sekarang ialah ilmu dalam aspek pemakanan ternakan.
Siasatan oleh saintis Universiti Putra Malaysia (UPM), ke atas kes-kes kematian kambing, mendapati sebilangan besar dikaitkan dengan kelemahan dalam aspek pemberian makanan.
Masalah tersebut bukan sahaja dilihat berlaku pada penternak sampingan tetapi juga pada penternak sepenuh masa.
Jika masalah makanan telah berlaku, pemulihan badan kambing daripada keadaan kurus ke keadaan normal memang melibatkan masa dan juga kos yang tinggi.
Sekurang-kurangnya sebulan diperlukan bagi memulihkan kembali badan kambing yang kurus dan sengsara akibat penerimaan makanan yang tidak mencukupi dari segi jumlah makanan dan zat tertentu seperti vitamin dan mineral.
Sistem pertahanan kambing kepada penyakit menjadi lemah jika ia selalu kelaparan. Inilah sebabnya kambing yang kurus lebih mudah mati apabila diserang penyakit yang biasanya tidak akan membunuh kambing yang gemuk atau cukup diberi makanan.
Tinjauan lapangan dari Perlis hingga ke Sabah menampakkan kelemahan yang sama iaitu pengurusan pemakanan yang lemah.
Oleh yang demikian, UPM telah mengambil inisiatif untuk melihat masalah ini dengan lebih dekat dan menyusun langkah strategik bagi memastikan pengurusan pemakanan kambing berada pada tahap yang baik.
Projek Penyelidikan Technofund berkaitan kambing baka Boer melibatkan kerjasama antara UPM dengan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Sabah berakhir pada hujung tahun lepas.
Penyelidik dari UPM terdiri daripada pakar penyakit dan pembiakan dari Fakulti Perubatan Veterinar dan pakar pemakanan dari Fakulti Pertanian UPM.
Protokol atau Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam aspek pengurusan kesihatan, pengurusan pemakanan dan pengurusan pembiakan telahpun dibangunkan.
Protokol ini dapat dijadikan garis panduan bagi pengusaha kambing baka Boer tempatan.
Kejayaan projek pembiakan kambing baka Boer KPD di Kabang, Sabah berpusat kepada penekanan khusus kepada pemakanan kambing kerana kos makanan menyumbang lebih kurang 70 peratus kos pengurusan.
Kejayaan ini amat membanggakan dan menunjukkan kambing Boer sesuai diusahakan secara komersial di negara ini.
Pelaburan dalam makanan mungkin nampak tinggi berbanding dengan pemeliharaan kambing Katjang tetapi hasil dari pelaburan ini dalam tempoh Projek Technofund berjalan menunjukkan aliran tunai yang menguntungkan.
Satu lagi projek kambing melibatkan UPM yang sedang berjalan dan berada di peringkat akhir ialah program pemindahan ilmu melalui perolehan geran dari Kementerian Pengajian Tinggi. Projek tersebut juga melibatkan pakar dari Fakulti Perubatan Veterinar (JPV) dan Fakulti Pertanian, UPM.
Penyelarasan projek ini adalah melalui Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (sekarang ini dipanggil Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM.
Projek tersebut menumpu kepada meningkatkan pengetahuan penternak kambing Mukim Batu Talam, Raub, Pahang serta meningkatkan ekonomi keluarga penternak kambing.
Pemakanan juga memainkan peranan penting dalam penternakan kambing di kawasan kampung di Mukim Batu Talam yang mempunyai lima buah kampung.
Projek ini dijangka berakhir Ogos ini.
Satu kelebihan pada penternak di Mukim Batu Talam ialah mereka bermula menternak atas dayausaha sendiri dan tanpa menghadiri sebarang kursus formal.
Pada peringkat perlaksanaan projek ini bilangan penternak ialah 10 orang. Kini bilangan penternak mencecah 30 orang selepas tiga siri kursus berkaitan kambing dijalankan.
Impak telah dapat yang mana sekurang-kurangnya dua orang penternak telah mencapai tahap pencapaian tertinggi iaitu lima bintang, satunya sistem pengukuran pencapaian projek komuniti yang digunapakai oleh UCTC .
Keadaan persekitaran perkampungan di Mukim Batu Talam mungkin sama dengan kawasan desa lain di negara ini .
Kepadatan rumah kampung yang semakin meningkat tidak membolehkan kambing dilepas ikut suka seperti zaman lepas merdeka dulu.
Oleh yang demikian kambing hanya dapat dilepaskan pada jangkamasa yang singkat dan pergerakan kambing dikawal agar tidak mengganggu tanaman halaman jiran tetangga.
Kambing masih belum cukup kenyang apabila kembali ke kandang.
Semasa peringkat permulaan program KTP, keadaan badan kambing pada amnya tidak memuaskan.
Setelah penternak dilatih, tahap pengurusan pemakanan bertambah baik.
Susulan dengan itu kadar kelahiran kambing telah bertambah. Bilangan kambing yang dapat dijual juga meningkat dan telah dapat menyumbang kepada penambahan pendapatan keluarga.
Kejayaan ini tercapai dengan pengetahuan yang baik yang diterapkan melalui program KTP, khususnya dalam aspek pemakanan kambing.
Penulis ialah Prof Madya Dr. Azhar Kasim yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130617/ag_02/Mengurus-makanan-ternakan#ixzz2ZBHRSYGN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment