Tuesday, July 23, 2013

JENAMA BERBEZA UNTUK SETIAP NEGERI


Gelagat dua ekor ayam serama di Unit Penyelidikan Poltri, Ladang 2, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang cukup mempesonakan.
Tidak seperti ayam biasa yang agak agresif, ayam serama hasil penyelidikan Pensyarah Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Azhar Kasim memukau pandangan. 
Kunjungan penulis disambut kokokan merdu dua ayam serama seolah-olah ingin menunjukkan kehebatan masing-masing. 

Biarpun di mata Dr Azhar ayam serama yang diternaknya belum bersedia untuk pertandingan, usaha menghasilkan baka baru yang lebih cantik daripada jenis ayam yang hampir pupus harus dipuji.
Foto
GAYA ayam serama yang menjadi tarikan orang ramai.

Ayam Serama atau nama saintifiknya Gallus gallus domesticus sangat popular dan digemari peminat unggas sekitar 1990-an.

Namun, aktiviti riadah hujung minggu itu ‘terkubur’ begitu saja berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu menangguk di air keruh. 

Ini termasuk memperdayakan orang ramai terutamanya peminat baru dengan meletakkan harga yang tinggi sedangkan ayam yang dibeli tidak bermutu. 

Malah, istilah ‘pertandingan’ yang menawarkan hadiah wang tunai dan barangan menarik turut dipersoalkan kerana dikaitkan dengan aktiviti pertaruhan. 

Untuk mengembalikan kegemilangan ayam serama sebagai hobi peminat, pertandingan ayam serama dimasukkan dalam acara besar seperti Hari Peladang. 

Senario pertandingan serama masa kini jauh berbeza. Dulu, ayam serama yang rendah kualiti turut dipertandingkan, namun selepas 10 tahun, kebanyakan ayam serama yang dipertandingkan bermutu tinggi. 

Peminat ayam serama sekarang lebih celik dengan adanya rujukan melalui laman web, blog dan Facebook. 

Di Malaysia, pertandingan kesenian dan kecantikan ayam serama kerap diadakan di Kelantan. 

Di Melaka, pertandingan diadakan sekali sebulan selain di Terengganu dan Lembah Klang. 

Inisiatif pihak tertentu mengetengahkan serama pada peringkat global menjadikan spesies berkenaan semakin popular hingga tertubuhnya Persatuan Ayam Serama Sedunia Malaysia (PASSM). 

Timbalan Presiden PSSM, Dr Azhar berkata, langkah mewujudkan persatuan itu meletakkan negara ini sebagai pendahulu dalam baka serama di seluruh dunia. 
“Serama di seluruh dunia berasal dari negara ini. 

“Ayam Serama dari Kelantan membabitkan gabungan dua jenis ayam iaitu ayam hutan dari segi kemerduan dan kelincahan dan Japanese Bantam,” katanya. 

Katanya, hasil kacukan dua spesies itu terhasil ayam kecil yang popular dipanggil ayam serama. 

Antara baka-baka serama yang popular di Kelantan ialah Hussien, Mat Awang, Nik Rashid dan Ah Wee selain Man Daganan di Terengganu. 

“Ada yang memiliki ayam jantan dewasa seberat 260 gram, jauh lebih ringan daripada had berat pertandingan bagi jantan kategori A iaitu 350gram. 

“Ini adalah lebih kecil daripada burung puyuh daging yang mempunyai anggaran berat kira-kira 300 gram,” katanya. 

Mengakui baka terbabit banyak disimpan di Kelantan, Terengganu, Melaka, dan Lembah Klang, usaha itu amat positif hingga ada berjaya ‘dijenamakan’. 

“Sebagai contoh ayam serama di Melaka mempunyai jenama Lang, di Kelantan jenama Submarine, di Terengganu jenama Tok Uban, dan di Selangor dikenali dengan Seri Keramat dan Lawie Mas. 

“Jenamanya yang berbeza bagi setiap negeri menunjukkan bahawa ada pembiak ayam serama yang menjaga ketulenan spesies mereka,” katanya. 

Membanggakan, apabila ada beberapa individu masih menyimpan rekod-rekod keturunan ayam serama milik mereka untuk dijadikan sebagai bukti baka tulen. 

“Biasanya ayam tidak dipatenkan tapi diberikan hak cipta. Di Thailand, mereka mengambil masa berbelas tahun mendapat pengiktirafan dua baka ayam sabung yang terkenal,” katanya. 

Kini, beliau menjalankan penyelidikan menerusi geran UPM untuk mengkaji sistem otot dan rangka ayam serama. 

“Kajian itu termasuk mengetahui semua ciri-ciri istimewa ayam serama hing­ga membolehkan haiwan itu beraksi mendada, menarik kepala ke belakang,” katanya. 

Dalam penyelidikannya, beliau menggunakan baka ayam serama dari tiga negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Melaka. 

“Ketiga-tiga baka itu memiliki ciri-ciri istimewa, contohnya baka Kopi Dangdut dari Terengganu pernah memenangi kategori ‘Best of The Best’. 

“Penggunaan benih jantan menggunakan permanian beradas,” katanya. 

Katanya, kebanyakan ayam serama diternak lebih kepada pembiakan dengan bilangan sedia ada kira-kira 50 ekor. 

“Harga setiap ayam serama mampu mencecah hingga belasan ribu ringgit, namun ada juga yang berkualiti dijual pada harga RM500 hingga RM1,500,” katanya. 

Membanggakan negara apabila pertunjukan ayam serama di peringkat antarabangsa diadakan sebanyak tiga kali sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA). 

Berkongsi mengenai sifat semula jadi haiwan itu katanya, ayam serama sesuai untuk dijadikan ‘pet’ kerana tubuhnya yang kecil, manja, jinak dan najis dikeluarkan tidak berbau jika diberi makanan yang bersesuaian. 

“Sifatnya yang manja membolehkan pemiliknya membelai haiwan itu,” katanya menyimpan baka daripada kacukan keturunan Kopi Dangdut, Baka 2000, Man Daganan dan Lang.

No comments:

Post a Comment