Monday, July 15, 2013

PERKASAKAN TERNAKAN RUMINAN



Penternak tempatan wajar mengambil peluang menghidupkan semula industri ternakan kambing sebagai persiapan menghadapi kemungkinan kesukaran mendapatkan bekalan import.
JIKA lewat tahun 1990an, industri berkaitan ternakan ruminan amat rancak yang mana proses import dan eksport haiwan-haiwan tersebut amat memberangsangkan.
Malahan, bidang ternakan berjaya menarik minat pelabur-pelabur besar dari dalam mahupun luar negara untuk mengembangkan industri tersebut.
Pada ketika itu, isu kekurangan bekalan ternakan ruminan seperti lembu dan kambing tidak timbul.
Namun, sejak kebelakangan ini, industri ternakan ruminan kembali meruncing apabila kadar permintaan tidak sekata dengan kadar tawaran.
Permintaan yang tinggi terhadap haiwan ternakan meningkat sejajar dengan pertambahan populasi Malaysia.
Bagaimanapun, bekalan haiwan ternakan tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi berikutan pelbagai cabaran serta faktor dalam serta luaran.
Menurut Pengarah Urusan, Major Transglobal Sdn. Bhd. (MTG) Dr. P. Azhar Zakaria, negara buat masa kini terpaksa bergantung kepada negara pengimport ternakan ruminan seperti India, Thailand, Indonesia serta Australia.
Ujarnya, kebergantungan tersebut boleh menyebabkan negara terpaksa akur dengan apa jua kehendak dan kerenah negara-negara tersebut.
"Keadaan ini telah berlarutan sejak sekian lama menjadikan negara-negara pengeksport ini mudah memanipulasikan harga di samping perubahan-perubahan polisi yang tertentu menyukarkan proses pengimportan dilakukan.
"Sebagai contoh, terbaru Australia telah mengetatkan peraturan pengeksportan menerusi Sistem Jaminan Rangkaian Pembekal Pengeksport (ESCAS) dari mula penerimaan ternakan sehingga ke proses sembelihan," katanya ketika di temui di ladang ternakan kambing MTG baru-baru ini.
Tambah Dr. P. Azhar, penguatkuasaan sistem oleh kerajaan Australia tersebut adalah ekoran beberapa kes penganiayaan kepada ternakan.
Hal tersebut telah diuar-uarkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Australia yang sangat berpengaruh iaitu RSPCA (Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals) dan Animals Australia (The Voice For Animals).
Satu kempen dinamakan Ban Live Export telah dilancarkan secara besar-besaran bagi menghalang eksport ternakan hidup dari Australia.
Isu tersebut tercetus berlaku apabila pihak Australia telah menerima video yang didakwa berlaku penganiayaan ternakan di Indonesia pada Mei 2011.
Akibat pendedahan tersebut, kerajaan Australia telah didesak untuk mengenakan penggantungan sementara eksport ruminan ke negara tersebut pada Jun 2011.
Berdasarkan peraturan ketat oleh pihak Australia, dijangka hanya tiga hingga empat pengimpot akan diberi hak atau kelulusan mengimport menerusi sistem tersebut.
Kesemuanya adalah syarikat yang telah lama berkecimpung (established) dan akan menjadi sangat sukar kepada pemain baru dan penjualan ternakan juga tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.
Semua pengimpot dijangka akan terus berhati-hati bagi memastikan rantaian bekalan (supply chain) mereka mengikut semua peraturan yang ditetapkan.
Sistem ESCAS diperkenalkan memiliki pelbagai kesan yang positif juga negatif.
Jelas Dr. P. Azhar, banyak kesan positif dapat dilihat dari perlaksanaan sistem ESCAS yang mana Malaysia akan mengikuti tatacara negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan Eropah dalam pengendalian ternakan berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia OIE.
Hal itu juga boleh menyebabkan kekurangan bekalan dalam tempoh singkat - sederhana dan apa yang diharapkan keadaan tersebut mampu mendorong industri ruminan negara kembali berkembang.
Dorongan disebabkan oleh harga pasaran haiwan ruminan akan meningkat naik kerana peraturan yang lebih ketat dikenakan kepada pengeksport haiwan tersebut.
"Malah penggunaan rumah-rumah sembelih yang dibina oleh kerajaan juga akan digunakan secara maksimum disebabkan penguatkuasaan tersebut.
"Manakala kesan negatif untuk jangkamasa pendek adalah mungkin ramai yang tidak dapat melakukan ibadat korban untuk tahun ini.
"Malah masyarakat yang beragama Hindu juga akan terkesan akibat kekurangan daging kambing atau biri-biri segar untuk musim perayaan Deepavali disebabkan kekurangan bekalan yang ketara," katanya.
Tambahnya lagi, masalah kekurangan bekalan haiwan ruminan tersebut belum lagi mengambil kira negara jiran, Thailand untuk lembu hidup serta India yang membekalkan daging kotak telah beralih tumpuan mengeksport ternakan mereka ke China bagi memenuhi permintaan yang tinggi rakyat negara terbabit.
Isu tersebut menyebabkan bekalan ternakan untuk dieksport ke negara ini akan berkurangan.
Selain itu, negara-negara terbabit pastinya akan memanipulasi serta menaikkan harga tanpa dapat dikawal oleh negara-negara pengimport yang terlalu bergantung kepada mereka seperti Malaysia.
"Kebergantungan kita kepada Australia masih tiada penggantinya. Pembekalan kambing dan biri-biri terutamanya, dari Thailand, Myanmar dan Indonesia masih banyak halangan dari segi protokol, harga yang tidak kompetitif, logistik dan bekalan ternakan.
"Keadaan sedemikian akan menyebabkan kekurangan bekalan yang nyata terutama ketika keperluan bekalan yang tinggi semasa musim korban tahun ini dan lain-lain perayaan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130624/ag_03/Perkasakan-ternakan-ruminan#ixzz2ZBH2Lqpq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment