Wednesday, March 31, 2010

BIOSTEEL

SAINS & TEKNOLOGI

ARKIB : 18/02/2010

Biosteel gabungan kambing dan labah-labah


Dr. Konstantinos


Filem sekual Spiderman bermula dengan seorang lelaki muda, Peter Parker yang digigit labah-labah yang terdedah kepada sinaran radioaktif menyebabkan beliau menjadi superhero.

Ini merupakan sains fiksyen rekaan kerana tidak mungkin ada manusia yang menjadi superhero kena gigitan labah-labah.

Tapi kini terdapat superhero baru iaitu Biosteel hasil kajian gila yang tidak melibatkan manusia tetapi gabungan kambing dan labah-labah.

Malah pengumuman yang dilakukan pada 12 Januari 2000, menceritakan mengenai kejayaan sebuah syarikat bioteknologi yang beribu pejabat di Kanada, Nexia yang berjaya melahirkan dua ekor kambing yang telah diubahsuai secara genetik dengan gen sutera labah-labah.

Apakah yang dikatakan Biosteel? Dan apakah keistimewaan bahan baru ini?

Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Nexia, Dr. Konstantinos (Costas) Karatzas menjelaskan Biosteel amat berkuasa sehingga boleh memberhentikan perjalanan sebuah pesawat Boeing 747.

Biosteel jelas beliau, berasal daripada kambing dan untuk lebih spesifik merupakan sejenis sutera labah-labah yang telah diubah secara genetik daripada susu kambing menerusi proses transgenik.

Kambing 'emas' yang dihasilkan didakwa boleh merawat pelbagai penyakit termasuk artritis, malaria, diabetes, AIDS dan psoriasis.

"Sebagai tambahan kepada pembangunan perubatan, Biosteel juga membangunkan revolusi teknologi aeroangkasa dan kejuruteraan yang menjadikan hidup manusia lebih selamat," katanya semasa syarahan perdana yang bertajuk 'Sutera Labah-labah: Bahan Biomaterial Hebat yang dihasilkan menerusi Bioteknologi Moden' di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Kedatangan beliau merupakan salah satu program Brain Gain Malaysia hasil jemputan Yayasan Diraja Sultan Mizan dan kerjasama Fakulti Perubatan, UPM, Universiti Darul Iman dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketika teknologi transgenik menjadi salah satu evolusi sains dan teknologi, kajian yang dilakukan ke atas Biosteel merupakan sesuatu yang dinantikan.

"Sebenarnya kita perlu mengetahui bagaimana produk dibangunkan kemudian kesan pengeluaran Biosteel sebagai satu bentuk transgenik," katanya.

Jika dilihat Spiderman menjadi superhero dengan satu gigitan labah-labah, pembangunan Biosteel merupakan gabungan pelbagai eksperimen.

Ia bermula dengan kejayaan penyelidik di Universiti Wyoming, Amerika Syarikat (AS) menemui dan mengasingkan gen sutera labah-labah pada 1998.

Segalanya bermula apabila Nexia mencipta versi Biosteel buatan manusia, sejenis sutera larut dalam air yang boleh ditenun menjadi fiber.

Pada 1999, Nexia cuba menyuntik gen sutera labah-labah terus ke dalam kambing tetapi hanya mendapat empat peratus kejayaan.

Dr. Costas berkata, kaedah transgenik terkini yang digunakan menghasilkan kadar kejayaan sehingga 100 peratus bagi menghasilkan Biosteel.

Pada tahun yang sama, Nexia berjaya menghasilkan kambing transgenik yang mempunyai gen sutera kambing yang berprestasi tinggi.

Mengapa Dr. Costas memilih kambing dan bukan haiwan lain?

"Kambing dipilih kerana keupayaan unik haiwan berkenaan membiak dan menyusukan anak pada usia muda," katanya.

Proses yang berbeza dengan pengklonan Dolly kerana ia melibatkan variasi teknologi pemindahan nuklear.

Jika dulu, saintis menggunakan sel dewasa tetapi kini mereka menggunakan sel fetus.

Proses bermula apabila gen sutera labah-labah disuntik ke dalam telur kambing sel tunggal yang kemudian diletakkan di dalam kambing yang sedang bunting.

Anak kambing yang lahir dan mempunyai satu gen tambahan bersama-sama dengan 70,000 gen lain dalam mekap genetik.

Kambing jantan berkenaan yang mengawan dengan kambing betina akan menghasilkan fetus kambing yang mengeluarkan rantaian protein sutera dalam kantung susunya.

Cecair protein akan diekstrak, ditulenkan dan dibekukan dalam pencair kimia termasuk aseton yang mengubah susu tadi kepada fiber yang dikenali sebagai Biosteel.

Jika dalam filem Spiderman membantu masyarakat tetapi kini Biosteel membantu meningkatkan taraf hidup dengan menghasilkan benang sutera besi yang kuat tetapi ringan.

Costas berkata terdapat 30,000 spesies labah-labah yang boleh menghasilkan lebih daripada satu jenis sutera.

Labah-labah kebun biasanya boleh menghasilkan enam jenis sutera yang berbeza bagi tujuan yang berlainan.

Sutera lain yang disasarkan adalah sutera bingkai yang digunakan sebagai bingkai untuk memerangkap mangsa dan mempunyai sehingga 200 peratus keupayaan regangan.

Ini menyediakan perlindungan balistik terhadap peluru dan sesuai digunakan sebagai jaket kalis peluru selain meningkatkan keupayaan komponen automotif dan aeroangkasa.

"Biosteel dilihat sebagai meningkatkan lagi perlindungan dalam rekaan tayar dan fiber optik selain digunakan bagi melapisi stesen angkasa, jambatan serta mengukuhkan bangunan besi," katanya.

Kajian juga menunjukkan Biosteel keserasian sutera labah-labah dengan tubuh manusia bagi membolehkan rekaan tendon dan ligamen buatan, pembinaan tisu, penyembuhan luka dan lapisan nipis biodegradasi bagi pembedahan mata dan otak.

Kajian mendapati bahan plastik biasanya ditolak oleh tubuh boleh digantikan dengan Biosteel.

Lawatan ke negara ini, kata Dr. Costas memberikan peluang untuk membina rangkaian bagi menghasilkan Biosteel menggunakan tanaman berbanding kambing.

"Kali ini kami ingin mencuba menggunakan kelapa sawit atau getah bagi menghasilkan Biosteel," katanya.

BIOGAS

SABAH & SARAWAK

ARKIB : 29/03/2010

Sabah perintis guna biogas


Eric Sarabi menyalakan dapur yang disalurkan menggunakan Biogas hasil daripada najis lembu di Stesen Pembiakan Ternakan Sebrang Keningau, Sabah, semalam.


KENINGAU 28 Mac - Sabah bakal menjadi negeri pertama di negara ini mengunakan najis lembu secara meluas di kawasan luar bandar bagi menghasilkan tenaga elektrik dan gas memasak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kejayaan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) Sabah mempraktikkan penggunaan biogas itu akan diperluaskan.

"Sebelum ini saya pernah melawat di sebuah negara tetapi mereka hanya baru buat kajian tetapi apabila datang ke sini, ia sudah dipraktikkan.

"Jadi saya minta kementerian melalui jabatan veterinar membuat kajian secara mendalam dan kalau boleh kita cari kawasan-kawasan pedalaman yang mungkin sukar untuk mendapat elektrik dan gas," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pengagihan ternakan ruminan kali ke-empat di bawah program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di stesen pembiakan ternakan JPHPT Keningau dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin dan Pengarah JPHPT Sabah, Datuk Awang Sahak Pengiran Salleh.

Pada majlis itu Noh Omar menyampaikan sijil pengagihan 7,304 ekor ternakan ruminan kepada 250 penternak untuk dibiak baka.

Projek penyelidikan Biogas JPHPT Keningau dimulakan pada pertengahan tahun lalu dengan kos kira-kira RM30,000 melibatkan 30 ekor lembu.

Melalui projek tersebut najis lembu akan disimpan di dalam tangki simpanan khas bagi menghasilkan gas metanol yang mampu menghidupkan janakuasa elektrik dan menyalurkan gas memasak.

Menurut Noh, pihaknya bersedia menyalurkan peruntukan tambahan bagi memperluaskan projek tersebut di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya, projek tersebut akan mendapat bimbingan dan kerjasama daripada JPHPT yang telah berjaya mempraktikkannya.

"Melalui kaedah ini penduduk pedalaman akan dapat dua faedah iaitu boleh menambahkan pendapatan melalui ternakan dan kedua boleh meringankan beban mereka dengan mendapat elektrik percuma dan juga gas memasak percuma," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM68.2 juta tahun lalu untuk pembangunan industri ruminan bagi meningkatkan pengeluaran daging negara yang masih berada ditahap yang rendah.

Katanya, pada masa ini kadar sara diri negara bagi daging lembu ialah sebanyak 27 peratus manakala, bagi daging kambing pula hanya pada kadar 10.3 peratus.

"Statistik pada 2009 menunjukkan bahawa pengeluaran daging lembu dan kerbau Malaysia hanya 41,000 tan metrik berbanding penggunaan 152,000 ribu tan metrik.

"Pengeluaran daging kambing negara pula ialah hanya kira-kira 2,000 tan metrik berbanding penggunaan keseluruhan 22,000 tan metrik," katanya.

Monday, March 29, 2010

LADANG KONTRAK

AGROBIZ

ARKIB : 29/03/2010

Ladang kontrak pawah bantu golongan susah


LADANG ternakan Falcon Livestock Sdn. Bhd. yang terletak di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan.


PENGALAMAN membantu ayah membela lembu ketika berusia 15 tahun telah menyuntik semangat beliau untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bertitik tolak daripada situ, Muhammad Fauzi Daud, 46, telah mencuba pelbagai perniagaan demi mencari kepuasan dalam bidang tersebut.

Antara yang sukses adalah perusahaan perabot di mana beliau akhirnya berjaya mempunyai kilang perabotnya sendiri.

Menjelang tahun 1997, beliau mencuba nasib dalam bidang penternakan pula apabila membeli 20 ekor kambing baka Jamnapari daripada Indonesia.

Selain baka itu, beliau turut menternak kambing daripada jenis Boer dan kambing kampung di samping ternakan lain seperti lembu serta rusa.

''Selepas lima tahun terlibat dalam aktiviti ini, saya merasakan adalah lebih baik saya memberi fokus kepada satu jenis ternakan sahaja.

''Ketika itu saya melihat baka Jamnapari mempunyai potensi untuk diperkembangkan kerana mempunyai susu dan daging selain mudah diternak,'' katanya ketika ditemui di ladang ternakan kambingnya di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Justeru, bermula tahun 2005, beliau mula merangka strategi memperluas projek ternakannya dengan memperkenalkan konsep ladang kontrak.

Beliau yang sebelum itu telah menubuhkan syarikat United Falcon Sdn. Bhd. pada tahun 1995 memulakan operasi penternakan menerusi Projek Mini Perladangan Kontrak Kambing dan Bebiri.

Projek berkenaan menawarkan pakej bekalan baka, pembinaan kandang, kursus, pemantauan projek, mesin memproses makanan, khidmat susulan serta pembelian balik anak kambing yang berusia enam bulan dan ke atas.

Peringkat awal pelaksanaan projek itu telah mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan seperti Felda dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Pada tahun 2005 pula, syarikat berkenaan telah dijenamakan semula sebagai Falcon Livestock Sdn. Bhd. dengan operasi penternakan telah diusahakan di ladang seluas 20 ekar yang terletak di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Pengarah Urusan syarikat itu memberitahu, pihaknya turut menerima penyertaan daripada Kementerian Pertanian di bawah penyeliaan Jabatan Veterinar.

Jabatan berkenaan akan bertindak sebagai mentor kepada pelaksanaan Projek Mini Perladangan kontrak Sistem Pawah di kawasan bandar, pinggir bandar serta luar bandar.

Menarik mengenai konsep ladang kontrak pawah, ia menyasarkan penyertaan dari golongan miskin, miskin tegar dan juga berpendapatan rendah.

''Menerusi sistem ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan membeli sebanyak 27 ekor kambing daripada syarikat kami untuk diberi kepada penternak.

''Penternak pula hanya perlu membayar sebahagian sahaja daripada kos ternakan iaitu RM25,000 menerusi pembiayaan Tekun Nasional (Tekun) di bawah skim pinjaman kredit mikro.

''Dalam masa kontrak selama lima tahun, penternak perlu mengembalikan semula 27 ekor kambing kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai pusingan untuk diberikan kepada penternak lain pula,'' jelasnya.

Cara itu akan memudahkan penternak kerana mereka tidak akan terbeban dengan hutang pinjaman sehingga seratus peratus.

Mereka turut mendapat jaminan kejayaan aktiviti ternakan dan pasti tidak akan berhadapan dengan masalah teknikal serta pasaran kerana pihak syarikat telah menyediakan modul penternakan lengkap.

Konsep pawah itu juga tidak memerlukan kawasan ternakan yang luas untuk meminimumkan penggunaan tanah dengan konsep satu ekar bersamaan 100 ekor kambing.

Dari segi makanan ternakan pula, syarikat itu memperkenalkan konsep pemakanan kos rendah yang tidak menggunakan palet menerusi bantuan penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Namun, untuk peringkat tiga bulan pertama, para penternak akan dibekalkan dengan makanan berkhasiat tinggi serta ubat-ubatan untuk mengelakkan haiwan ternakan mengalami tekanan atau stres.

''Penternak akan diajar cara mengadun makanan daripada daun, rumput yang ditanam dan rumput liar bagi memastikan ia cukup nutrien dan sesuai untuk pembiakan kambing.

''Rumput dan daun ini akan diadun dengan jerami padi serta bahan buangan industri lain yang bersesuaian.

''Kita juga ada menjalankan aktiviti penanaman rumput dari jenis Napier, Malberi dan Gliricidia. Kesemua jenis ini mempunyai kandungan protein sehingga 15 peratus,'' katanya.

Dari segi pembiakan, para penternak akan dibimbing untuk membiakkan baka secara natural menggunakan pejantan.

Faktor kesihatan turut diberi keutamaan di mana pemeriksaan akan dibuat enam bulan sekali bagi memastikan ladang dan haiwan ternakan bebas daripada sebarang wabak penyakit.

''Konsep penternakan kos rendah ini mengetengahkan sistem sekuriti bio untuk keselamatan haiwan ternakan.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berterusan juga dijalankan bersama Mardi serta JPV.

''Kita turut mengamalkan konsep bebas bahan buangan kerana najis-najis haiwan ini akan di kitar semula sebagai baja tanaman seperti rumput, pisang, jagung dan ubi selain dijual dalam bentuk sebagai baja organik.

''Untuk pembinaan kandang pula, ia akan menggunakan material terbuang dan masih berada dalam keadaan baik. Reka bentuk kandang juga akan berubah-ubah dan mengalami peningkatan dari semasa ke semasa,'' jelasnya.

Sebanyak empat jenis pakej perladangan kontrak disediakan untuk para penternak iaitu RM20,000, RM30,000, RM40,000 dan RM55,000.

Di samping itu, terdapat lagi tiga projek individu yang melibatkan kos RM100,000 di Selangor dan Negeri Sembilan untuk fungsi pengeluaran susu serta sebuah ladang di Pahang untuk pembiakbakaan.

Selepas menjalankan penternakan selama setahun, penternakan diberi jaminan memperolehi pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM1,500 bergantung kepada pakej yang diambil.

Setakat ini sebanyak 38 projek di bawah Felda, 50 projek TEKUN , 40 projek JPV dan 30 projek individu dari seluruh negara telah dilaksanakan di bawah syarikat tersebut.

Ia tidak termasuk projek daripada kalangan Orang Asli di sekitar kawasan Kampung Tekir dan Labu di Negeri Sembilan.

Selain di Lenggeng, Falcon Livestock Sdn. Bhd. turut mempunyai cawangan ladang ternakan di Berjuntai Bestari, Selangor.

Untuk pasaran, syarikat itu mempunyai pusat jualan yang dikenali sebagai Halal Eksotik di Semenyih, Selangor untuk tujuan jualan daging, pembelian aqiqah dan juga korban

Dengan segala perkhidmatan yang disediakan, Fauzi berharap lebih banyak organisasi kerajaan dan swasta tampil bekerjasama dengan syarikatnya untuk membantu golongan susah keluar dari belenggu kemiskinan.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga secara tidak langsung dapat menambahkan populasi kambing di negara ini bagi memenuhi permintaan sebanyak 1.5 juta ekor setahun.

Mereka yang berminat untuk menyertai program ladang kontrak berkenaan boleh menghubungi Fauzi di talian 019-6509690 atau 03-55115233/5244.

Saturday, March 27, 2010

POKOK GAHARU

RENCANA

ARKIB : 19/03/2010

Teknik penanaman gaharu


Batang pokok karas ditebuk untuk proses penginokulan iaitu memasukkan sejenis bakteria atau kulat untuk menghasilkan gaharu.


Kini usaha penanaman pokok karas sedang giat dilakukan oleh beberapa agensi yang ada di beberapa tempat di negara ini.

Pada umumnya terdapat dua spesies pokok yang menghasilkan gaharu iaitu pokok karas (Aquilaria spp.) dan cendana (Gyrinops spp.).

Proses terjadinya gaharu apabila pokok yang mengalami luka atau diserang penyakit dan kulat yang menjangkiti pokok tersebut merebak ke dalam jaringan pembuluh kayu (vesel).

Untuk terus hidup, kulat tersebut akan menggunakan cairan sel dalam saluran pokok sebagai sumber tenaganya atau makanannya secara perlahan-lahan sehingga menyebabkan kurang atau terhentinya penghantaran makanan kepada daun.

Sel-sel yang isinya sudah dimakan oleh kulat akan membentuk suatu kumpulan sel mati pada jaringan pembuluh kayu.

Hasil tindak balas kimia dalam kayu tersebut akan menghasilkan resin atau damar wangi yang dinamakan gaharu dan apabila dibakar akan mengeluarkan aromanya yang tersendiri.

Pokok karas yang mengeluarkan gaharu adalah dari famili Thymelaeceae yang mana terdapat 25 spesies Aquilaria dijumpai di seluruh dunia.

Di Malaysia terdapat lima spesies utama iaitu; A. malaccensis, A. hirta, A. beccariana, A. rostrata, A. microcarpa.

Terdapat tiga spesies kurang dikenali termasuk A. brachyanta, A. cumingiana dan A. crassna. Menurut Pensyarah Fizik Kayu, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Mohd Zin Jusoh, beberapa faktor harus dipertimbangkan dalam usaha penanaman pokok karas secara perladangan.

"Antaranya adalah, pemilihan anak benih, jarak tanaman, kaedah penanaman, kaedah suntikan dan pasaran.

"Ia juga harus dinilai untuk meminimumkan risiko yang ada bertujuan mendapat hasil yang maksimum selepas tujuh tahun penanaman," katanya.

Pertama, dari segi pemilihan anak benih sering menjadi persoalan.

Terdapat dakwaan bahawa spesies A lebih baik dari spesies B dan ada yang sebaliknya kerana ia lebih cepat membesar dan lebih mahal.

"Kita seharusnya meneliti semula kawasan penanaman kerana pokok karas memerlukan habitat yang unik berbanding dengan pokok lain," katanya.

Katanya, pokok yang sihat dan membesar dengan cepat biasanya menghasilkan gaharu yang sedikit berbanding pokok yang sakit, 'stres' dan cedera.

"Ia sebenarnya selari dengan kejadian semulajadi gaharu di dalam hutan, pokok yang berada di kawasan berbatu dan mengalami tindakbalas kecederaan yang teruk menghasilkan gaharu yang lebih bermutu.

"Kita juga harus melihat kepada permintaan pasaran dan spesies yang menjadi pilihan pembeli dan mempunyai harga yang tinggi.

Spesies Aquilaria malaccensis merupakan salah satu spesies yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

"Manakala kaedah penanaman, jarak penanaman 6 kaki x 6 kaki atau 10 kaki x 10 kaki menghasilkan jumlah tanaman pada 430 pokok atau 1,000 pokok seekar," ujarnya.

Tambah beliau, penanaman secara integrasi adalah lebih meminimumkan risiko, malahan memberi pulangan jangka pendek yang boleh menampung kos keseluruhan.

Jelas Mohd. Zin, boleh dilakukan dengan tanaman herba dan tanaman kontan dan jarak tanaman harus sesuai dengan keadaan tanah.

Selepas pokok karas mencapai usia lima tahun, suntikan sejenis enzim dilakukan untuk merangsang penghasilan gaharu dan dibiarkan selama dua tahun sebelum mendapat hasil yang optimum.

"Tanpa pendekatan ini pokok karas tidak mampu membentuk gaharu di dalamnya kerana dalam keadaan dengan semulajadi, gaharu terbentuk apabila pokok mencecah usia 20 - 40 tahun melalui kecederaan fizikal atau serangan mikro organisma," katanya.

Menurut Mohd. Zin, pokok karas sesuai ditanam di kawasan dataran rendah dan pergunungan pada ketinggian antara 0 dan 750 meter (m) dari aras laut.

"Purata taburan hujan kurang dari 2000 sentimeter (sm) setahun dan suhu paling sesuai adalah antara 27-32 darjah Celsius dan cahaya matahari antara 45-70 peratus.

"Pertumbuhan pokok mampu mencapai ketinggian antara 25 dan 40 meter dan diameter antara 60-80 sm pada ukur lilit," katanya.

Tanah yang sesuai bagi penanaman pokok karas adalah dari jenis lempung dan liat berpasir dan pH tanah antara 4. - 6 pH. Penanaman boleh dijalankan di tanah persendirian, hutan simpan dan tanah kerajaan melalui dua kaedah tanaman iaitu;

nKaedah Monokultur

Tanaman ini dilaksanakan dengan jarak tanaman 3 x 3m dengan jumlah sebanyak 1000-13000 pokok sehektar. Ada juga yang ditanam dengan jarak tanaman 2 meter x 2 meter dengan jumlah yang boleh mencapai 1600 batang pokok sehektar.

nKaedah tanaman Selingan

Pokok karas juga boleh ditanam di bawah pokok-pokok yang lain yang berumur antara 5-8 tahun seperti di ladang kelapa sawit, ladang getah, ladang Kopi, ladang Acacia secara tanaman berselang.


RENCANA

ARKIB : 19/03/2010

Gaharu jana jutawan


Antara gaharu yang terhasil daripada pokok karas.


Gaharu merupakan sejenis kayu dengan pelbagai bentuk jaluran warna khas serta memiliki kandungan damar wangian berupa aloe-resin yang akan mengeluarkan bau atau aroma khusus apabila dibakar.

Ia sangat terkenal di negara-negara Arab dan sudah ala diperdagangkan kerana sering digunakan dalam industri pembuatan minyak wangi, produk perubatan dan majlis keagamaan.

Berasal dari perkataan Sanskrit iaitu Aguru yang bermaksud kayu berat (tenggelam) ia juga lebih dikenali dengan nama agarwood, aloeswood, eagleswood, Jin-ko (Jepun), oud (Arab).

Gaharu diperoleh daripada sejenis pokok yang dikenali sebagai karas (Aquilaria spp.) yang telah disenaraikan dalam Jadual CITES Appendix II sebagai spesies yang sedang diancam kepupusan berikutan penuaian melampau di habitat asalnya.

Harga bagi gaharu gred tinggi mampu mencecah puluhan ribu ringgit dan kini ia menjadi satu fenomena di kalangan masyarakat apabila mereka mula menanamnya dengan harapan ia mampu memberi pulangan yang lumayan.

Namun apa yang menjadi isu pada hari ini adalah pokok 'duit' yang dikatakan mampu menjadikan seseorang itu jutawan segera tidak memberikan hasil yang memberangsangkan.

Ramai yang kecewa dan menganggap ia merupakan perusahaan yang sia-sia dan tidak mampu memberi keuntungan yang lumayan seperti diuar-uarkan.

Namun, rata-rata pengusaha tanaman karas ini mempunyai pengalaman yang cetek atau tiada pengalaman langsung berkenaan penghasilan gaharu daripada pokok ini.

Fenomena tersebut cuma berlegar di kalangan pengusaha dan hanya disampaikan dari mulut ke mulut tanpa melibatkan satu kajian terhadap proses penanaman serta tuaian secara mendalam terhadap sumber yang begitu berharga.

Oleh itu, bagi pengusaha serta penanam gaharu yang benar-benar mahukan pulangan lumayan, mereka perlu mengkaji secara teliti segala prosedur sebelum melaburkan sejumlah wang terhadap perusahaan tersebut.

Terlalu banyak mitos dan pendapat mengenainya.

Ada yang mengatakan ia lebih bernilai daripada emas kerana harganya yang mahal mampu mencecah ribuan ringgit telah membuatkan ramai orang tergila-gilakan hasil pokok ini.

Hakikatnya, taburan pokok ini di dalam hutan di kategorikan berada di ambang kepupusan kerana penuaian secara berleluasa tanpa pengawalan yang rapi.

Tanpa inisiatif dengan penanaman semula pokok ini, hasil gaharu negara tidak mampu lagi untuk dieksport ke negara-negara Asia Barat dan negara Asia lain yang meletakkan permintaan tinggi bagi hasil ini.

Daripada segi perusahaan perladangan, Indonesia dan Thailand telah berada selangkah di hadapan kita namun kita masih teragak-agak dengan keupayaan hasil pokok ini.

Kekurangan sumber maklumat tepat dan kekangan modal yang tinggi untuk dikormersialkan menyebabkan ia kurang mendapat perhatian usahawan di negara ini.

Agensi kerajaan yang ada perlu memainkan peranan dalam menyalurkan fakta yang lengkap dan perkembangan teknologi dalam usaha menjadikan ia sebagai industri yang berkembang pesat.

Penyelidikan dalam penghasilan gaharu melalui kaedah suntikan dan inokulasi juga sedang giat dijalankan.

Antara yang agensi kerajaan yang sedang giat menjalankan kajian berkenaan penanaman serta penghasilan gaharu adalah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Bermula pada sejak awal 1990 di FRIM, bagaimanapun, kajian yang lebih sistematik dijalankan dalam tahun 1992.

Komponen penyelidikan meliputi kajian seperti bahan tanaman, penanaman, pertumbuhan, suntikan tiruan, kimia, serta sosial ekonomi gaharu ke atas penduduk tempatan.

Sepanjang jangka masa ini, agensi usahasama lain yang terlibat adalah seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Hutan Negeri Pahang dan swasta.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) FRIM, Datuk Dr. Abd. Rashid Ab. Malik berkata, kini institut berkenaan berjaya menyediakan teknik menghasilkan gaharu dengan lebih cepat dengan kos yang rendah.

"Jika penanaman gaharu secara biasa ia akan memakan masa yang panjang berbanding kaedah yang telah ditemui FRIM kini.

"Pokok gaharu pada usia empat tahun sudah boleh melalui proses inokulasi dan setelah dua hingga tiga tahun hasilnya sudah boleh diperolehi.

"Bagi yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada FRIM dan kita akan sentiasa membantu," katanya.

Teknik inokulasi sebenarnya agak mahal, namun atas usaha yang bersungguh-sungguh, FRIM berjaya menghasilkan teknik menghasilkan gaharu dengan lebih murah dan berkesan.

Jelas Abd. Rashid, pengusaha gaharu kini tidak perlu bimbang kerana negara memiliki teknologi terkini untuk menghasilkan gaharu setanding dengan negara-negara jiran.

Walaupun penanaman gaharu di Malaysia masih pada skala yang agak kecil dan ketinggalan berbanding dengan negara jiran kita seperti Thailand, Kemboja, India dan Indonesia namun kita masih mempunyai peluang yang cerah untuk perusahaan ini berikutan permintaan terhadapnya amat tinggi.

"Di negara kita masih tiada badan khas bagi memantau serta membantu perusahaan ini, justeru semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi menjayakannya," ujar beliau.

Namun, kurangnya pendedahan dan pengumpulan maklumat menyebabkan perusahaan gaharu kurang memberi impak dalam pelaksanaannya.

Penghasilan Minyak Gaharu

Untuk mendapat minyak dan berkualiti yang tinggi kualiti kayu gaharu perlu diambil berat.

Terdapat tujuh kategori mutu gaharu namun, untuk mendapatkan kayu yang bermutu tinggi, terdapat lima ciri utama perlu diberi keutamaan dalam memastikan bahawa kayu gaharu tersebut mencapai tahap berkualiti yang dikehendaki atau tidak.

Ia termasuklah corak atau warna pada kayu tersebut seperti warna coklat kehitaman, kandungan damar wangi tinggi, serat padat, berat dan menghasilkan aroma yang kuat apabila dibakar.

Daripada ciri-ciri tersebut, gaharu digredkan kepada gred A, gred B, gred C, gred D, gred E, lain-lain gred dan gaharu racik (kayu racik).

Penghasilan minyak gaharu boleh dilakukan dengan dua kaedah; iaitu kaedah penyulingan stim dan kaedah penyulingan air.

Kaedah penyulingan stim adalah yang paling efektif dengan menghasilkan minyak yang banyak.

Proses dimulakan dengan mengisarkan kayu gaharu sehingga halus kemudian direndam selama beberapa hari sehingga sel kayu (parenkima) dan kelenjar minyak hampir terasing.

Kepingan gaharu ini kemudiannya akan disuling di dalam kelalang clavenger selama enam jam dan setiap peringkat penghasilan minyak yang berlainan warna akan diambil dan digredkan.

Sementara itu, kaedah penyulingan air adalah paling mudah tetapi penghasilan minyak gaharu adalah pada tahap minimum.

Kayu gaharu tersebut akan dimasak selama empat hingga lima hari sehingga minyak gaharu terhasil.

Di Malaysia, perusahaan secara besar-besaran telah berubah menggunakan teknik penyulingan stim daripada penyulingan air kerana proses yang lebih mudah dan kos yang rendah.

Rata-rata ramai pengusaha gaharu yang kurang berpengalaman didalam bidang ini namun tetap berminat untuk mempelajarinya.

Justeru Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Perhutanan akan mengadakan Seminar Kebangsaan dan Pameran Gaharu 2010 pada 22 hingga 23 Mac ini di Auditorium Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang.

Seminar tersebut bertemakan 'Ke Arah Kelestarian Pembangunan Industri Gaharu'.

Seminar ini akan di hadiri oleh pembentang-pembentang kertas kerja daripada pelbagai aspek termasuk Sumber dan Pengurusan Pokok Karas, Penuaian, Penyimpanan & Penyediaan Bahan, Pemprosesan Minyak Gaharu & Ciri-ciri Kualiti Dan Promosi, Pemasaran & Polisi.

Pembentang kertas kerja yang akan dijemput menghadiri seminar ini mempunyai kepakaran di dalam industri ini dari sudut polisi, penyelidikan, perusahaan, pemasaran dan pembekalan serta penggunaan.

Mereka terdiri daripada ahli akademik, jabatan kerajaan, pemimpin organisasi, pengusaha ladang, ahli profesional dari industri berkaitan serta pengguna produk ini sendiri.

Bagi yang berminat mereka boleh mendapatkan maklumat di laman web nationalgaharu.blogspot.com atau www.forr.upm.edu.my dan www.introp.upm.edu.my.

Wednesday, March 24, 2010

EMAS BERENANG

AGROBIZ

ARKIB : 22/03/2010

PPPAT Glami Lemi fokus kajian arowana


Ternakan ikan arowana di Bukit Merah sangat popular di kalangan pengeksport.- Gambar hiasan


BERDASARKAN laporan Jabatan Perikanan, industri ikan hiasan Malaysia telah berkembang dengan pesat.

Ini berdasarkan statistik anggaran tahun 2008 bahawa pengeluaran dari industri ikan hiasan adalah 733 juta ekor ikan.

Ini bersamaan dengan nilai RM759 juta dan ini merupakan peningkatan sebanyak 31.4 peratus (pengeluaran) dan 17.3 peratus (nilai pengeluaran) jika berbanding dengan tahun 2007.

Dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) sehingga tahun ini , ikan hiasan telah di kenal pasti sebagai salah satu komoditi dan bidang usaha yang diberi keutamaan.

Salah satu spesies ikan hiasan utama negara adalah ikan arowana (Scleropages formosus) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti industri ikan arowana sebagai salah satu industri bernilai tinggi.

Bagi memastikan pembangunan industri ikan arowana yang berterusan, Jabatan Perikanan telah mengadakan satu Pelan Pengurusan Pemuliharaan Ikan Arowana di Tasik Bukit Merah supaya habitat asal ikan arowana ini dapat dipulihara.

Di negara ini, Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) merupakan sebuah pusat penyelidikan di bawah Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.

PPPAT yang terletak kira- kira 15 kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, PPPAT Glami Lemi yang dahulunya beroperasi di Batu Berendam Melaka mula beroperasi di Titi, Jelebu Negeri Sembilan mulai awal tahun 2007.

Fungsi utama PPPAT ini ialah menjalankan pelbagai kajian dalam bidang akuakultur termasuklah;

lMenjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan perikanan air tawar

lMengkaji, mengumpul dan menyebarkan maklumat yang berkaitan.

lMemelihara perhubungan dan kerjasama penyelidikan dengan lain-lain sektor perikanan dan organisasi

Objekitif PPPAT

lMewujudkan teknologi yang sesuai untuk pembiakan dan ternakan ikan makan dan ikan hiasan air tawar

lMewujudkan pengurusan perikanan yang rasional dan akuakultur mapan persekitaran

lMenjadi pusat rujukan dan perkhidmatan pakar

lMeningkatkan keupayaan teknikal penternak dan kakitangan jabatan melalui latihan dll.

lMeningkatkan hasil keseluruhan ikan yang berkualiti di dalam negara

lPemuliharaan biodiversiti hidupan akuatik

Untuk mencapai objektif tersebut PPPAT Glami Lemi menjalankan aktiviti penyelidikan dalam bidang bioteknologi molekul dan penentuan foligenetik ikan air tawar.

Dalam bidang bioteknologi enzim, penyelidikan ditumpukan untuk menyaring mikro organisma yang boleh berupaya mereputkan komponen-komponen tumbuhan yang tidak dapat dihadam oleh ikan.

Dalam bidang pembiakan ikan, PPPAT mencari kaedah pembiakan terkini serta menghasilkan induk, benih dan baka berkualiti.

PPPAT juga menjalankan kajian ternakan untuk pelbagai spesies ikan air tawar serta merancang program pemilihan genetik ikan untuk menambah produktiviti ternakan ikan.

Selain itu, ia penting dalam bagi mewujudkan kaedah pengurusan perikanan yang rasional dan amalan akuakultur yang mapan kepada persekitaran bagi perairan tertutup. Juga sebagai tempat rujukan dan perkhidmatan pengembangan di dalam bidang perikanan darat seluruh negara.

Ia juga menyimpan inventori spesies ikan di perairan darat Malaysia dan memulihara biodiversiti hidupan air.

Pasaran ikan arowana tertumpu kepada eksport.

Negara eksport utama ialah Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.


AGROBIZ

ARKIB : 22/03/2010

Keuntungan lumayan ternak arowana


Ismail Ali bangga menunjukkan ikan arowana gold.


EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga.

Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.

Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah.

Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.

Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut.

"Kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,'' katanya sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.

Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian.

Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain.

Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan.

Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya.

Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan

"Satu ketika saya mengalami kerugian kerana masalah yang tidak dijangka tetapi tidak mematahkan semangat,'' katanya.

Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan.

Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.

Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam.

Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat.

Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur

"Ketika ini saya menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan,

"Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan termasuk universiti untuk tujuan ini,''katanya.

Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular.

"Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi kita (Jabatan Perikanan) menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan,'' katanya.

Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun.

"Tawaran pakej BMA (Bukit Merah Aquaculture) memang baik sebab mereka ada ladang dan kolam,'' katanya.

Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.

Info

Taksonomi Arowana

Kelas: Pisces

Order Clupeiformes

Suborder Osteoglossoidei

Famili Osteoglossidae

Genus : Scleropages sp.

Spesies: Scleropages formosus

Berdasarkan pengkelasan ini ikan dalam famili Osteoglossidae dikatakan merupakan kumpulan ikan air tawar mempunyai ciri ikan primitif. Ini berdasarkan kepada fosil yang telah ditemui dimana asal usul arowana telah wujud pada zaman kewujudan dinosour di zaman karbon kira-kira 360 juta tahun dahulu.

Antara spesies ikan air tawar lain yang terkandung dalam famili ini termasuklah

l Arapaima gigas iaitu sejenis ikan air tawar yang terbesar dan arowana perak (silver), Osteoglossum bicirrhosum dan O. ferreirai yang berasal dari Amerika Selatan.

l Arowana mutiara (Scleropages leichardtii) dan arowana hitam (Scleropages jardinii) yang berasal dari Australia juga tergolong dalam famili Osteoglossidae.

l Heterotis niloticus boleh ditemui dai bahagian barat Afrika dan Sungai Nil

Jenis arowana

Pada asalnya Arowana Asia (Scleropages formosus) terbahagi kepada tiga varieti utama iaitu Arowana Emas, Arowana Merah dan Arowana Hijau.

Arowana Emas

Terdapat dua varieti iaitu varieti emas Malaysia dan emas Indonesia.

Arowana Emas Malaysia merupakan jenis yang terbaik dan cantik berbanding varieti Indonesia.

Melalui pembiakan dalam kurungan pelbagai varieti seperti blue base gold dan high back gold telah dihasilkan. Jenis albino merupakan jenis arowana emas yang paling jarang ditemui di pasaran.

Arowana Merah

Arowana Merah berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi ia telah dihasilkan secara intensif di ladang arowana tempatan.

Arowana Hijau

Arowana Hijau merupakan jenis yang paling meluas taburannya di negara kita..


AGROBIZ

ARKIB : 22/03/2010

Keghairahan Jamal Abdillah kepada ikan arowana


MInat Jamal Abdillah kepada arowana mendorong beliau memeliharanya dalam akuarium.


"SAMPAI bila saya nak menyanyi?," soal Jamal Ubaidillah Ali atau Jamal Abdillah apabila ditanya mengapa dia menceburi ternakan ikan kelisa atau arowana, satu industri akuakultur bernilai tinggi.

Jamal membayangkan dia tidak mungkin menyanyi seumur hidup untuk menampung hidup meskipun kerjaya seni itu menjadikannya popular.

Dalam usia mencecah awal 50-an, sesuatu perlu dilakukan dan ternakan ikan menjadi pilihan memandangkan minatnya sudah lama di situ.

Jamal berterus terang bahawa minatnya dalam ternakan ikan telah berputik secara sekian lama.

Pada awal 1993 , dia membuka kedai haiwan peliharaan termasuk ikan akuarium di Kelana Jaya berniaga selama dua tahun sebelum menjualnya kerana kesibukan.

Namun, meskipun tidak lagi mengusahakan perniagaa kedai peliharaan, dia masih memelihara ikan sebagai satu daripada hobi.

Malah, kerana minatnya yang mendalam kepada ikan aroawana, dia mempunyai akuarium sendiri yang menempatkan ikan kesayangannya itu.

Jamal berkata, jiwanya begitu tenang melihat ikan berenang damai dalam akuarium.

Katanya, setiap kali kembali daripada konsert atau aktiviti luar, dia akan terus 'menyapa' ikan arowana yang dipelihara dalam akuarium.

Ikan tersebut seakan menjadi penawar kepada jiwa resahnya. Barangkali dengan kesibukan, Jamal kelihatan lebih tenang dan damai memberi makanan cengkerik di dalam akuarium tersebut.

Apatah lagi melihat ikan arowana yang mempunyai pelbagai warna menarik dan berkilauan menjadikannya teruja dan sangat menyeronokkan.

Tidak cukup dengan itu, Jamal mengorak langkah lebih jauh dengan menceburi ternakan ikan bernilai tinggi itu dengan melabur kira-kira RM360,000.

Pelaburan tersebut membolehkannya memiliki 20 ekor ikan kelisa super red di samping 20 ekor spesies Malaysia Gold.

Bayangkan seekor ikan bernilai kira-kira RM5, 000 bagi induk matang dan setipa ikan diletakkan cip sebagai pengenalan.

''Harapan saya mahu menjadikannya sumber yang menguntungkan boleh mencapai keuntungan RM1 juta jika semuanya berjalan dengan baik,'' katanya.

Pelaburan itu dibuat selepas menerima pakej yang ditawarkan oleh Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. pada tahun lepas.

Ladang ternakan ikan arowana tersebut terletak di Simpang Empat, Semanggol, Perak.

Syarikat tersebut ditubuhkan sangat tepat pada masanya Malaysia memberi keutamaan kepada ternakan ikan arowana dan Bukit Merah merupakan kawasan yang sesuai untuk ternakan dan menjadi tempat asal habitat ikan arowana di negara ini.

Ternakan ikan arowana ini telah mula dijalankan di atas tanah seluas 34 ekar semenjak 2003 dan sejumlah 400 buah kolam telah dibangunkan untuk tujuan ternakan ikan arowana jenis merah dan emas.

Menurut pemilik ladang, Ahmad Don yang juga Pengarah Urusannya, ladang beliau berupaya untuk mengeluarkan 10,000 ekor anak ikan berukuran antara tujuh dan lapan sm setiap tahun.

Pasaran utama anak-anak ikan ini adalah untuk eksport ke negara seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan dan Kanada.

Ladang ini telah memperolehi sijil CITES yang membolehkannya menjalankan perdagangan ikan arowana ke pasaran antarabangsa.

''Saya membuka kepada pelabur menyerrai program ini dengan harapan mereka mendapat keuntungan dengan menawarkan spesies Malaysia Gold,'' katanya.

Spesies ini mendatangkan margin keuntungan lebih berbanding spesies lain.

Pakej yang ditawarkan melibatkan 20 ekor spesies Malaysian Gold bernilai RM50,000 dengan ikatan kontrak selama tujuh tahun.

Pelabur mempunyai pilihan sama ada membayar makanan ternakan sendiri selama tempoh dua tahun setengah atau 30 bulan bernilai RM2,000 sebulan atau RM60,000 selama tempoh tersebut.

Oleh itu katanya, selama tempoh ternakan 30 bulan itu, jumlah kos yang diperlukan ialah RM100,000 tetapi pelabur boleh memperoleh RM300,000 selepas itu

Pada masa sama, anak ikan yang dihasilkan di bahagi dua antara pelabur dengan syarikat BMA.

Menurut Ahmad, beliau kini mempunyai lebih 400 pelabur dengan 80 peratus merupakan bumiputera.

Bukit Merah Aquaculture Sdn. Bhd. boleh dihubungi di talian 05-8905997, emel: info@bmaquaculture.com atau layari www.bmaquaculture.com.

Monday, March 22, 2010

LEBIH MAHAL DARI EMAS

RENCANA UTAMA

Lebih mahal daripada emas

Lebih lama pokok karas sakit maka lebih bermutu kayu gaharu yang terhasil daripada tindak balas gangguan sama ada secara semula jadi mahupun tindakan manusia.




TATKALA menyebut perkataan, pokok karas, pasti ramai di antara kita membayangkan ia sejenis flora atau pokok biasa yang membesar di kawasan hutan tropika negara ini.

Tetapi, jika diberitahu bahawa pokok karas itu menghasilkan kayu dan minyak gaharu, apakah yang terbayang dalam kotak pemikiran anda?

Tentu sekali, seseorang akan membayangkan harga kayu tersebut yang mencecah puluhan ribu ringgit bagi sekilogram ataupun bau harum yang dikeluarkannya.

Harganya yang begitu mahal membuatkan ada yang menyifatkan bahawa kayu ini lebih bernilai daripada emas.

Negara-negara seperti Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi dan Dubai begitu menggilai kemewahan kayu gaharu. Sementara itu, Indonesia jauh lebih maju dan bergiat aktif dalam menggerakkan industri berasaskan kayu gaharu.

Masing-masing berlumba-lumba mempromosikan minyak kayu gaharu atau lebih dikenali sebagai agarwood oil di peringkat dunia.

Malaysia sebaliknya lebih cenderung untuk mengeksport hasil kayu ini dalam bentuk kepingan kayu karas atau damar gaharu berbanding minyak yang diekstrak.


FADLIZA menunjukkan anak benih pokok karas yang mengeluarkan resin gaharu.


Malah sehingga tahun 1997, Lembaga Perkayuan Malaysia (MTC) melaporkan bahawa negara ini pernah mengeksport gaharu dalam kepingan bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh lima tahun.

"Saya terlibat dalam perniagaan gaharu ini sejak empat tahun lalu. Pada awalnya, saya menjual kepingan kayu dan damar gaharu untuk pasaran tempatan dan luar negara.

"Tetapi setelah melihat pulangan yang cukup lumayan daripada jualan itu, saya memutuskan untuk pergi lebih jauh iaitu menawarkan perkhidmatan menjual anak benih dan minyak kayu gaharu," ujar Fadliza Mohd. Nor, 35, ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Suri rumah yang bercita-cita setinggi gunung itu memberitahu, dia mengenali kewujudan pokok karas melalui pengalaman mencari pokok herba di kampung halaman bersama ayah kesayangannya.

"Saya kenal pokok karas sejak tahun 1980-an, iaitu semasa terlibat dengan aktiviti mencari kayu-kayu herba bersama ayah di kawasan hutan yang terletak di Pasir Mas, Kelantan.


KEPINGAN kayu gaharu yang menghasilkan aroma indah.


"Ayah tidak berminat dengan pokok ini sebab dia tidak tahu apa-apa tentangnya. Saya pula ketika itu masih 'hijau' tentang pokok-pokok bernilai tinggi di dalam hutan," kata Pengurus Jasben Plantation yang menawarkan perkhidmatan menebang balak dan tanaman herba di Kampung Sakar, Pasir Mas, Kelantan.

Namun, setelah ayahnya yang ketika ini merupakan Pengarah Urusan Jasben Plantation, Mohd. Nor Ibrahim bertemu dengan orang Siam (Thailand) yang masuk ke Malaysia untuk mencari pokok daripada famili hymelaeceae ini, pertemuan itu telah membuka matanya bahawa pokok karas rupa-rupanya sangat bernilai.

"Sebelum ini, kayu pokok karas hanya dibuat papan lapis. Kulitnya dijadikan tali gasing. Tetapi orang Siam mencari karas untuk menghasilkan minyaknya yang mempunyai aroma yang sangat wangi.


KILANG memproses minyak kayu gaharu di Gua Musang, Kelantan.


"Minyak itu dieksport ke negara-negara Arab untuk dijadikan minyak wangi," tambah bekas graduan jurusan Pentadbiran Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berminat dalam bidang agro sejak kecil lagi.

Menurutnya, waktu paling sesuai untuk pokok karas mengeluarkan hasilnya ialah pada usia enam tahun atau setelah ia mula berbunga.

"Pada usia itu, pokok karas hanya mampu menanggung 'kecederaan' kurang daripada 20 peratus.

"Kalau terlalu awal, ia boleh mati. Kalau kecederaannya terlalu teruk, itu juga boleh membunuhnya," ujarnya.

Fadliza bagaimanapun mengingatkan bahawa pokok karas sebenarnya mempunyai keunikan berbeza dengan pokok lain.

"Jika pokok lain memberi hasil apabila batangnya sihat tetapi sebaliknya bagi pokok karas. Pokok karas yang sihat dan membesar dengan cepat menghasilkan resin gaharu yang sedikit berbanding pokok karas yang sakit dan diganggu.

"Lebih lama pokok itu sakit maka lebih bermutu kayu gaharu yang terhasil daripada tindak balas kecederaan itu," ujar Fadliza sambil menjelaskan bahawa gangguan itu berlaku secara semula jadi atau tindakan manusia.


HABUK kayu gaharu direndam di dalam air.


Menurutnya, pokok karas boleh hidup dalam apa jenis tanah sekalipun.

"Ia boleh tumbuh di mana-mana sahaja. Di atas tanah pamah, diameter batangnya lebih besar. Pertumbuhan itu bergantung pada banyak faktor, antaranya ialah jarak antara pokok, jenis anak benih, kaedah tanaman serta kaedah suntikan," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Afizol Rashid, 35, yang merupakan suami tercinta Fadliza sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar dalam menggerakkan perniagaan mereka, selain berkongsi beberapa cara untuk mendapatkan minyak pokok karas.

"Menakik, mengikat batangnya dengan dawai, memaku ataupun membakar batangnya adalah antara kaedah konvensional yang sering dilakukan.

"Tetapi kini, kita mempunyai teknologi terbaru untuk mengeluarkan gaharu iaitu dengan menyuntik inokulasi (yang terdiri daripada sejenis bakteria) ke dalam lubang yang ditebuk pada batang pokok karas," katanya.

Katanya lagi, teras di dalam pokok akan diambil setelah pokok ditebang dan dipotong mengikut bentuk dan saiz resin yang terbentuk.

"Proses membuang sisa kayu daripada resin gaharu sehingga bersih dilakukan di kilang. Gaharu yang siap diproses akan menjadi kepingan atau habuk akan digred mengikut saiz, bentuk, warna dan bau sebelum dijual kepada pekedai atau pengeksport.


KARAS gred rendah dijadikan colok.


"Kebanyakan kerja-kerja mencuci atau membuang sisa kayu dilakukan oleh pekerja di kilang pemprosesan," ujar Afizol yang menjelaskan bahawa kepingan gaharu itu digunakan secara meluas dalam industri berasaskan spa dan pusat kecantikan kerana aromanya.

Selain gaharu dijual dalam bentuk kepingan dan abu, ia juga diproses untuk dijadikan minyak.

Justeru syarikatnya turut menawarkan perkhidmatan penanaman ladang gaharu khusus untuk aktiviti pemprosesan minyak gaharu.

Katanya, ladang itu kini giat diuruskan oleh sahabat baiknya di Gua Musang, Kelantan.

Mengenai karas gred rendah pula, katanya karas itu akan diasingkan untuk dijual bagi membuat colok.

GAHARU

PENGENALAN
  1. juga dikenali sebagai agarwood, karas, gaharu, sandalwood
  2. Aquilaria spp. adalah pokok dalam family Thymelaecae.
  3. Pokok yang telah matang akan membesar sehingga 40 meter tinggi dan berdiameter 40cm.
  4. Pokok gaharu di hutan semulajadi mula mengeluarkan resin gaharu pada usia 20 hingga 45 tahun, bergantung pada ketahanan pokok dan tindakbalas kecederaan pokok.
  5. Terdapat 15 spesis dari genus Aquilaria mempunyai nilai komersil yang tinggi. Malaysia sendiri mempunyai 5 spesis yang amat berkualiti iaitu Aquilaria Hirta, A. Malaccencis, A. Beccariana, A. Rostrata dan A. Microcarpa.
  6. Hidup di kawasan tanah pamah sehingga ketinggian 750 m dari aras laut, dan memerlukan taburan hujan dan kelembapan yang tinggi.
  7. Pokok gaharu merupakan spesis di bawah CITES Appendix II, merupakan spesis terancam kerana kepupusan populasinya.
  8. Gaharu digunakan dalam industri minyak wangi, produk perubatan, perubatan Ayurvedia, majlis keagamaan dan sebagainya.

SENARIO INDUSTRI GAHARU

  • Permintaan untuk gaharu semakin tinggi walaupun pengeluaran semakin berkurangan, menyebabkan harganya semakin meningkat setiap tahun.
  • Kebanyakan gaharu dieksport kepada pemborong-pemborong di Singapura, Timur Tengah, Hongkong dan Taiwan.
  • Harganya boleh mencecah sehingga RM 14 - 18 ribu sekilogram untuk gred Double Super. Malahan, harga pasaran untuk minyak gaharu juga amat tinggi iaitu sehingga RM45 ribu / kg. (kaedah penggredan kualiti kayu dan minyak masih belum dipiawaiankan dan bergantung kepada penjual dan pembeli).
  • Asia Tenggara mengeksport gaharu bernilai RM48.3 million ke Arab Saudi dan bekalan hanya memenuhi 20% daripada permintaan pasaran.(sumber: TRAFFIC International 2002)
  • Buat masa ini, kebanyakkan gaharu dikeluarkan daripada hasil hutan dan amat terhad. Tanpa penanaman semula, spesis ini akan terus diancam kepupusan disebabkan aktiviti pengambilan gaharu
  • Penanaman gaharu di Malaysia masih baru dan belum popular, tetapi di negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja sudah lama diusahakan. Malah ia mendapat sokongan yang amat kuat daripada pihak agensi kerajaan mereka dari segi modal dan teknologi.

PENGGALAKAN PENANAMAN GAHARU SECARA LADANG
Penanaman pokok karas sesuai dijalankan di
1. Tanah terbiar
2. Kawasan rezab hutan simpan
3. kawasan pembalakan yang telah diterokai.
4. Dijalankan secara pertanian hutan ladang dan diintergrasikan dengan pelbagai tanaman lain seperti herba dan tanaman komoditi.

  • Dapat menjana hasil ekonomi masyarakat setempat dan negara dalam bentuk eksport.
  • Dapat menghijaukan bumi dan mengurangkan pencerobohan kawasan hutan
PERMULAAN PENANAMAN

i) Peringkat permulaan, tanah seeloknya dibersihkan dari semak samun dan tanah digemburkan. Untuk seekar tanah, penjarakkan 10 kaki x 10 kaki membolehkan sebanyak 430 pokok ditanam (430,000 kaki persegi / 100 kaki persegi).

ii) Penandaan jarak lubang dilakukan sebelum proses penggalian. Lubang digali berdiameter 0.5m dan pada tahap kedalaman 0.5m. Baja kompos organik digunakan untuk membantu mempercepatkan pembesaran anak karas.

iii) Pancang kayu digunakan untuk mengelakkan anak pokok senget semasa proses pembesaran.

iv) Kaedah penyiraman adalah secara titisan melalui polypaip yang dipasang bagi menjaga kelembapan tanah.

v) Semakin besar anak pokok, penjagaan semakin berkurangan. Elakkan penggunaan baja yang terlalu kerap kerana pokok yang terlalu subur akan mengurangkan hasil gaharu.


PENYUNTIKAN ENZIM

i) Penyuntikan bakteria dilakukan semasa umur pokok karas mencecah 5 tahun atau diameter batangnya lebih kurang 10cm – 15cm. Proses pertama, batang pokok karas akan digerudi sehingga 3 – 5 cm dalam dengan ½ inci diameter sebelum disuntik dengan bakteria.

ii) Antara jenis –jenis bakteria yang dikenalpasti ialah Antara fungi terlibat: Torula sp., Cladosporium sp., Pencillium citrinum, Aspergillus tamarii, and other Aspergillus spp., Botryodiplodia theobromae, Cytosphaera mangiferae, Epicoccum granulatum, Fusarium oxysporum, Fusarium solani & Chaetonium globosum.

iii) Penggunaan PVC atau buluh boleh menghalang daripada lubang yang digerudi tertutup semula. Pokok Karas amat kuat kerana boleh menutup lukanya dengan cepat.

iv) Pembentukan resin gaharu terjadi antara 3 bulan hingga 2 tahun selepas proses suntikan enzim bakteria. Selepas memastikan gaharu yang terhasil, pokok karas sudah sedia untuk diambil hasilnya.

PENGAMBILAN HASIL GAHARU

Terdapat pelbagai cara yang dilakukan untuk mendapatkan gaharu daripada pokok karas :-

i) Jika gaharu didapati pada sebatang pokok, maka pokok karas ditebang keseluruhannya dan bahagian yang terdapat gaharu dipotong segera dan dibersihkan serta diasingkan mengikut kandungan damarnya. Pokok akan ditebang kira-kira 50cm dari aras tanah. Cara ini membolehkan pokok karas mengeluarkan tunas baru bagi mendapatkan hasil kali kedua.

ii) Jika didapati terdapat gaharu pada dahan pokok karas, hanya bahagian dahan sahaja dipotong tanpa menebang keseluruhan pokok.

iii) Pokok karas yang sudah dikenalpasti akan dibiar reput, bahagian ada gaharu tidak akan reput kerana struktur gaharu adalah lebih keras dari induknya.

iv) Teras akan diracik dan dibersihkan untuk mengasingkan kayu dan teras gaharu. Gaharu akan digredkan mengikut warna, bentuk dan bau


PENGHASILAN MINYAK GAHARU

Gaharu yang bermutu rendah akan diproses untuk dijadikan minyak. Minyak dihasilkan menggunakan kaedah penyulingan. Terdapat 2 jenis kaedah penyulingan:

a) Kaedah Penyulingan Air

b) Kaedah Penyulingan Stim

Kaedah Penyulingan Air :

i) Minyak dihasilkan menggunakan penyuling air.

ii) Di masak sehingga 4 -5 hari.

iii) Digunakan terutamanya oleh pengamal perubatan tradisi di Kemboja dan India

iv) Di Malaysia, masih ramai yang menggunakan kaedah ini tetapi pengusaha yang besar telah bertukar kepada kaedah penyulingan stim

Kaedah Penyulingan Stim :

i) Menghasilkan lebih banyak minyak berbanding penyulingan air

ii) Kayu karas dikisar halus dan direndam selama 3-7 hari utk memisahkan sel parenkima dan kalenjar minyak

iii) Sampel kemudiannya akan disuling didalam radas Clavenger selama 6 jam

iv) Minyak yang terhasil mengeluarkan aroma gaharu dan mempunyai warna pelbagai dari perang kehijauan hinggalah ke perang kemerahan gelap

PENGGREDAN KAYU

Contoh penggredan kayu diambil kira dari aspek dibawah:

No

Ciri-Ciri

Mutu

Pertama

Kedua

Ketiga

Keempat

Kelima

Keenam

Ketujuh

1

Warna

Coklat Kehitaman

Coklat Bergaris Hitam

Coklat Bergaris putih tipis

Kecoklatan bergaris putih tipis

Kecoklatan bergaris putih lebar

Putih Keabuan garis hitam tipis

Putih keabu-abuan

2

Kandungan Damar Wangi

Tinggi

Cukup

Sedang

Sedang

Kurang

Kurang

3

Serat

Agak padat

Agak padat

Agak padat

Kurang Padat

Kurang Padat

Jarang

Jarang

4

Berat

Agak berat

Agak berat

Agak berat

Agak berat

Ringan

Ringan

Ringan

5

Aroma (dibakar)

Agak Kuat

Agak Kuat

Agak Kuat

Agak Kuat

Kurang kuat

Kurang kuat

Kurang kuat