Tuesday, November 17, 2009

TERNAKAN KAMBING BOER

Penternakan Kambing Boer Berpotensi Besar
boerboer01
Industri penternakan kambing dijangka berkembang pesat di Malaysia dengan pertumbuhan pada kadar 6.7% setahun untuk tempoh dari 2006 hingga 2010. Minat pengusaha menternak kambing juga semakin berkembang berikutan dasar kerajaan yang menggalakkan pertumbuhan ternakan kambing ini.
Polisi Pengeluaran Kambing Kebangsaan mensasarkan pengeluaran 4.96 juta ekor dengan 1.99 juta untuk penternakan kambing menjelang 2015. Tiga jenis kambing yang pada masa ini diternak di Malaysia ialah dari jenis baka daging, tenusu dan bulu. Kini, kambing boer semakin menjadi pillihan penternak kerana mutu dagingnya yang tinggi dan mudah untuk diternak. Kambing boer mula berada di negara ini selepas dibawa oleh Mardi pada tahun 2001 dari Afrika Selatan. Kini, banyak kambing boer yang dibawa ke negara ini diimport dari Australia.
Ciri ciri kambing boer:
Subur dan mudah membiak sepanjang tahun
Mempunyai lebih banyak daging kerana tulangnya lebih nipis berbanding kambing lain
Daging lebih bermutu, tinggi khasiat, rendah kalori, kolesterol dan kaya dengan protein
Kambing boer paling bagus dari segi daging berbanding baka jamnapari anglo nubian, alphine dan beratus ratus baka yang lain
Tahan lasak kepada pelbagai jenis penyakit dan boleh menyesuaikan diri dari sebarang bentuk persekitaran dan cuaca
Daging kambing boer bukan sahaja lebih enak dan bermutu, malah dicadangkan oleh American Heart of Association untuk mereka yang menghadapi masalah berkaitan jantung. Pada masa ini, pengeluaran kambing di negara ini adalah pada kadar 8% dan masih mempunyai ruang dan potensi yang besar untuk berkembang.

JIHAD TERNAK
Bernama, 5 Jun 2007
Oleh Noor Hammad Wariman PASIR MAS, 5 Jun (Bernama) -- Syarikat Jihad Ternak Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Kota Baharu mensasarkan untuk menjadi pengeluar kambing Jamnapari terbesar di rantau ini menjelang 2010.

Pengurus Besarnya Azhar Jaafar berkata sejak beroperasi awal tahun ini dengan 2,000 ekor kambing Jamnapari di kawasan seluas 100 hektar di Rong Chenok dekat sini, syarikat itu telah mendapat banyak pertanyaan daripada syarikat dari Arab Saudi, Brunei Darussalam, Taiwan dan China.

Syarikat itu dijangka mampu mengeluarkan 200 liter susu, satu metrik tan daging dan 100 ekor kambing sebulan, pada tahun depan apabila bilangan kambing itu ditambah sehingga mencapai 8,000 ekor, katanya kepada Bernama di ladang ternakan kambing itu di Rong Chenok dekat sini, hari ini.

Dengan kemudahan dua kandang setiap satu sepanjang 135 meter dan 12 meter lebar dan empat kandang kecil, syarikat itu dijangka menambah kemudahan yang ada untuk menternak sehingga 20,000 ekor Jamnapari menjelang 2010 bagi memenuhi permintaan kerana ia merupakan satu-satunya syarikat yang menternak kambing itu di negara ini.

Katanya daging ternakan itu mempunyai kandungan kolestrol yang rendah manakala susunya baik untuk kesihatan manusia terutama untuk jantung dan hati.Seekor anak kambing Jamnapari yang baru dilahirkan berharga RM1,000 dan Jamnapari dewasa seberat 150kg boleh dijual sehingga mencecah harga RM20,000, katanya.

Katanya kambing Jamnapari yang diperolehi dari Indonesia itu sesuai diternak di negara ini dan ia cepat membiak.

Azhar berkata syarikat itu juga bercadang mempelbagai pengeluaran produk berasaskan ternakan itu dan dijangka mampu mengeluarkan lebih lima metrik tan daging, 300 liter susu dan menjual 400 baka kambing itu menjelang 2010.

Pada masa ini, ladang ternakan itu mampu membekalkan satu metrik tan baja organik sebulan kepada sebuah syarikat tempatan, katanya.

Katanya ladang ternakan itu yang mempunyai 15 pekerja dijangka menyediakan tempat khusus untuk mengadakan kursus menternak kambing itu kepada mereka yang berminat pada masa depan.

Beliau yakin usaha syarikat itu mampu menjadikannya sebagai pusat penyelidikan kambing serantau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment