Utara: Enggan kahwin kerana ternakan
Oleh Abu Bakar Al Sidek
bhnews@bharian.com.my
2010/03/15
TELUK INTAN: Demi kerana minatnya menternak kambing dan lembu, Ruziah Ralimun, 35, sanggup melupakan soal jodoh kerana mahu menumpukan perhatian kepada bidang itu.
Malah, beliau membuat keputusan hanya akan berkahwin selepas impiannya menjadi penternak berjaya di peringkat nasional, tercapai.
Saya meletakkan sasaran menjadi penternak berjaya dalam tempoh lima tahun akan datang dan akan bekerja keras bagi mencapai impian itu,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan lembu dan kambingnya di Lorong Rambutan Laici, Kampung Batu 4, Selabak Dalam, dekat sini, baru-baru ini. Tahun lalu, Ruziah dinobatkan sebagai Johan Penternak Jaya Wanita sempena Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Perak.
Ruziah berkata, beliau mahu membuktikan bahawa wanita juga mampu menjadi penternak berjaya sama seperti dikecapi kaum lelaki dan yakin mencapai matlamat itu jika tumpuan serius diberikan dalam bidang itu.
Mengenai rutin hariannya, katanya beliau biasanya ke ladang ternakan pada jam 10 pagi dan hanya pulang jam 7 petang.
"Saya bekerja tujuh hari seminggu dan mempunyai seorang pembantu. Saya hanya bercuti rehat pada Aidilfitri saja," katanya.
Ruziah, anak kedua dari lapan adik beradik itu kini menternak 50 lembu betina, 30 lembu jantan dan 10 ekor anak dari baka Brahma. Selain itu, beliau juga menternak 80 kambing betina, 30 anak dan dua kambing jantan baka Boer dan jamnapari.
Semua haiwan itu diternak di kawasan seluas 0.4 hektar atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hilir Perak yang mengenakan bayaran RM300 setahun atas lesen tumpangan sementara.
Beliau berkata, pada peringkat awal, beliau hanya menternak tiga lembu dan tiga kambing betina kampung yang semuanya dibeli dengan harga RM3,000 di kawasan rumahnya untuk mengisi masa lapang.
Berkat sokongan ibu bapa dan khidmat nasihat serta bantuan unit peladang Kampung Selabak, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkap dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), beliau tabah berdepan cabaran menjadi penternak.
“Saya pernah ditanduk lembu dan mengalami kerugian RM15,000 kerana haiwan ternakan mati dan dicuri orang. Namun semuanya itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus bergerak aktif sebagai penternak,” katanyam
No comments:
Post a Comment