Sunday, December 13, 2009

PENJAGAAN & PENGURUSAN INDUK BUNTING

Induk-induk yang telah telah dikenalpasti bunting seharusnya di masukkan ke dalam petak kandang berasingan dari yang belum bunting dan diselia dengan lebih rapi. Pemakanan hendaklah di tambah secara beransur-ansur. Misalnya, palet yang biasanya diberi dalam kadar 300g seekor sehari bagi induk yang belum bunting, ditambah secara beransur-ansur ke 400g dan seterusnya sehingga mencapai 500g seekor, bagi induk yang bunting.


Bagi induk yang sudah mencapai bunting peringkat akhir iaitu memasuki bulan ke-5, sebaik-baiknya hendaklah diasingkan ke dalam petak kecil supaya ia tinggal secara bersendirian dan bebas makan tanpa perlu berebut dengan yang lain.

Induk bunting peringkat akhir tidak seharusnya dipindah-pindah ke ladang lain yang mana persekitaran dan pemakanannya mungkin berbeza. Ini akan mengganggu emosi dan menyebabkan ia mengalami gejala 'stress'. Seterusnya pemakanannya mungkin terganggu dan merencatkan pembesaran anak dalam kandungan. Dalam hal ini, anak mungkin akan lahir dalam keadaan lemah dan risiko kematian adalah tinggi.


Kenapa berlakunya Anak Lahir Pramatang (premature):


Terdapat beberapa sebab kenapa anak lahir pramatang, antaranya:

1)Kekurangan nutrition - bila induk dah sampai peringkat akhir bunting (late pregnancy) iaitu kira-kira bulan ke-5, saiz anak dalam kandungan semakin besar lalu menghimpit perut induk menyebabkan ruang perut utk menyimpan makanan semakin sempit. Induk pula memerlukan nutrition untuk dirinya serta untuk anaknya yang makin membesar. Bila induk tidak dapat menampung makanan yg secukupnya, maka kelahiran pramatang (premature) akan berlaku di mana anak biasanya kecil dan lemah.

2) Masalah parasit - Sekiranya induk yang berada di peringkat akhir bunting menanggung masalah bebanan parasit (seperti cacing, kutu, protozoa, dll) yang kritikal, ia menyebabkan si induk mengalami masalah kekurangan nutrition. Anak yang lahir akan lemah dan tidak dapat berdiri untuk menyusu seterusnya gagal mendapat kolostrum (susu awal) dari ibunya. Maka risiko kematiannya amat tinggi kerana kurang daya tahan melawan penyakit.

Pemakanan induk bunting perlu diberi perhatian. Sekiranya diberi suplimen sumber tenaga berlebihan, kemungkinan boleh berlaku overeating disorder (pregnancy toxemia) atau ketosis (terlebih gula). Juga boleh berlaku lebihan lemak menyebabkan induk lemah dan sukar melahirkan anak. Pemakanan harus seimbang. Rumput mestilah segar dan berkualiti manakala palet kambing (goat pellet) perlu diberi dalam kuantiti secukupnya (iaitu kira-kira 400 hingga 500 gram sehari).

Penjagaan bagi induk bunting adalah sangat penting. Induk bunting peringkat akhir seharusnya diasingkan di dalam petak kandang khas supaya ia tidak perlu berebut sewaktu makan. Juga supaya ia dapat diberi pengawasan dan pemerhatian khas.

PENJAGAAN ANAK KAMBING BARU LAHIR

Induk yang sudah melahirkan anak seharusnya diasingkan ke petak-petak kecil

untuk mengelakkan anak dari risiko kemalangan misalnya kemungkinan ditanduk atau terpijak oleh kambing lain sewaktu makan, dsb. Pengasingan juga perlu untuk memudahkan pengurusan dan pengawasan terutama dari pemakanan, di mana si induk tidak perlu berebut dengan kambing lain sewaktu makan.


Si induk dan anak yang baru dilahirkan perlu sentiasa diawasi. Sesetengah induk, terutamanya yang baru pertama kali melahirkan anak, masih kurang naluri keibuannya, malah ada yang enggan menerima kehadiran anaknya Ada pula sesetengah induk yang tidak tahu menjaga anak dan kadang-kadang enggan menyusukan anaknya. Jika tidak diawasi dan diambil tindakan sewajarnya, risiko kematian anak yang baru lahir sudah tentu tinggi. Induk yang enggan menyusukan anak, harus diajar supaya menyusukan anaknya, iaitu dengan cara memegang si induk sewaktu anak menyusu, supaya si induk tidak lari atau menendang-nendang anaknya. Lama kelamaan si induk akan menjadi biasa dengan keadaan ini serta menerima kehadiran anaknya lalu membiarkan anaknya menyusu dengan aman.

Si induk yang baru melahirkan anak akan mengeluarkan susu awal yang mengandungi kolostrum sehingga tempoh 36 jam selepas anak dilahirkan. Si anak harus dipastikan mendapat susu yang mengandungi kolostrum ini sebanyak mungkin, kerana ia mengandungi antibodi semulajadi. Kegagalan anak mendapat kolostrum secukupnya akan meningkatkan risiko kematian di peringkat awal kelahiran. Sekiranya tetek si induk tidak mengeluarkan susu, maka si anak ini mestilah ditumpangkan untuk mendapat susu dari induk lain yang baru melahirkan anak dalam tempoh 36jam. Jika tidak terdapat induk lain yang mengeluarkan susu di ladang anda, maka susu tepung gantian terpaksalah digunakan. Seboleh mungkin, pastikan anda menggunakan susu tepung gantian bersumberkan susu kambing, bukannya dari susu lembu.

Sebagai kesimpulannya, penternak mesti memastikan yang si anak yang baru lahir mendapat susu yang secukupnya. Tetek induk perlu diperiksa dan diawasi dari semasa ke semasa untuk memastikan yang ia mengandungi cukup susu. Pengawasan ini adalah sangat perlu untuk mengurangkan kadar kematian, kerana banyak kes terjadi di mana si induk kurang mengeluarkan susu. Walaupun si anak kelihatan sering menyusu dari teteknya, sebenarya susu induk tidak keluar, akibanya si anak beransur-ansur menjadi lemah akibat kekurangan nutrien dan tenaga. Malangnya, ini hanya disedari oleh penternak di saat-saat akhir, dan si anak gagal diselamatkan.

Cerai Susu
Berbeza dengan bayi manusia, anak kambing lahir dengan barisan gigi susu di bahagian hadapan rahang bawah. Gigi ini akan kekal sehingga kambing itu mencapai usia matang iaitu kira-kira 16 bulan hingga satu tahun setengah (Nota: usia matang ini bergantung juga kepada jenis baka). Kambing tidak mempunyai barisan gigi di bahagian depan rahang atas.

Kebiasaannya, anak kambing sudah mula memakan makanan lembut seperti rumput dan dedaun dalam usia 1 bulan. Anak kambing boleh mula diasingkan dari induknya apabila mencapai usia 2 bulan. Walau bagaimana pun, susu induk atau susu tepung gantian sebaik-baiknya terus diberi sehingga usianya mencapai 4 bulan, untuk memastikan perkembangan tumbesarannya lancar dan tidak terencat. Pemakanan makanan tambahan dalam bentuk konsentrat (seperti palet) boleh mula diberi secara sedikit-sedikit selepas usianya mencapai 1 bulan.

Bagi anak Boer jantan F3/F4, anda haruslah berpuashati sekiranya tumbesaran anak kambing anda mencapai kadar purata antara 3.5kg hingga 4kg sebulan. Ini bermakna, ia sudah mencapai berat antara 35kg hingga 40kg bila berusia 10 bulan. Selepas itu, kadar tumbesarannya akan menurun, setelah usia meningkat.

AKSI-AKSI INDUK KAMBING MELAHIRKAN ANAK

Induk yang pada awalnya berdiri mula terjerit-jerit apabila terasa hendak melahirkan anak. Ia kemudiannya duduk untuk meneran keluar anaknya

10 minit kemudian mulut dan lidah anak mula kelihatan, begitu juga sepasang kuku kaki hadapan

15 minit kemudian - Kepala dan dua jari kaki hadapan anak mula keluar

20 minit kemudian - Keseluruhan kepala dan separuh kaki depan sudah keluar

25 minit kemudian - Akhirnya keseluruhan badan anak keluar sepenuhnya

Naluri kasihsayang seorang Ibu - Tanpa berlengah si induk terus menjilat-jilat anaknya sejurus selepas si anak dilahirkan


Induk bangun dan terus menerus menjilat badan anaknya sehingga bersih

Anak sudah bersih selepas dijilat sepenuhnya oleh induk

Dalam tempoh 1/2 jam selepas lahir, anak terus berusaha untuk bangun

Anak ini berjaya berdiri tegak dalam tempoh kurang 45 minit selepas dilahirkan

Alhamdulillah! Anak kelihatan sihat dan mula tercari-cari tetek induk untuk menghisap susu, sejurus selepas berjaya berdiri tegak

Selepas beberapa lama tercari-cari tetek induknya, akhirnya si anak berjaya 'menjumpai' tetek tersebut secara 'instinct' dan terus menghisap sehingga kenyang.
Pada awalnya si anak hanya menghisap sebelah tetek induk sahaja menyebabkan tetek yang sebelah lagi masih menyimpan susu yang banyak.Si anak kini kekenyangan dan si induk mengambil peluang untuk berehat.

Peringatan kepada penternak Penting !!!
Induk akan mengeluarkan susu awal yang mengandungi kolostrum sejurus selepas anak dilahirkan. Kolostrum mengandungi 'antibody' semulajadi (diturunkan dari si induk) untuk membantu daya ketahanan si anak melawan serangan bakteria/virus dsb. Ia akan terputus dari kandungan susu selepas tempoh 36 jam. Penternak mestilah memastikan yang anak kambing mendapat kolostrum yang secukupnya iaitu dengan cara memastikan anak menyusu dari induknya dalam tempoh 36 jam pertama selepas dilahirkan. Kegagalan anak menyusu dari induk dalam tempoh ini mungkin akan mengakibatkan anak kekurangan daya tahan terhadap penyakit dan terdedah kepada risiko kematian oleh serangan bakteria dan penyakit.


No comments:

Post a Comment