Friday, November 13, 2009

HERBA TEMPATAN


Tumbuhan herba Origano

HORIZON
Minuman herba air tangan Pok
Oleh NUR AISHAH MOHD AMINnuraishah.amin@kosmo.com.my


"DATANG sini wajib rasa minum herba asli," ujar Pok, seorang lelaki yang berumur dalam lingkungan umur lewat 60-an mempelawa wakil-wakil media sebelum meninggalkan Pulau Herba.
Pok atau nama sebenarnya Abdul Majid Awang ialah individu yang bertanggungjawab menjaga pulau itu iaitu salah sebuah pulau di Tasik Kenyir. Terletak di Pulau Sah Kecil, Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, pulau tersebut mempunyai keluasan kira-kira 15.8 hektar.
Kami menyusuri laluan sempit untuk sampai ke sebuah pondok kecil. Ia bukan sebuah pondok buruk seperti yang dibayangkan. Sebaliknya, terdapat kerusi dan meja yang diperbuat daripada kayu untuk menjamu tetamu yang datang ke situ.
Ada dapur kayu api yang sedang mereneh minuman herba. Sambil menyediakan minuman herba tersebut, Pok sempat memberitahu, terdapat 200 jenis pokok herba dalam hutan tersebut.
Melihat keterujaan kami yang rata-ratanya baru pertama kali membuat kunjungan ke pulau itu, Pok cukup berbangga dengan yang mampu ditawarkan oleh Pulau Herba.
Tidak dapat dinafikan, kunjungan itu benar-benar membuka satu perspektif baru. Sebelum ini, tumbuhan herba yang diketahui hanyalah berdasarkan kepada produk yang sudah siap diproses atau telah diekstrak khasiatnya.
Justeru, peluang untuk mengenali lebih dekat pokok dan daun herba yang diperkenalkan Pok tidak disia-siakan.
Akhirnya, minuman yang direneh dihidangkan. Kata Pok, tongkat Ali untuk lelaki dan kacip Fatimah pula untuk perempuan.
"Tetapi orang perempuan pun boleh minum tongkat Ali, ia baik untuk suami. Orang lelaki pula boleh minum kedua-dua herba ini. Ada khasiat yang baik untuk pasangan suami isteri," ujar Pok serius, tetapi disambut gelak ketawa nakal daripada kami yang mendengarnya.
Air herba
Meneguk air herba daripada gelas kecil yang disediakan, rakan-rakan yang pada awalnya malu-malu untuk merasa keaslian herba itu, akhirnya mengaku minum lebih daripada tiga gelas kacip Fatimah dan tongkat Ali.


TUMBUHAN herba Origano.
Walaupun asyik menikmati minuman tersebut, adakah semua tanaman herba yang ada di pulau itu memang tumbuh secara semula jadi?
Sebabnya, ada herba yang ditanam di dalam pasu. Lantas Pok yang berjalan sedikit tempang menjawab, ada juga herba yang dibawa dari tempat lain dan ditanam di situ.
Sebagai contoh, daun origano yang jarang ditemui dalam hutan di Malaysia berikutan faktor cuaca dan tanah, namun ia mampu hidup di pulau itu. Kewujudan herba origano membuatkan pengunjung yang datang menganggap hutan itu sangat istimewa.
Bagi Pok, dia menjaga pulau itu bukan kerana tugas semata-mata, sebaliknya dia sendiri cukup mengagumi khasiat tumbuhan asli.
"Pok anggap ini semua sebagai amanah yang Tuhan beri untuk menjaga ciptaan-Nya. Tidak pula Pok rasa nak jaga tempat ini kerana pelancong nak datang, tapi macam jaga tanaman di rumah sendiri," ujarnya.
Pok nyata sudah biasa dengan kunjungan pelancong. Sesiapa sahaja yang datang dibiarkan melihat dan mencium sendiri daun-daun herba yang ada.
Keasyikan di taman itu berakhir selepas 30 minit. Senja kian berlabuh, seramai 10 orang wakil media yang turut serta dalam rombongan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu itu meninggalkan pulau dengan ceria dan rasa lebih 'bertenaga'.
"Ini semua tongkat Ali punya pasal," seloroh salah seorang rakan media, Tunku Sufrizal Tunku Yusof, 40.


AGROBIZ

ARKIB : 11/12/2009

Minuman berasaskan herba ISOmedic


mas cotek sejenis herba yang mudah ditanam di negara ini dan kaya dengan nilai kesihatan.


HERBA adalah anugerah alam yang merupakan khazanah yang tidak ternilai harganya. Di negara barat seperti Amerika dan Eropah, hari ini penghasilan ubat-ubatannya lebih 70 peratus adalah berasaskan pada herba setelah melihat potensi herba ke arah rawatan yang lebih selamat dan berkesan.

Walaupun di negara mereka terdapat musim pada setiap tahun tetapi pembangunan ke arah herba giat dilaksanakan, sehingga terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi melaksanakan penanaman secara berterusan disebabkan masalah musim yang terdapat di negara mereka.

Berbeza di Asia khususnya di Malaysia, tumbuhan-tumbuhan herba boleh tumbuh dengan mudah secara melata dan sebahagian besarnya tidak perlu melakukan penanaman kerana herba-herba ini boleh tumbuh dan hidup secara sendiri.

Kita seharusnya mengambil peluang dan ruang dengan menggunakan khazanah anugerah alam ini untuk meningkatkan ekonomi negara.

Jadi kesedaran, pengetahuan serta minat perlu dipupuk dan dibimbing supaya akan munculnya wira-wira perniagaan yang berasas dari herba dengan meneroka dan menjadikan herba ini sebagai satu perniagaan.

Pembangunan herba di Malaysia perlu dipandang serius terutama dari golongan pihak profesional dan ahli korporat yang berpotensi.

Penggabungan di antara pengamal perubatan secara tradisional dan golongan profesional seharusnya bergerak secara seiring sekiranya industri ini ingin dimartabatkan pada satu tahap yang lebih tinggi.

Jika ingin merealisasikan herba sebagai satu khazanah tanpa had atau nilai yang tinggi, pembangunannya perlu mempunyai strategi yang lebih berkesan.

Pembangunan yang dilakukan tanpa strategi akan menerima nasib yang sama seperti herba-herba lain yang dibangunkan tetapi tidak mencapai ke sesuatu matlamat yang disasarkan.

Sebagai contoh, pegaga, misai kucing dan kacip Fatimah, di mana pada satu peringkat mendapat fokus yang meluas dan akhirnya menjadi sunyi.

Syarikat tunjang

Berbeza dengan tongkat ali dengan adanya syarikat tunjang (anchor company), ia boleh berdiri lebih lama dan dikenali meluas sehingga ke luar negara.

Justeru, pembangunan herba seharusnya memikirkan selain potensi yang terdapat pada herba tersebut tetapi perlu juga memikirkan sasaran pasaran dan bentuk penghasilan produk siap.

Pembangunan herba tidak boleh hanya sekadar penghasilan produk siap dalam bentuk tradisional seperti teh, minyak, kopi dan kapsul sahaja.

Kita seharusnya memikirkan bentuk penghasilan yang lebih global bagi menembusi pasaran bukan sahaja untuk pasaran domestik malah untuk pasaran antarabangsa.

Seperti di Thailand pengeluar minum yang berjenama Red Bull, yang mana pengusahanya adalah orang yang pertama terkaya di negara tersebut dan mantan Perdana Menteri.

Melihat dari sudut potensi ini, melalui Syarikat Delto Medicama Plantation yang diketuai oleh Nasnan Jajuli dan dibantu dari pelbagai agensi serta universiti, produk minuman kesihatan dikenali sebagai ISOmedic dihasilkan.

Kajian dengan mengambil kira apakah yang terdapat dalam kandungan isotonik berjenama tinggi dan menjadikan bahan-bahan tersebut sebagai asas kepada pembuatan ISOmedic.

ISOmedic ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan ekstrak tujuh spesies mas cotek yang mana khasiatnya telah dilakukan analisis mendalam.

Kajian yang dilakukan mendapati khasiat yang terdapat pada tumbuhan tersebut sememangnya antara keperluan tubuh badan manusia.

Minuman ini menggunakan kelebihan khasiat yang terkandung dalam ekstrak mas cotek dan ditambah dengan penggunaan bahan-bahan lain sebagai asas seperti produk-produk isotonik yang lain.

Bagi menjamin bekalan bahan mentah ini mencukupi, projek ini melibatkan 35 orang penanam yang ditempatkan di Tanjung Karang bagi fasa pertama dan pembiayaan dilakukan oleh AgroBank Selangor.

Penghasilan isomedic adalah kerjasama a Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di mana khasiat yang ketara adalah menurunkan tekanan darah tinggi atau meningkatkan tekanan darah rendah dalam tempoh tidak sampai satu jam selepas pengambilan sebotol isomedic.

Selain berfungsi sebagai pemberi sumber tenaga, isomedic mampu untuk menyeimbangkan keperluan badan.

Keberkesanan bagi mengatasi masalah denggi, beberapa pihak hospital telah menjalani ujian terhadap pesakit-pesakit denggi.

Begitu juga testimoni akan dilakukan pada atlet tinju dan berbasikal, bagi tujuan adakah isomedic ini berkemampuan meningkatkan tenaga kearah itu.

Hasil kajian telah menunjukkan bahawa mas cotek ini mempunyai lima komponen aktif yang berguna untuk tubuh manusia.

Komponen tersebut adalah flavonoids, tannins, triterpenoids, proanthocyanins dan phenols.


AGROBIZ

ARKIB : 11/12/2009

Petua ibu lahirkan usahawan mas cotek


masri Ismail (kanan) meleraikan daun mas cotek sebelum dibersih, ditos dan dikeringkan dalam ketuhar.


SAYA sangat tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan begini," kata Pengasas Sri Ain, pengusaha minuman mascotek, Masri Ismail.

Beliau memulakan usaha menanam herba mas cotek secara kecil-kecilan selepas mengamalkan petua ibunya yang mengambil herba berkenaan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah.

Masri yang berminat dengan herba berkenaan mula mencari pelbagai maklumat mengenai khasiat mas cotek daripada Internet serta orang tua-tua.

Berminat dengan khasiat mas cotek, Masri mula menanam herba berkenaan secara meluas di tanah miliknya seluas satu hektar di Kampung Jenjarum, Banting, Selangor.

Bagi meningkatkan produktiviti tanaman mas cotek, Masri sering mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada Pegawai Pertanian Kuala Langat, Mohd. Fairuz Affendy Mohd Isa.

Memulakan tanaman mas cotek pada Jun 2007, Masri juga mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Seminggu saya mengikuti kursus di UTM mengenai cara menghasilkan dan menggunakan mikrob berguna (EM) dalam racun serangga dan baja.

"Ini sebagai satu cara penanaman bebas kimia yang saya amalkan sejak sekian lama," katanya semasa ditemui di ladangnya di Banting, Selangor.

Beliau juga banyak menerima khidmat nasihat dan input pertanian dalam bentuk baja dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.

Masri menanam 13 jenis mas cotek dan menggunakan ramuan pelbagai jenis bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

Beliau menghasilkan produk pertama pada Ogos 2008 dengan pasaran hampir di seluruh negara.

Pada bulan Mei tahun depan, Sri Inai menambahkan lagi dua produk keluarannya iaitu mas cotek halia dan Sri Cotek Cafe bagi penggemar kopi.

Masri juga mendapatkan khidmat nasihat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi ujian mikrob dan logam berat.

Bagi mendapatkan ekstrak bagi Sri Cotek Cafe, Masri menghantar bahan mentah ke Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Masri berkata, proses menghasilkan minuman botanikal mas cotek bermula dengan tuaian daun dan dileraikan.

"Daun berkenaan kemudian ditimbang dan dibasuh menggunakan air suling sebelum ditoskan di atas dulang selama beberapa hari.

"Selepas itu daun akan dimasukkan ke dalam ketuhar pada suhu 40 hingga 45 darjah Celcius (C) selama tiga hari," katanya.

Apa yang menarik, Masri membina sendiri ketuhar untuk mengeringkan daun dan boleh mengisi sehingga 150 kilogram daun pada satu-satu masa.

Daun yang telah dikeringkan kemudiannya dibawa ke kilang di Sungai Manggis untuk diproses dan dijadikan minuman botanikal dan mas cotek halia.

Kilangnya yang dilengkapi dengan sebuah makmal kecil, bilik pengisar, bilik pengeluaran dan stor boleh menghasilkan sehingga 10,000 uncang sehari atau kira-kira 4,000 kotak sebulan.

"Di kilang ini, kami menjalankan ujian rasa dan kelembapan bagi memastikan kualitinya sentiasa terjamin," katanya.

Masri menjelaskan, perkara berkenaan penting kerana pernah daun yang dikeringkan di dalam ketuhar terasa seperti hangus dan terpaksa dibuang.

"Kami di sini memastikan pelanggan akan mendapatkan minuman mas cotek yang benar-benar menepati cita rasa," katanya.

Beliau menambah, mas cotek Sri Inai telah mendapat Sijil Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pada masa akan datang, Masri bercadang untuk menghasilkan mas cotek dalam bentuk tablet, minuman dan kordial.

"Ujian bagi produk berkenaan sedang dijalankan di TPM dan saya berharap akan dapat mengeluarkannya menjelang tahun depan," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk mas cotek keluaran Sri Ain boleh layari laman sesawang www.sriain.com.my


No comments:

Post a Comment